Selasa, 1 Julai 2008

Islam Di India Di tindas

Penduduk Islam terus bantah isu beri tanah kepada penganut Hindu
Bandar Srinagar lumpuh

SRINAGAR, India 29 Jun - Srinagar dan bandar utama lain di Kashmir India lumpuh apabila puluhan ribu penunjuk perasaan melancarkan bantahan terhadap rancangan kerajaan untuk membina penempatan Hindu di kawasan Islam.

Jurucakap Pasukan Polis Simpanan Pusat, Prabhakar Tripathi berkata, tiga orang terbunuh, beratus-ratus lagi cedera dan berpuluh-puluh buah kenderaan dibakar dalam bantahan hari keenam semalam.

Katanya, sekurang-kurangnya 12 askar dan 29 penduduk awam turut cedera dalam pertempuran yang memaksa pihak polis melepaskan peluru hidup dan gas pemedih mata bagi meleraikan penunjuk perasaan itu.

Jalan-jalan utama di Srinagar, yang merupakan bandar terbesar di Kashmir, lengang apabila kesemua kedai, pejabat dan sekolah ditutup.

Para penunjuk perasaan itu melaungkan slogan anti-India dan melontar batu ke arah polis serta merosakkan sekurang-kurangnya dua buah balai polis di sini.

Bantahan tersebut adalah antara yang terbesar pernah dilancarkan untuk menentang pemerintahan India sejak berlakunya pemberontakan pemisah yang meletus di wilayah Himalaya itu hampir dua dekad lalu.

Ia tercetus selepas kerajaan negeri menyerahkan 40 hektar tanah di kawasan Islam di Kashmir kepada Lembaga Kuil Shri Amarnath bagi membina kemudahan sementara untuk kegunaan beratus-ratus ribu pengikut Hindu yang menghadiri upacara keagamaan tahunan.

Bagaimanapun, penduduk Kashmir percaya kerajaan merancang untuk menjadikan struktur sementara itu sebagai penempatan tetap bagi masyarakat Hindu yang berkunjung ke sana.

Para pegawai menyangkal dakwaan tersebut dan berkata, kerajaan tidak pernah menggalakkan pemindahan pengikut Hindu ke Kashmir, yang merupakan satu-satunya negeri di India di mana majoriti penduduknya beragama Islam.

KOMEN. KITA DI MALAYSIA TAK ADA MASALAH MACAM TU,,,