MINGGU lalu, ada yang bertanya kenapa tiba-tiba penulis menulis mengenai MCA sedangkan isu panas adalah UMNO dan pakatan pembangkang. Sebenarnya bukan penulis tidak mahu sentuh isu-isu yang tertumpu kepada dua anak Pulau Pinang -
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (DSAB) dan Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI). Dalam UMNO, DSAB berhadapan isu peralihan kuasa sementara dalam pembangkang, DSAI bergelut mahu mendapatkan kuasa.
Dan kemelut ini memang membosankan dan meletihkan untuk diulas. Kalaulah ada yang mengandung, mungkin loya tekaknya dan mengharapkan anak yang dikandung dilahirkan segera.
Sudah enam bulan Pilihan Raya Umum Ke-12 berlalu tetapi ada pihak meletakkan keadaan seolah-olah keputusan pilihan raya diumumkan semalam dan kerajaan belum dibentuk. Sedangkan umum mengetahui BN kembali memerintah walaupun tanpa majoriti dua pertiga sementara pembangkang menguasai lima negeri.
Apa lagi yang hendak dikejar oleh mereka yang terlalu kemaruk kuasa sehingga riuh rendah bagaikan tongkang sedang pecah? Bukan setakat heboh di dalam negara tetapi juga di luar negara.
Bagi agensi berita asing, inilah bahan berita yang menarik untuk dibaca supaya menunjukkan kerajaan Malaysia yang ditubuhkan atas keputusan majoriti berada dalam keadaan kelam kabut.
Mereka menerima kemenangan pembangkang di lima negeri tetapi 'menolak' kemenangan BN di Pusat. Inilah keserabutan yang cuba ditonjolkan oleh pihak-pihak tertentu dengan rasa bangga. Dalam erti kata lain, mereka mahu menggambarkan politik Malaysia tidak stabil.
Mereka mahu menunjukkan, di Malaysia walaupun tidak ada rampasan kuasa tentera tetapi boleh berlaku politik berpaling tadah dan kerajaan ditumbangkan ikut pintu belakang.
Apakah begitu murahnya nilai 30 wakil rakyat BN yang boleh 'dijual beli' atau dilelong bagaikan longgokan durian di pasar malam? Kerana kuasa, amanah rakyat yang memilih mereka sanggup digadai? Inikah nilai moral wakil rakyat yang cuba ditonjolkan?
Mursyidul Am Pas, Nik Abdul Aziz Nik Mat pernah menyifatkan mereka yang lompat parti bukan manusia.
''Lompat parti ini bukan kerja orang politik tetapi kerja orang yang makan upah. Sebab masa kita hendak menang jadi wakil rakyat...mengundi bukan main lagi tetapi lepas itu dia main-main lompat.
Bukan manusia kalau boleh jual beli undi. Orang itu tak reti dosa pahala kalau dia reti, dia tak lompat. Orang yang faham tak buat macam itu,'', begitulah hujah Menteri Besar Kelantan itu.
Tetapi mujurlah beberapa bulan kemudian, Nik Aziz menarik balik kenyataan itu! Jika tidak, apakah yang akan kita gelar kepada 30 atau lebih ahli Parlimen BN yang melompat? Tentunya bukan malaikat. Tetapi kalau tidak lagi dinamakan manusia, apa lagi? Anda boleh menjawabnya.
Lawak
Kini 16 September sudah berlalu. Detik itu akan muncul lagi tahun depan. Jadi eloklah isu ini dihentikan dan berserahlah kepada takdir. Kalau Tuhan nak beri terimalah. Berdoalah dan percayalah kepada ketentuan Allah.
Jika DSAI dan rakan-rakannya ada rezeki bagaikan durian jatuh bergolek, maka dapatlah kerusi itu. Janganlah sampai isu kerusi ini menjadi lawak menjelang waktu berbuka puasa. Sudah banyak SMS lawak diterima mengenai isu ini. DSAI juga tentu ada menerimanya. Lucu kan! Jadi cukuplah, jika tidak dapat kali ini, mungkin lain kali.
Takkan lari gunung dikejar kecualilah gunung itu hilang dek kerakusan manusia menarah atau meruntuhkannya. Atau setidak-tidaknya tunggulah pilihan raya umum akan datang.
Bukannya lama. Pejam celik, pejam celik, sampailah lima tahun. Belajarlah bersabar dan berilah kerjasama kepada kerajaan yang ada untuk meneruskan agenda yang dirancang untuk rakyat.
Jika di peringkat negeri, pembangkang memohon kerajaan pusat memberi kerjasama, kenapa tidak dalam soal ini kerjasama diberi untuk memacu ekonomi dan pembangunan negara dengan jayanya?
Bukan lagi asyik berpolitik yang boleh membawa kehancuran. Apakah selesai masalah sekiranya pakatan pembangkang mengambil alih kerajaan? Apakah kerajaan yang boleh 'dijual beli' ini akan kukuh dan tidak rapuh?
Dengan jumlah kerusi yang boleh dilelong pada bila-bila masa itu, kerajaan yang ditubuhkan melalui pintu belakang ini juga tidak akan ke mana, akan tetap rapuh.
Apakah tidak akan ada lompat melompat andainya Pas dan DAP tidak senada dalam isu-isu berkaitan Islam? Maka yang pasti kerajaan akan terus goyang dan ketika itu yang susah dan sukar bukannya pemimpin-pemimpin politik berkenaan tetapi rakyat yang sudah memberi amanah kepada mereka sama ada mewakili BN, PKR, Pas, DAP dan sebagainya.
Mengenai UMNO, penulis letih dengan isu peralihan yang pi mai pi mai tang tu. Tidak ada yang baru kerana semuanya berkisar kepada tempoh peralihan, kuasa akar umbi dan kuota untuk bertanding.
Entah berapa lama isu ini akan senyap, kemudiannya timbul kembali. Mungkin selagi tidak ada pemilihan, isu ini akan terus 'diputarkan' dalam pelbagai bentuk. Macam ulang tayang filem P.Ramlee di pelbagai saluran tv.
Tetapi itu filem P.Ramlee, memang penonton tidak puas-puas menonton. Tetapi kalau cerita politik lama diulang tayang, lama-lama orang boleh pecahkan tv. Justeru, lebih baik penulis fokus kepada MCA yang sedang menuju hala tuju baru, yang serius mahu membina semula parti yang dihukum begitu teruk pada pilihan raya lalu.
Dan menariknya, sikap tidak gila kuasa akan menjadi budaya baru parti itu!