Rabu, 20 Mei 2009

Mari Baca Mari Komen......

MAHADZIR MOHAMAD SAID

SIAPA BONEKA SIAPA?: Terlebih dahulu saya amat berterima kasih kepada Saudara Zek yang sudi memberi reaksi terhadap tulisan yang tersiar dalam ruang ini. Saya amat gembira sekali apabila tulisan ini mendapat maklum balas. Saya ingin respon kepada dakwaan kononnya Barisan Nasional (BN) sedang berdepan dengan perpecahan dan kemudian bercerai.


Saya akui bahawa saudara Zek tentu amat memahami dalam mana-mana organisasi pun akan wujud perbezaan pendapat. Sejak dari wujudnya Perikatan dan BN (UMNO) sentiasa diuji dengan pelbagai masalah dan perbezaan pendapat daripada komponen BN. Biar pun nampak kadang kala agak tegang, namum perbezaan itu akhirnya dapat dileraikan melalui meja perundingan. Saya akui bahawa Gerakan Pulau Pinang sememangnya telah membuat kenyataan supaya Dewan Undangan Negeri Perak dibubarkan sebagai jalan penyelesaian. Itu adalah pendirian Gerakan Pulau Pinang dan bukannya kenyataan Majlis Tertinggi Gerakan.

Apa yang hendak dimalukan dengan kenyataan seumpama itu? Dalam Pakatan Rakyat (PR) yang didokong oleh saudara Zek sendiri, banyak perbezaan yang wujud dalam pakatan yang sedang dalam mutaah. Pelaksanaan hukum hudud yang diperjuangkan oleh PAS masih lagi menjadi duri dalam daging kepada PR. Ketiadaan wakil PAS dalam exco Pulau Pinang dan ketiadaan wakil DAP dalam exco Kerajaan Negeri Kedah turut menjadi duri dalam daging. Pengagihan jawatan-jawatan dalan GLC kerajaan negeri yang diterajui oleh PR masih menjadi duri dalam daging juga. Apakah saudara Zek tidak malu melihat kerajaan negeri Perak yang diterajui oleh Datuk Seri Nizar Jamaluddin sebelum ini yang menjadi boneka kepada "orang lain" yang bermuslihat untuk merealisasikan impian mereka? Tunjukkan kepada saya, apakah Nizar lakukan untuk orang Melayu dan Islam di Perak?


Semasa BN memerintah Perak, tiada jawatan exco bahagian biasiswa dan pinjaman bukan Bumiputera, tetapi semasa Nizar menjadi MB Perak, jawatan ini diwujudkan dan beliau langsung tidak mewujudkan jawatan exco yang sama untuk kaum Bumiputera. Sambil mengambil contoh kemunculan tokoh sasterawan Negara menyokong pemansuhan PPSMI, saudara Zek telah melakukan kenyataan yang tidak tepat, yang kononnya golongan cerdik pandai semuanya menyokong pembangkang. Bagi saya hanya segelintir cerdik pandai yang saya anggap tidak pandai mengenang budi sahaja yang menyokong pembangkang. Ramai lagi cerdik pandai masih menyokong UMNO dan BN. Mereka inilah yang banyak membantu UMNO dan BN dari dahulu sehinggalah sekarang.

Saya cadangkan kepada saudara Zek supaya mengkaji sejarah pendidikan tokoh-tokoh berkenaan. Kaji juga latar belakang kehidupan seharian mereka dan keluarga mereka. Saudara Zek, mereka ini mendapat pendidikan sekolah Inggeris dan mengamalkan pertuturan bahasa Inggeri dalam kehidupan seharian, termasuk dengan keluarga. Apakah saudara Zek terlupa, tokoh-tokoh ini telah menyatakan bahawa niat baik mereka telah dipolitikkan oleh pembangkang. Saya ingin bertanya saudara Zek: sekiranya kerajaan memilih jalan tengah untuk menyelesaikan masalah ini dengan mewujudkan sekolah dua aliran, iaitu Melayu dan Inggeris, mana satukah aliran yang saudara pilih untuk menyekolahkan anak saudara? Saya masih ingat apabila kerajaan memperkenalkan sekolah dua aliran iaitu Melayu dan Inggeris pada tahun 60 an, ayah saya mengambil pendekatan untuk menyekolahkan kesemua anak-anaknya dalam aliran Inggeris. Ayah saya tidak bersekolah tinggi dan beliau pun tidak mendapat pendidikan seumpama itu. Tetapi beliau berfikiran jauh, mahu anak-anaknya menguasai bahasa Inggeris. Saya pernah bertanya allahyarham ayah saya, kenapa beliau mengambil pendekatan menyekolahkan anak-anaknya dalam aliran Inggeris? Ayah saya menerangkan bahawa dunia akan menjadi lebih moden, bahasa Inggeris akan menjadi lebih penting. Katanya lagi, kalau nak jadi doktor, peguam dan sebagainya, mesti mahir dalam bahasa Inggeris.

Saudara Zek pernah berada di Pusat Pengajian Tinggi, tentu dapat melihat berapa buah buku rujukan yang ditulis dalam bahasa Inggeris. Berapa buah buku rujukan untuk jadi jurutera dalam bahasa Melayu? Saya cadangkan supaya saudara Zek merantau ke Pattani, Thailand dan memerhati mahasiswa Melayu Pattani di sana. Mereka daif dalam bahasa Inggeris. Mereka mengakui sukar untuk membuat rujukan kerana buku-buku rujukan kebanyakan dalam bahasa Inggeris. Kalau ingin membuat kajian peringkat yang lebih tinggi, Bahasa Inggeris amat utamakan. Ingin melanjut pengajian di luar negara bahasa Inggeris menjadi keutamaan. Saya amat yakin cerdik pandai yang didakwa oleh saudara Zek menyokong pembangkang, mereka ini pun mengutamakan bahasa Inggeris dalam keluarga dan kalau ada keupayaan dan kemampuan serta ada pilihan, mereka mahu menyekolahkan anak mereka dalam aliran Inggeris.

Saya pernah nyatakan isu MB Perak yang menyebut PR tidak menghormati demokrasi. Siapa yang beriya-iya untuk menumbang kerajaan BN kalau tidak PR yang ditunggang oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu menabalnya menjadi Perdana Menteri. Apa yang berlaku sekarang ialah Anwar menuai hasil yang ditanamnya. Beliau mengajar orang agar tidak menghormati demokrasi, kini dia harus menerima padahnya.


Makluman latar belakang ini adalah untuk pengetahuan saudara Zek. Ketika dalam UMNO, Anwar yang disokong saudara itu, tidak sehebat manapun. Kekuatan politiknya terletak kepada Datuk Seri Najib Tun Razak. Ketika Anwar ketagih untuk menjadi Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, beliau terpaksa mencabar Datuk Suhaimi Kamaruddin. Kemenangan tipis beliau dalam pemilihan Pergerakan Ketua Pemuda UMNO pada ketika itu kerana Najib pada saat terakhir menyebelahi beliau dan akhirnya beliau menang.


Dalam pemilihan jawatan naib Presiden pula, Anwar menang jawatan itu kerana Najib mengambil keputusan menyebelahinya. Begitu juga ketika Anwar amat ketagih untuk menjadi Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri. Biar pun berkali-kali bersumpah dengan nama Allah tidak mahu mencabar Encik Ghafar Baba (Tun) dalam pemilihan jawatan Timbalan Presiden UMNO, akhirnya Anwar mencabar juga. Dengan matlamat "menghalalkan cara", Anwar masih melihat beliau belum mempunyai kekuatan untuk menyaingi Ghafar. Akhirnya, apabila Najib menyebelahinya pada saat-saat akhir, maka pencalonan jawatan berkenaan menyebelahi Anwar dan tersinggkirlah Ghafar.

Jelas di sini, semasa Anwar dalam UMNO, kekuatan politik Anwar banyak bergantung kepada Najib. Sebab itulah apabila Najib disebut sebagai pengganti Pak Lah sehingga saat terakhir sebelum Najib angkat sumpah sebagai Perdana Menteri, Anwar amat gerun dan takut sehingga sanggup mengutus surat menasihatkan Yang DiPertuan Agung jangan melantik Naib sebagai Perdana Menteri. Anwar tahu Najib mempunyai kekuatan tersendiri. Malah dia sendiri mengakuinya Najib bukan calang-calang ahli politik. Sebab itulah sekarang Anwar menggunakan apa jua saluran termasuk media asing untuk memburuk-burukan Najib. Kini Anwar menggunakan strategi yang sama ketika beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri menggunakan media asing untuk memburuk-burukkan Perdana Menteri ketika itu Datuk Seri Dr Mahathir Mohamed (Tun). Anwar pada ketika itu guna strategi baling batu sembunyi tangan.

Saudara Zek turut mendakwa kononnya BN memperkudakan mahkamah. Nampaknya saudara Zek tidak arif dalam undang-undang. Apa yang berlaku sekarang adalah proses undang-undang. Nizar yang memilih untuk menyelesaikan kes ini menerusi mahkamah. Apa yang berlaku sekarang ialah di Mahkamah Rayuan, rayuan Datuk Seri Zamri untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi sementara menunggu rayuan yang dibuat oleh Dr Zamri di Mahkamah Rayuan. Inilah proses undang-undang! Sama seperti apabila Anwar dibebaskan dahulu mengikut proses undang-undang. Anwar memang dibebaskan tetapi hakim dalam penghujahannya mengakui wujud perlakuan yang dibuat oleh Anwar. (Rujuk keputusan penghakiman). Pembebasannya berdasarkan teknikal problem sahaja. Itu juga proses undang-undang. Yang aneh ketika itu kenapa kerajaan di bawah kepimpinan Pak Lah tidak mahu merayu. Itulah yang menjadi persoalan kepada saya sehingga sekarang! Kerana mengikut proses masih ada proses undang-undang boleh dilakukan! Saudara Zek dengan rakus mendakwa Dr Zamri sebagai boneka. Saya ingin bertanya: siapakah yang menjadi boneka kepada siapa? Tidakkah Nizar turut dibonekakan oleh pihak lain untuk mencapai matlamat tertentu? Tidak perlu saya huraikan di sini. Saya yakin saudara Zek terlebih maklum.

Apakah orang Melayu dan Islam dapat sepanjang beliau menjadi MB? Berapa buah masjid diluluskan pembinaan oleh Nizar? Berapa ratus tahun tanah diluluskan untuk orang Melayu dan berapa ratus ekar tanah diluluskan untuk sekolah agama rakyat? Apakah tidak pernah berlaku mesyuarat Unit Perancang Ekonomi Perak terpaksa dibatalkan kerana Ngeh tidak hadir dalam mesyuarat berkenaan sedangkan yang mempengerusikan mesyuarat adalah Nizar? Siapa boneka dalam hal ini?

Pada akhirnya saudara Zek menyebut tentang hukum Islam. Ada sah dan ada yang tidak sah. Saya ingin bertanya kepada saudara Zek: apakah hukum Islam jika bersekongkong dengan kumpulan yang terang-terang berkata "kalau nak laksanakan hukum hudud langkah mayat saya dahulu!" Apabila Dr Mahathir mengisytiharkan Malaysia adalah Negara Islam dalam perhimpunan Parti Gerakan, komponen BN tidak pernah menolak dan menafikan Malaysia sebuah Negara Islam. Malah mereka mengakuinya. Namun DAP secara terang-terang menafikan hakikat ini dengan mendesak Dr Mahathir menarik balik pengisytiharan itu. Malah PAS sehingga kini atas desakan langsung tidak berani menyebut pelaksanaan hukum hudud biarpun PAS menguasai Kedah dan orang PAS menjadi MB Perak. Nizar langsung tidak pernah menyebut soal ini malah ucapan-ucapannya tidak pernah menjurus ke arah konsep ini.

Kini kita tunggu apa jua keputusan penghakiman yang akan dibuat. Sekali lagi setinggi-tinggi pujian saya berikan kepada seluruh ahli UMNO dan BN yang berfikiran waras dan terbuka dapat menerima keputusan penghakiman yang dibuat baru-baru ini. Tiada langsung sebarang protes atau tunjuk perasaan atau sms atau tulisan yang menghina keputusan mahkamah. Itulah kehebatan ahli UMNO dan BN, iaitu kebijaksanaan berpolitik berbanding PR. Akhir sekali, satu soalan untuk saudara Zek: siapakah yang menjadi penipu besar kepada rakyat jika tidak Anwar Ibrahim? Dengan penuh angkuh sombong dan bongkak, Anwar melaung-laungkan bahawa beliau berjaya menawan 40 wakil rakyat BN dan kerajaan BN akan digulingkan pada 16 September 2008. Kini 16 September 2008 telah berlalu. Rakyat mula sedar penipuan besar yang dibuat oleh Anwar. Sudahkah Anwar bertaubat seperti yang dinasihatkan oleh Karpal Singh? BN tidak pernah berniat untuk mengguling kerajaan PR. Hanya Anwar saja sejak selesai pilihanraya ke 12 dengan penuh angkuh, sombong lagi bongkak menjaja mahu menumbang kerajaan.