Rabu, 15 April 2020

PROTON MENGHASILKAN PELINDUNG MUKA UNTUK PETUGAS BARISAN HADAPAN MALAYSIA

60,000 pelindung muka akan dihasilkan dan diagihkan oleh PROTON 






Ketika Malaysia sedang berusaha menentang penyebaran wabak COVID-19, PROTON sekali lagi mengambil bahagian dalam usaha untuk membantu dan menyokong petugas barisan hadapan negara. Selepas meminjamkan sebanyak 50 unit Proton X70 kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Syarikat kini akan menghasilkan pelindung muka, iaitu komponen penting Peralatan Perlindungan Peribadi (PPE) untuk pekerja kesihatan.

Operasi pengeluaran dijangka akan bermula pada 13 April di ibu pejabat PROTON di Shah Alam di mana peralatan tersebut akan dihasilkan oleh kakitangan Syarikat yang melakukannya secara sukarela. Syarikat menyasarkan untuk menghasilkan sebanyak 60,000 pelindung muka dengan tempoh selama kira-kira 20 hari.

"Sebagai sebuah jenama automotif kebangsaan, usaha PROTON ini didorong oleh tanggungjawabnya untuk membangunkan industri kereta tempatan dan juga untuk menyokong negara dan rakyat Malaysia sekiranya mereka memerlukan sebarang bantuan. Syarikat mempunyai kepakaran untuk menghasilkan kereta jadi kami menggunakan kelebihan tersebut untuk menghasilkan peralatan PPE dalam usaha menyokong wira-wira barisan hadapan negara dalam membendung penyebaran COVID-19. Pelindung muka yang dihasilkan akan dihantar secara berperingkat dan kami akan bekerjasama rapat dengan pihak Kementerian untuk mengedarkan peralatan tersebut mengikut tahap keperluan di setiap daerah," kata Dato' Radzaif Mohamed, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON.

Mengikut kepada peraturan yang ditetapkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PROTON telah mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa untuk membenarkan sekumpulan kecil kakitangannya bekerja bagi menghasilkan pelindung muka tersebut di Shah Alam. Pergerakan dan waktu kerja mereka akan dipantau untuk memastikan mereka mematuhi peraturan ditetapkan.

"Bagi memastikan Syarikat mematuhi peraturan PKP, PROTON telah mengehadkan bilangan kakitangan yang terlibat dalam proses pengeluaran tersebut. Keselamatan mereka adalah penting, jadi kami akan mengamalkan jarak sosial dan melakukan sanitasi setiap masa di kawasan pengeluaran peralatan tersebut," tambah Dato' Radzaif Mohammed.