Selasa, 30 September 2008

Hilang rumah akibat mercun








Oleh ABDUL MUIN SAPIDIN






ROZAINI HAshim (kiri) bersama anaknya, Mohd. Asyras Mohamad dan Nurol Alwani di hadapan rumah mereka yang musnah terbakar akibat mercun di Kampung Permatang Sintuk, Kepala Batas, Pulau Pinang, semalam.





KEPALA BATAS 29 Sept. – Sikap degil seorang kanak-kanak akhirnya membawa padah apabila mercun yang dibakar bukan sahaja nyaris meragut nyawa sendiri tetapi mengakibatkan rumahnya musnah dalam kebakaran di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.20 petang itu, mercun gasing yang dibakar Mohd. Asyras Mohamad, 11, berpusing-pusing sebelum memasuki rumah mereka di Kampung Permatang Sintok di sini.

Mohd. Asyras kemudiannya cuba mencari mercun itu di dalam rumah dengan bantuan kakaknya, Nurul Alwani, 19, tetapi tidak berhasil sebelum menyedari api mula merebak dan memusnahkan sama sekali rumah mereka.

Ibu kanak-kanak itu, Rozaini Hashim, 42, tidak menyangka kedegilan anaknya itu akhirnya menyebabkan mereka tiga sekeluarga tidak dapat berhari raya di rumah sendiri tahun ini.

“Saya sudah pesan pada dia (Mohd. Asyras) jangan main mercun tetapi... sekarang habis satu rumah terbakar, tiada apa yang tinggal,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Rozaini berkata, ketika kejadian dia tidak berada di rumah kerana bekerja di sebuah kilang di Pulau Pinang dan hanya mengetahui mengenai kebakaran itu selepas dihubungi rakannya.

“Mohd. Asyras nampak mercun itu termasuk ke dalam rumah, dia cuba cari tetapi tidak berjaya kerana ia berpusing-pusing entah ke mana.

“Tanpa disedari, api mula merebak dengan cepat. Mujur dia dan kakaknya (Nurul Alwani) sempat menyelamatkan diri,” jelasnya.

Ekoran kejadian itu katanya, semua persiapan Aidilfitri termasuk baju raya dan barangan elektrik yang baru dibeli musnah dan kerugian dianggarkan sekitar RM60,000.

Buat masa ini katanya, dia sekeluarga akan tinggal bersama adik perempuannya, Rohana Hashim, 35, di Kampung Lahar Tiang, Paya Keladi dekat sini.

Sementara itu, Pegawai Penjaga Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Muda, Khoziri Ahmad pula berkata, dua jentera bersama 15 anggota bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kira-kira pukul 5.32 petang.

Beliau berkata, pihaknya ada dimaklumkan mengenai insiden mercun itu tetapi bomba masih menjalankan siasatan untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian.

“Api merebak terlalu cepat tapi pihak bomba dapat mengawal api daripada terus merebak ke rumah jiran berhampiran,” tambahnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam, Zabariah Abdul Wahab, turut melawat tempat kejadian.