Pas didesak dedah jumlah kutipan derma
KUALA TERENGGANU 30 Jun - Pemuda UMNO Terengganu mendesak Pas mendedahkan secara terperinci jumlah kutipan derma daripada orang ramai pada setiap ceramahnya serta perbelanjaannya untuk pengetahuan rakyat.
Ketua Penerangannya, Razali Idris berkata, perkara itu perlu dibuat jika benar Pas adalah sebuah parti yang telus dan bertanggungjawab kerana ia adalah wang rakyat yang berhak mengetahui ke mana ia dibelanjakan.
"Saya yakin bahawa jumlahnya sangat besar memandangkan kutipan itu dibuat sejak berpuluh tahun lamanya tetapi Pas tidak pernah mendedahkan kepada rakyat mengenai jumlah kutipan serta ke mana ia dibelanjakan.
"Pas hanya mendesak kerajaan Barisan Nasional (BN) mendedahkan pendapatan serta perbelanjaan Petronas termasuk royalti kepada kerajaan Terengganu tetapi mereka sendiri gagal melakukan pendedahan mengenai kutipan derma pada setiap ceramahnya," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Razali yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Marang berkata, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang pro-Pas juga begitu lantang mengkritik kerajaan kononnya melakukan penyelewengan wang rakyat tetapi mereka berdiam diri terhadap wang derma Pas.
Beliau percaya jumlah kutipan derma itu amat besar, malah mungkin boleh mencecah angka jutaan ringgit tetapi sehingga kini tiada pendedahan dibuat mengenai jumlah dan perbelanjaannya.
"Oleh itu, saya mencabar Pas supaya berbuat demikian dan tidak hanya pandai menuduh pihak lain kononnya menyeleweng tetapi mereka sendiri tidak melakukan ketelusan.
Katanya, isu penyaluran derma ke akaun sebuah parti pembangkang di Selangor baru-baru ini juga turut mencetuskan keraguan yang besar di kalangan rakyat.
Razali turut mencabar Majlis Pemuafakatan Rakyat Terengganu (Mampat) agar membuat laporan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) mengenai isu tersebut jika benar mereka adalah NGO yang berjuang membela nasib rakyat Terengganu.
Sambil melahirkan rasa keliru dengan tindakan Mampat yang hanya 'menyerang' BN melalui laporan kepada BPR tetapi pada masa yang sama takut untuk mengkritik atau bertindak ke atas pembangkang.