Sabtu, 19 Julai 2008

Berani Kerana Benar, Takut Kerana Salah (KLIK)

KUALA LUMPUR 18 Julai – Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang dalam siasatan polis atas dakwaan meliwat telah meletakkan syarat bagi menjalani ujian asid deoksiribonukleik (DNA) iaitu pemeriksaan perubatan dan pengambilan sampel dari pihak pengadu, bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan, dijalankan secara profesional.

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu mahu semua pemeriksaan perubatan dan sampel yang diambil dari Mohd Saiful, disahkan secara bebas sebelum beliau mempertimbangkan untuk menjalani sebarang analisis DNA, kata peguamnya R. Sivarasa pada sidang akhbar di sini hari ini.

“Terlebih dahulu semua pemeriksaan perubatan dan pengambilan sampel berkaitan pengadu (Mohd Saiful) perlu ditentusahkan secara bebas dan dilakukan secara profesional tanpa sebarang campur tangan polis.

“Hanya selepas itu sahaja, Datuk Seri (Anwar Ibrahim) akan mempertimbangkan untuk menyertai sebarang analisis DNA,” katanya.

Anwar enggan membenarkan sampel darahnya diambil ketika dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada malam Rabu lalu, dengan membantah bahawa beliau bimbang ia akan dimanipulasikan oleh pihak tertentu seperti dalam kes liwatnya 10 tahun lepas.

Sementara itu, mengulas langkah polis mendapatkan perintah mahkamah bagi mengambil sampel darah Anwar untuk analisis DNA. Sivarasa berkata: “Langkah itu tidak dibenarkan mengikut undang-undang Malaysia.” Semalam, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, polis menimbang mendapatkan perintah mahkamah bagi Anwar memberi sampel darahnya untuk ujian DNA.

— Bernama