Selasa, 14 Oktober 2008

Parti Pelbagai Kaum?

Gerakan Pulau Pinang diselar bukan Cina tidak diberi jawatan

KUALA LUMPUR: Naib Presiden Gerakan, Huan Cheng Guan menyelar pengumuman jawatankuasa Gerakan Pulau Pinang baru, diumumkan hari ini, kerana tidak mencerminkan ideologi parti itu sebagai sebuah parti pelbagai kaum dengan menyenaraikan hanya kaum Cina untuk mengisi jawatan-jawatan dalam parti.

"Saya menerima banyak panggilan daripada Pulau Pinang selepas Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Datuk Dr Teng Hock Nan mengumumkan barisan jawatankuasa," katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Barisan Gerakan Pulau Pinang kini dianggotai, Presiden Gerakan,Tan Sri Dr Koh Tsu Koon yang bertindak sebagai Penasihat, bekas Setiausaha Agung, Datuk Seri Chia Kwang Chye sebagai Naib Pengerusi selain Teng Chang Yeow dan Tan King Chee bagi jawatan sama, Ong Thean Lye sebagai Setiausaha dengan dibantu Goh Kheng Sean manakala Ng Fook On sebagai bendahari dan Teow Jit Meng sebagai pembantunya.

Huang berkata, barisan yang diumumkan Teng seharusnya mempunyai pemimpin daripada pelbagai kaum seperti Melayu dan India, bukannya kaum Cina saja seperti yang berlaku ketika ini.

"Pemilihan parti baru saja selesai, dua hari lalu... adakah mereka ini lupa akan konsep berbilang kaum yang diperjuangkan parti.

"Ketika pemilihan lalu, semua perwakilan disaran untuk memilih sama ada Melayu, Cina dan India bagi jawatan Naib Presiden untuk membolehkan parti ini diwakili pelbagai kaum, tetapi apa yang berlaku sekarang ialah semua barisan di Pulau Pinang semuanya menyenaraikan kaum Cina saja," katanya.

Huan berkata, beliau meminta parti membuat keputusan sama ada ia akan berkonsepkan parti pelbagai kaum.

Katanya, A. Mohan iaitu seorang ahli Gerakan yang telah bersama parti lebih daripada 20 tahun telah dipilih ke dalam jawatankuasa tetapi tidak diberikan jawatan penting dalam parti.