Rabu, 23 Ogos 2017

Pembohongan Mahathir Terbongkar





Selama ini, apabila Dr Mahathir Mohamad mahu mempertahan kan projek-projek mega yang dibangunkan di negeri ini oleh sektor swasta ataupun awam, Perdana Menteri dengan cepat mendabik dada serta berkata bahawa projek-projek mega itu dibina dengan wang kita sendiri. Malaysia tidak meminjam dari luar, kata Mahathir.Malaysia membina projek seperti itu tanpa berhutang kepada pihak luar. Malaysia mampu dan ada keupayaan. Demikianlah hujah Mahathir selama ini untuk menepis kritikan rakyat bahawa projek-projek mega kesayangannya sebagai boros, mewah dan membazir.


Pendedahan di Parlimen

Tetapi pembohongan Mahathir itu terbongkar semalam, 19 Oktober di Dewan Rakyat (Parlimen) apabila Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Wong See Wah membentangkan di Parlimen akan kedudukan hutang luar negara Malaysia.Sehingga akhir Jun tahun 1999, hutang luar Malaysia berjumlah RM160.9 bilion atau 57 peratus daripada Keluaran Negara Kasar (KNK). Hutang luar sebanyak itu merupakan jumlah yang sangat besar bagi sebuah negara seperti Malaysia. Bukan sesuatu yang boleh dibanggakan. Angka di atas juga menunjukkan jumlah hutang negara kita melebihi separuh daripada pendapatan negara. Malaysia meletakkan dirinya dalam senarai negara banyak berhutang.

Pembangunan Dengan Cara Berhutang?

Dari jumlah RM160.9 bilion itu, sebanyak RM131.9 bilion (82%) adalah hutang jangka sederhana dan panjang terdiri daripada RM17.4 bilion (11%) pinjaman kerajaan Persekutuan. Berbagai pihak, baik kerajaan Persekutuan, perbadanan awam bukan kerajaan dan sektor swasta turut meminjam dari luar negara. Misalnya RM53.5 bilion (33%) bagi pinjaman Perbadanan Awam Bukan Kerajaan (PABK) dan RM61 bilion (38%) pinjaman sektor swasta.

Dasar Penswastaan Mahathir Punca Hutang Bertambah


Dasar penswastaan yang digalakkan oleh kerajaan Barisan Nasional di bawah Dr Mahathir Mohamad telah menyebabkan banyak projek-projek mewah dan mega dibangunkan di Malaysia. Apabila projek itu mega, maka untungnya pun mega untuk kroni, tapi bukan untuk negara, yang terpaksa menanggungnya. Apabila kroni-kroni mendapat untung mega, maka komisen rasuah kepada pemimpin besar BN juga mega. Di Malaysia di bawah Mahathir, nilai rasuah juga mega-mega.

Sokongan Perdana Menteri Kepada Kroni


Sektor swasta yang mendapat projek-projek penswastaan itu kemudian mendapat sumber modal bagi membangun kan projek itu dengan cara meminjam dari luar negara. Kroni-kroni Mahathir dan Daim mudah sahaja diberi kebenaran oleh Bank Negara untuk mendapatkan kebenaran pinjaman asing itu. Kerana pengaruh Mahathir dan Daim.

Jika sektor swasta hendak membuat pinjaman luar negara melebihi RM5 juta, maka kelulusan Bank Negara diperlukan. Tetapi kelulusan itu mudah sahaja diperolehi kerana projek-projek penswastaan yang di kendalikan oleh kroni-kroni itu mendapat sokongan dan dokongan Perdana Menteri sendiri.


Hutang Luar Jangka Pendek


Hutang luar Malaysia bagi jangka pendek pula ialah berjumlah RM29 bilion. Hutang jangka pendek bermaksud mesti dibayar dalam tempoh yang cepat. Kerana banyak berhutang, maka setiap tahun, 6.6% dari pendapatan negara terpaksa digunakan untuk membayar kembali hutang luar negara itu. Jika Malaysia tidak banyak berhutang di luar, maka lebih banyak wang dapat digunakan untuk membina rumah rakyat, kelengkapan hospital, melatih lebih ramai tenaga pakar dalam bidang perubatan, meningkat kan tahap mutu pendidikan dan sekolah, memperbaiki mutu bekalan air bersih kepada rakyat dan sebagainya.


Projek Mewah Punca Berhutang


Jika projek-projek yang mewah dan membazir tidak dibangunkan, maka satu kesan positif ialah Malaysia tidak perlu berhutang di luar negara. Hutang luar sekarang sebanyak RM160.9 bilion adalah jumlah yang melebihi wang rizab negara. Mahathir berdusta jika berkata semua projek yang dibangunkan kononnya untuk 100 atau 200 tahun itu dengan wang Malaysia sendiri, tanpa berhutang dan meminjam. Jika tidak berhutang dan meminjam kenapa sampai demikian banyak hutang luar Malaysia?

Warisan Tinggalan Mahathir 


Jika Mahathir tidak lagi menjadi Perdana Menteri, dia telah meninggal kan satu warisan yang membebankan rakyat Malaysia sekarang dan generasi masa depan. Mahathir akan meninggal kan hutang negara yang banyak. Mahathir meletakkan Malaysia ke kedudukan yang bahaya. Jika hutang tidak dapat dibayar, Malaysia boleh jadi bankrap atau muflis. Malaysia akan menjadi sebuah negara paria di dunia antara bangsa sebagai sebuah negara banyak berhutang.


Dana Rakyat Diboroskan

Bukan hutang yang banyak sahaja yang dibebankan Mahathir ke atas ekonomi Malaysia angkara sikap angkuh dan sombongnya membangun kan negara secara tempang dan songsang dengan projek-projek mega yang mewah dan membazir itu. Ada satu lagi kesan negatif lain. Hutang negara sebanyak RM160.9 bilion itu masih tidak cukup untuk menampung membangun projek-projek mega seperti KLIA, KLCC dengan Menara Kembara Petronas, Cyberjaya, Putrajaya, MSC, Litar Formula Satu dan banyak lagi. Sumber dari dana dalam negara juga diguna pakai. Dana rakyat juga digunakan. Wang KWSP, wang Tabung Haji, wang Tabung Angkatan Tentera dan wang Khazanah Holding serta wang Petronas semuanya digunakan untuk menjayakan projek-projek mega yang mewah itu.

18 Tahun Di Bawah Mahathir Yang Boros

Semua projek mewah dan boros yang disebutkan di atas tadi telah dibangunkan dalam tempoh 18 tahun Mahathir berkuasa sebagai Perdana Menteri. Tunku Abd Rahman, Bapa Kemerdekaan. Tun Abdul Razak, Bapa Pembangunan. Tun Hussein Onn, Bapa Perpaduan. Mahathir Mohamad layak digelar Bapa Pembaziran.

Projek Mewah: Siapa Yang Untung?

Siapa yang untung dengan projek-projek mewah dan boros itu. Mahathir untung sebab dia dapat mahligai baru di Putrajaya. Anak-anak Mahathir untung. Mereka mendapat kontrak-kontrak di Putrajaya dan KLIA. Kroni-kroni Daim dan Mahathir seperti Vincent Tan, Ananda Krishnan, Tajuddin Ramli, Azmi Wan Hamzah, Halim Saad, Arumugam, Francis Yeoh, Ting Pik Khiing dan lain-lain lagi, sekadar menyebut beberapa nama. Mereka ini yang mendapat untung dari projek-projek mewah, mega, boros dan membazir itu. Mereka yang menjadi maha jutawan atau bilionair. Yang ruginya ialah rakyat, baik generasi sekarang apatah lagi generasi akan datang. Semua rakyat secara langsung atau tidak langsung akan menanggung beban dari hutang luar Malaysia yang banyak, dana dalam negara yang merosot dan wang Petronas yang semakin susut kerana digunakan sewenang-wenang untuk membangun kan pelbagai projek mega.

Malaysia Hutang Keliling Pinggang


Untuk membina Menara Kembara Petronas, RM2 bilion di belanjakan. Untuk membangun kan KLCC, kroni yang mendapat projek itu terpaksa berhutang di luar negeri. Pendek kata, Malaysia di bawah Mahathir telah berhutang keliling pinggang. Hutang-hutang ini tak masuk lagi dengan bon berbilion ringgit yang dijual di Jepun, Eropah dan Amerika. Jadi Mahathir tidak bercakap jujur sebenarnya. Dia membohongi rakyat dengan mendakwa Malaysia ada wang untuk membangun kan semua projek-projek mewah dan membazir yang banyak terdapat terutamanya di Kuala Lumpur, Putrajaya, Sepang dan Cyberjaya.