Sabtu, 2 Ogos 2008

Gua Gajah Mati

Dikenali juga sebagai Gua Gajah Mati, lokasi ini pernah menjadi pangkalan kecil tentera Jepun semasa Perang Dunia Kedua, selain menjadi tempat gajah-gajah liar menghabiskan sisa-sisa usia mereka.

DUA rangka gajah yang dipercayai berusia 35 hingga 40 tahun itu membuktikan Gua Pintu menjadi kediaman haiwan tersebut.

KALI pertama diberitahu oleh Pengarah Tourism Malaysia Kelantan (TMK), Muhammad Zaki Talib mengenai rancangannya untuk meninjau ‘tapak’ perkuburan gajah di Sungai Nenggiri, Gua Musang, saya terus mendekatinya untuk menyatakan keinginan menyertai ekspedisi ini.

Seperti yang dijanji, TMK akhirnya mempelawa media Kelantan menjejak kawasan tersebut setelah lokasi kubur gajah liar itu ditemui pada tahun lalu.

Kisah mengenai kubur gajah liar yang terletak di salah satu daripada beberapa gua batu kapur di jajahan itu telah lama diceritakan penduduk tempatan.

Tetapi ia hanya sekadar cakap-cakap mulut yang diperturunkan dari satu generasi ke satu generasi.

Menurut cerita, gajah-gajah liar akan datang ke lokasi ini untuk menghabiskan sisa-sisa usianya seperti yang dilakukan sejak dahulu lagi.

Haiwan ini akan bersandar di mana-mana perdu pokok yang sesuai sebagai tanda ‘akan pergi’ sekali gus menjadi penanda nisannya.

Selalunya kawasan hutan tebal yang terlindung daripada haiwan liar lain menjadi pilihan, selain bebas daripada ancaman luar. Ini bagi membolehkan ‘waris’ gajah ini datang melawat perkuburan tersebut pada bila-bila masa sebagai tanda kasih sayang.

Sehubungan itu, nama Gua Pintu juga dikenali sebagai Gua Gajah Mati. Tetapi bukan mudah hendak ke sini kerana hanya ada dua jalan sahaja iaitu menggunakan jalan darat dari Kampung Setar yang mengambil masa enam jam perjalanan, atau menyusuri dengan bot dari Kampung Setar Baru melawan arus deras Sungai Nenggiri selama 20 minit.

Bagi lawatan ini, Muhammad Zaki memilih laluan kedua bagi menjimatkan masa. Sebanyak 38 orang wakil media termasuk pegawai Tourism Malaysia dan agensi pelancongan dibawa menaiki bas dari Hentian R&R Gua Musang sebaik selesai melawat ke Perkampungan Orang Asli suku kaum Batik di Kuala Koh.
Untuk ke Kampung Setar, ia memakan masa perjalanan sejam setengah melalui jalan bertar menuju ke arah Dabong. Sebaik tiba di Kampung Setar Baru, kami diberi penerangan ringkas oleh pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat tentang tatacara menaiki bot dan lain-lain prosedur keselamatan.
PELAWAT perlu menyusuri ke dalam gua sejauh 10 meter.

Kunjungan kami ke Gua Pintu ini turut dibantu oleh Persatuan Sahabat Sungai Nenggiri (SSN).

SSN ditubuhkan pada 2006 dengan bantuan badan bukan kerajaan, Global Environment Centre (GEC) melalui dana Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNDP) bertujuan memulihara Sungai Nenggiri.

Secara tidak langsung, aktiviti SSN memberi latihan dan pekerjaan kepada penduduk kampung kepada kegiatan bercorak eko-pelancongan.

Ciri-ciri alam semula jadi yang kaya dan pelbagai yang masih belum diterokai inilah mencetuskan penubuhan SSN, selain bertujuan mempromosikan kekayaan alam sekitar Sungai Nenggiri secara terkawal.

Keindahan dan sejarah warisan kawasannya yang masih asli ini memang berpotensi besar untuk dimajukan. Menariknya, sektor pelancongan alam seperti yang dipromosikan TMK dan kerajaan negeri Kelantan ini dilakukan dengan cara berhemah.

Hujan lebat pada malam semalam menyaksikan air Sungai Nenggiri yang berwarna seakan-akan ‘teh tarik’ itu mengalir deras. Oleh sebab itu, jurupandu mengarahkan hanya dua orang sahaja dibenarkan menaiki bot pancung yang menggunakan enjin sangkut untuk ke tebing Gua Pintu.

Walaupun pengalaman menaiki bot sejak bertugas di Kelantan bukan asing, tetapi lain pula rasanya kali ini kerana arus deras Sungai Nenggiri bukan sebarangan.

Beberapa kes kejadian bot karam yang mengorbankan penumpangnya kerap berlaku di sini termasuk melibatkan penduduk kampung dan Orang Asli.

Enjin bot menderu laju sebaik saya dan seorang kakitangan TMK duduk di atas bot yang dikendali seorang pemuda berusia awal 20-an. Dia yang cekap mengemudi sesekali melencongkan bot ke kiri dan kanan untuk mengelak arus deras serta tunggul kayu, dan perjalanan 20 minit ini dirasakan agak lama.

WALAUPUN pengalaman menaiki bot sejak bertugas di Kelantan bukan asing, tetapi lain pula rasanya kali ini kerana arus deras Sungai Nenggiri bukan sebarangan

Sebaik tiba di tebing, kami perlu memanjat bukit kecil berdekatan laluan ke Gua Pintu bagi menunggu rakan-rakan lain.

Perjalanan ke tapak kubur gajah liar mengambil masa 20 minit dengan mendaki bukit berbatu sebelum masuk menyusuri ke dalam gua sejauh 10 meter. Menggunakan cahaya lampu picit, laluan agak mendatar tetapi ada kalanya, kami perlu membongkok untuk melepasi laluan sempit.

Mata kami terpukau sebaik melangkah keluar dari mulut gua apabila melihat persekitaran menghijau dengan tanah yang lembap akibat titikan air dari atas bukit.

Suasana yang tidak ubah seperti dalam filem The Lost World ini begitu berbeza, seolah-olah memberi tanda ia masih didiami penghuninya iaitu keluarga gajah liar. Lima minit melangkah, lokasi yang dicari-cari ditemui iaitu kubur dua ekor gajah yang ditemui setahun lalu oleh penduduk kampung.

Menanti kunjungan kami ialah Pengerusi Persatuan Sahabat Sungai Nenggiri (SSN), Ahmad Karmizi Jalil yang juga penduduk asal Kampung Setar. Menurut beliau, penemuan dua rangka gajah yang dipercayai berusia 35 hingga 40 tahun itu membuktikan Gua Pintu menjadi kediaman haiwan tersebut.

“Dua rangka ini ditemui antara jarak 500 meter antara satu sama lain, di mana rangka gajah betina dipercayai mati dua tahun lalu manakala gajah jantan, setahun kemudian.

“Rangka serta tulang gajah liar ini telah dipagar bagi memudahkan kunjungan orang ramai.

“Habitat ini dipercayai tinggal di hutan berdekatan, dan mengikut kisah orang tua-tua, biasanya gajah akan mencari satu kawasan yang sesuai sebagai tempat persemadian. Kami percaya kawasan sekitar Gua Pintu ini menjadi pilihan.

“Setakat ini, hanya dua rangka yang ditemui kerana SSN hanya meneroka sekitar kawasan tiga kilometer persegi di hutan ini. Jadi, kami percaya ada lagi kesan-kesan di tempat lain di sini kerana ia masih belum disentuh,” ujarnya.

Tambahnya, dipercayai tidak kurang dua ekor gajah liar ada di kawasan berdekatan berdasarkan kesannya seperti najis yang masih baru dan anak-anak pokok yang dipatahkan.

“Mungkin ia anak kepada gajah betina yang mati di sini, kerana kebiasaannya habitat gajah sukar meninggalkan kawasan yang masih ‘didiami’ ibunya, dan sering datang ke sini untuk menziarah sahaja.

“Melihat kesan-kesan di kawasan berdekatan juga, kami percaya tidak kurang 20 ekor gajah liar masih berada di hutan ini yang telah menjadi penempatan haiwan itu sejak beratus tahun dahulu,” jelasnya.

RANGKA dan tulang gajah liar ini dipagar untuk kemudahan pelancong melihatnya.

Selain rangka gajah liar, Gua Pintu juga dipercayai pernah menjadi pangkalan kecil tentera Jepun semasa Perang Dunia Kedua. Lokasi yang strategik dan terlindung turut menjadikan gua ini dan kawasan bukit batu kapur sekitarnya sebagai tempat persembunyian gerila Parti Komunis Malaya (PKM) semasa zaman Darurat dahulu.

Ini berdasarkan penemuan sebuah lukisan seakan-akan seekor kura-kura pada salah satu dinding gua yang dipercayai lambang pengenalan unit tempur gerila PKM. Ini ada benarnya memandangkan Gua Musan yang terletak berdekatan kawasan ini merupakan kubu kuat gerila PKM sejak Darurat sehingga sepanjang era Insurgensi kerana kedudukannya yang strategik menghubungkan tiga negeri iaitu Pahang, Kelantan dan Perak.

Sementara itu, Muhammad Zaki memberitahu lokasi tersebut mula dikunjungi pelancong luar dan dalam negara sejak dibuka kepada umum beberapa bulan lalu kerana tarikan uniknya itu.

“Sejak ditemui, kawasan ini dijaga oleh SSN yang terdiri daripada penduduk Melayu Kampung Setar dan masyarakat Orang Asli suku kaum Temiar yang tinggal dekat sini.

“Bagi menjaga keaslian kawasan hutan ini, kedatangan pelancong dikawal oleh TMK yang dibantu ahli-ahli SSN,” u