Jumaat, 27 Februari 2009

Nizar enggan serah kereta rasmi

Ambil terus lah Nizar, buatlah macam harta sendiri. Tak perlu bising-bising.

27/02/2009 6:35pm

IPOH 27 Feb. - Setelah mengosongkan kediaman rasmi Menteri Besar pada Ahad lepas, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin bagaimanapun enggan menyerahkan kereta rasmi jenis Toyota Camry dengan alasan kenderaan itu adalah simbol "kerajaan negeri yang sah".

Pegawai khas beliau, Amran Harun, berkata keengganan Mohammad Nizar memulangkan kenderaan rasmi itu bukan bertujuan mengingkari arahan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Dr Abdul Rahman Hashim tetapi ingin menjadikan kereta bernombor AGS 10 itu sebagai simbol kerajaan negeri yang sah sehinggalah mahkamah membuat keputusan sama ada beliau atau Datuk Dr Zambry Abdul Kadir adalah menteri besar yang sah.

"Beliau bersedia memulangkannya jika mahkamah mengisytiharkan Zambry adalah menteri besar yang sah selepas ini," katanya kepada pemberita di sini.

Sebelum itu, Amran mewakili Mohammad Nizar menyerahkan kunci kediaman rasmi itu kepada Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan Negeri (Bahagian Khidmat Pengurusan), Shamshuzaman Sulaiman di kediaman rasmi itu.

Shamshuzaman berkata semua anggota exco kerajaan negeri di bawah pakatan DAP, PAS dan PKR sebelum ini, telah memulangkan kereta Toyota Camry yang digunakan sebagai kenderaan rasmi.

"Arahan meminta memulangkan kenderaan rasmi tersebut sudah dimaklumkan kepada Datuk Seri Mohammad Nizar melalui sepucuk surat sebaik sahaja beliau diperintah meletak jawatan oleh Sultan Perak Sultan Azlan Shah,” katanya.

Beliau berkata selain daripada 10 kereta Toyota Camry itu, pihaknya turut menerima lima lagi kenderaan yang digunakan oleh Mohammad Nizar sebelum ini.

Katanya kediaman rasmi Menteri Besar itu akan diserahkan kepada Zambry selepas Jabatan Kerja Raya selesai membuat pemeriksaan bagi mengesan sebarang kerosakan dan membuat kerja baik pulih.

Sementara itu, sumber daripada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri berkata daripada segi pentadbiran, Mohammad Nizar perlu menyerahkan kembali kenderaan itu kerana apabila Zambry dilantik oleh Sultan Perak sebagai menteri besar, maka secara automatik beliau (Mohammad Nizar) tidak lagi menjadi menteri besar dan perlu menyerahkan segala kemudahan yang diperuntukkan untuk seorang menteri besar.

Sumber itu berkata perkataan "Menteri Besar" pada plat nombor pendaftaran kereta AGS 10 itu juga tidak boleh dipakai lagi.

"Ia dilihat melanggar kuasa Sultan Perak yang melantik Dr Zambry sebagai menteri besar. Ia juga sesuatu yang melucukan dan memalukan diri sendiri,” katanya.

Awal bulan ini, Sultan Azlan Shah menitahkan Mohammad Nizar meletak jawatan dan menggantikannya dengan Zambry selepas pakatan DAP, PAS dan PKR tidak lagi mempunyai majoriti akibat tindakan empat wakil rakyatnya keluar parti masing-masing.

- BERNAMA