13 tahanan ISA dibebas hari ini
KUALA LUMPUR 4 April - Kesemua 13 tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang diberi pembebasan lebih awal oleh kerajaan, hanya akan dibenarkan keluar dari kem tahanan ISA Kamunting, Taiping esok.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, mereka tidak dibebaskan serta-merta kerana beberapa proses dokumentasi perlu dilakukan terlebih dahulu.
"Proses dokumentasi terhadap kesemua mereka akan dilengkapi hari ini dan mereka hanya akan dibebaskan pagi esok," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Semalam, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam perutusan pertamanya sebagai Perdana Menteri baru, mengumumkan pembebasan serta-merta 13 tahanan ISA berkenaan.
Mereka yang dibebaskan ialah dua peguam pertubuhan haram Hindu Rights Action Force (Hindraf), R. Kenghadharan dan V. Ganabatirau yang ditahan sejak 13 Disember 2007.
Turut dibebaskan, tujuh ahli Darul Islam Sabah (DIS), A. Artas A. Burhanuddin, Francis Indanan, Mohd. Nazri Dollah, Mohd. Arasad Patangari, Binzali Omar dan Idris Lanama.
Mereka adalah kumpulan yang ditahan sejak 16 Mei 2006. Seorang lagi dari DIS yang dibebaskan ialah Pakana Selama yang ditahan sejak 28 September 2006.
Ahli Jemaah Islamiah, Wan Amin Wan Hamat yang ditahan sejak 20 Mac 2003, juga dibebaskan.
Turut dalam senarai pembebasan, tiga warga asing iaitu San Khaing dan Amir Hussain (Myanmar) serta Sundaraj Vijay (India).