Jumaat, 9 Mac 2018

KRISIS AIR SELANGOR: SEBUAH DRAMA JELEK YANG MELERET


oleh Dr RG_

RAKYAT masih ingat lagi pada 23 Mei 2013 apabila akhbar nyamuk SelangorKini menyiarkan berita bahawa Selangor tidak setitik pun kekurangan air.

Malah balaci-balaci PKR berkumpul di hadapan empangan air Selangor untuk bergambar sebagai bukti bahawa Selangor amat mewah dengan air untuk penggunaan rakyat. Sekiranya tidak dikawal dengan baik, pastinya kelewahan air di empangan milik Selangor akan mengakibatkan banjir.

Sememangnya benar bahawa Selangor amat mewah dengan air yang dibendung oleh tujuh empangannya. Ia belum lagi dikira air longkang dan parit, air hujan termasuk hujan asid yang dilepaskan oleh kilang-kilang haram, air bangkai binatang di Sungai Langat dan Sungai Kelang, air kumbahan najis daripada Indah Water, air kencing tikus di Sungai Congkak dan air kumbahan dari kandang babi mega di Sepang.

Persoalannya yang membangkitkan masalah kepada pengurusan air di Selangor, bukanlah kapasiti air mentah di empangan, sebaliknya ialah kapasiti air yang dirawat di loji-lojinya untuk disalurkan kepada pengguna.

Walau bagaimanapun dicelah-celah hiruk-pikuk itu, pada Mac 2014, terpantul pula berita bahawa enam empangan air Selangor berada pada tahap kritikal akibat daripada musim kemarau. Kadar hujan yang kurang gagal menyumbang peningkatan kapasiti air di enam empangan – Empangan Langat, Empangan Sungai Selangor, Empangan Sungai Tinggi, Empangan Batu, Empangan Semenyih dan Empangan Tasik Subang.

Pada era TS Khalid Ibrahim sebagai MB, dia sedar tentang hakikat bahawa Selangor kekurangan logi penapis air yang harus ditangani segera untuk mengatasi masalah semasa dan permintaan yang tinggi pada masa hadapan. Krisis air mesti ditangani sebagai isu utama kerana pembangunan Selangor amat pesat berbanding dengan negeri-negeri lain. Pembangunan yang pesat itu ditojah pula oleh kadar migrasi rakyat yang amat tinggi dari seluruh negara.