Jumaat, 25 Julai 2008

PM "menangguk di air keruh" melalui isu muzakarah

Ekmal Yusof
Fri | Jul 25, 08 | 12:01:28 pm MYT

PARIT BUNTAR, 25 Julai (Hrkh) - Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat, Dr Mujahid Yusof Rawa mengutuk sekeras-kerasnya tindakan licik Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi "menangguk di air keroh" dengan menggunakan isu muzakarah umno-PAS untuk mengugukuhkan kedudukan politik dirinya.

Beliau yang mengadakan sidang akhbar di Pejabat PAS dekat sini petang semalam menegaskan, memang ada muslihat kotor untuk memecahbelahkan ikatan kukuh Pakatan Rakyat, PAS, KeADILan dan DAP, sekali gus meloloskan dirinya untuk menguasai penuh politik Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.

"Sekarang ini nampaknya Perdana Menteri sedang mengeksploitasi isu tersebut cara besar-besaran dalam media arus perdana seolah-olah umno dan PAS sedang hendak bercantum dengan meninggalkan sekutunya Keadilan dan DAP," kata Ahli Parlimen Parit Buntar itu.

"Perkara begitu tidak akan berlaku. Jangan sekali-kali percaya cakap-cakap bohong mereka. Pemimpin umno dan BN memang hendak melihat Pakatan Rakyat lemah.

"Mudahlah Abdullah menguasai kerajaan dan meletakkan dirinya sebagai wira sekiranya dapat memecahkan lima buah Kerajaan Pakatan Rakyat," katanya dalam sidang media itu.

Sehubungan itu, Mujahid menyambut baik kenyataan Mursyidul Am PAS, Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden PAS Dato' Seri Haji Abdul Hadi Awang kelmarin yang membersihkan kekeliruan dengan menyatakan PAS tidak bercadang untuk bermuzakarah dengan umno.

"Muzakarah bermakna perbincangan serius bertukar-tukar pandangan dan pendapat sehingga boleh membawa kepada sesuatu perjanjian di antara dua belah pihak," katanya. - mns _