Isnin, 13 Oktober 2008

Ketua Wanita Gerakan tidak sensitif asal usul Melayu

BATU PAHAT: Gerakan perlu bertanggungjawab dengan mengambil tindakan terhadap Ketua Wanita parti itu, Datuk Tan Lian Hoe, kerana mengeluarkan kenyataan yang boleh mengeruhkan hubungan komponen Barisan Nasional (BN) dan mewujudkan suasana tegang antara kaum.

Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata walaupun kenyataan itu mungkin bukan suara keseluruhan ahli Gerakan, pucuk pimpinan parti itu perlu sedar tindakan Tan tidak sepatutnya berlaku.

Beliau berkata, Tan patut mengambil iktibar daripada kejadian lalu apabila kenyataan yang menyinggung perasaan sesuatu kaum akan mencetuskan masalah besar dalam negara.


“Sebelum ini pada mesyuarat Majlis Tertinggi BN, semua parti komponen sudah dinasihatkan supaya mengelakkan kenyataan polemik yang boleh menjejaskan keharmonian BN atau yang menyentuh sensitiviti kaum, tetapi nampaknya ada yang tidak mahu mendengar nasihat itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menghadiri majlis hari raya di kediaman Ketua Pemuda Umno bahagian Parit Sulong, Zulkarnain Kamisan, di sini, malam kelmarin.

Tan yang juga Timbalan Menteri Penerangan ketika berucap pada satu majlis secara terbuka mengajak ahli parti itu keluar daripada bayangan Umno sambil mendakwa selama ini mereka hanya mengikut telunjuk Umno, diherdik serta dipijak pucuk pimpinan parti tunjang pemerintahan BN itu.

Tan juga mempertikaikan status penduduk asal negara ini dengan mendakwa kaum Melayu juga pendatang seperti Cina dan India, manakala penduduk asal negara ini hanya Orang Asli.

Muhyiddin berkata, pucuk pimpinan Gerakan perlu mengambil tindakan supaya isu yang ditimbulkan Tan itu tidak terus diperdebatkan.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Pergerakan Perpaduan Islam Malaysia (PPPIM), Datuk Zulkifli Mohamad, mencabar Tan mengadakan perbahasan terbuka bagi membuktikan kebenaran bahawa orang Melayu adalah pendatang dari Sumatera, manakala penduduk asal negara ini hanya Orang Asli.

Katanya, mengikut fakta sejarah, penduduk asal negara ini memang masyarakat Melayu dan beliau meminta pihak yang membuat dakwaan itu mengkaji sejarah Kesultanan Melayu Melaka serta Sejarah Melayu.

“Gerakan cuba bermain api mempersoalkan kedudukan Melayu dan PPPIM sedia berbahas bersama mereka. Bukti yang paling nyata dapat dilihat dari segi gelaran asal negara kita iaitu Semenanjung Tanah Melayu sejak sebelum merdeka,” katanya.

Timbalan Pengerusi Majlis Muafakatan Melayu Kebangsaan (MMKMM) Profesor Datuk Dr Zainal Kling, berkata penyelewengan sejarah sedang ditanam oleh orang bukan Melayu.

Beliau berkata, sejak beribu tahun lalu, Semenanjung Tanah Melayu, Selatan Siam, Sumatera, sebahagian Kemboja, Vietnam Selatan, sebahagian Pulau Kalimantan dan Jawa barat digelar Kepulauan Melayu atau gagasan alam Melayu.

“Kita tidak boleh menyamakan sejarah moden dengan sejarah Melayu lama kerana penjajah Belanda dan British membahagikan empayar serta Kerajaan Malaysia, Indonesia dan Brunei,” katanya.

===================================================================

KOMEN; Apakah agenda Parti Gerakan hari ini? Sejak selesai PRU 12 mereka sering melatah, mengusik dan mengguris hati orang Melayu. Kalau sudah tidak suka dengan Barisan Nasional silalah undur diri dan isytihar keluara barisan. Senang dan selesai masalah,

Sudah banyak kali Parti Gerakan mengeluarkan kenyataan yang menggugat semangat setiakawan yang terjalin erat sebelum ini.

Koh Su Khon pun menang kerana undi Melayu. Hari ini dia juga lantang bercakap mengkritik UMNO dan BN. Hari ini Tan Lian Hoe pula mengeluarkan kenyataan mempertikaikan ketuanan Melayu.

Belia harus sedar tanpa undi Melayu tidak akan ke mana kerjaya politik beliau. PRU11 beliau bertanding di kerusi parlimen Bukit Gantang dan berjaya menewasakan calon Pas. Dalam PRU 12 beliau sekali lagi berpindak ke parlimen Hulu Perak dan berjaya mengekalkan kerusi parlimen walaupun Gerakan Taiping langsung tidak memberi undi kepada calon BN dari parti PPP Kayeas.

Beliau bekas seorang guru, sepatutnya beliau tahu akan sejarah Tanah Melayu. Harus di ingat walaupun orang Melayu di Semananjung datangnya dari Sumatra atau lain-lain kepualauan Melayu tidak bererti orang Melayu adalah pendatang seperti orang Cina. Kerajaan Melayu Riau adalah sebuah kerajaan yang besar, orang Melayu bebas bergerak antara kepualauan melayu dan juga di Sumatra. sehinggalah negara di bahagi dan dipecah sempadan oleh Inggeris-Belanda pada 1824.

Tan Lian Hoe sudah mengguris hati orang Melayu yang sudah beralah dalam kenegaraan sebelum merdeka dengan wujudnya undang-undang jus soli.

Hari ini jikalau Parti Gerakan sudah hilang minat dengan BN. Dipersilakan keluar dari BN dan serahkan semua kerusi yang dimenangi oleh mereka supaya diadakan pilihanraya kecil.