Rabu, 22 Julai 2009

Lagi mengenai Kes Jatuh Bangunan

Oleh Hambali Abd Latif

Hairan juga kenapa Yang DiPertua Majlis Perbandaran Kajang, Tan Booh Wah enggan memberikan kerjasama kepada polis untuk diambil keterangan daripadanya dalam kaitan kematian Teoh Beng Hock.

"Kami sudah menghubungi Tan tetapi beliau enggan. Jika beliau terus berdegil, kita akan menggunakan Seksyen 111 Kanun Tatacara Jenayah untuk membolehkan untuk turut direkodkan keterangan daripadanya, " kata Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar .

Beliau menyatakan demikian selepas memberikan taklimat kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan mengenai kemajuan siasatan.

Siasatan polis terhadap kes Teoh Beng Hock yang mayatnya ditemui di koridor luar
Khalid berkata polis sudah memanggil dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) iaitu ADUN Kota Alam Shah, M. Manoharan dan ADUN Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah untuk membantu siasatan.

Dua individu terbabit adalah orang terakhir yang dihubungi mendiang sebelum memasuki bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk disoal siasat.

Difahamkan, taklimat kes itu dijalankan selama sejam.

Teoh, bekas wartawan adalah setiausaha politik kepada Ean Yong Hian Wah, merupakan seorang daripada saksi dalam siasatan SPRM berhubung dakwaan penyalahgunaan peruntukan negeri baru-baru ini.

Musa berkata, pihaknya percaya kes itu dapat disiapkan dalam masa terdekat.
Menurut beliau, siasatan pihaknya percaya mendiang jatuh dari tingkat 14 sebelum mayatnya ditemui kira-kira empat atau lima jam selepas itu.

Sementara itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meminta semua pihak berhenti menuding jari kepada agensi itu sebagai punca kematian Teoh kerana siasatan berhubung kejadian itu masih dijalankan.

Ketua Pesuruhjayanya Datuk Seri Ahmad Said Hamdan berkata sejak insiden itu dilaporkan, banyak pihak telah mengeluarkan pelbagai kenyataan dan komen hingga menimbulkan spekulasi dan mengganggu siasatan yang dijalankan.

"Biarlah polis siasat dan selesaikan dahulu kes ini. Janganlah keruhkan keadaan," katanya ketika dihubungi Bernama.

Teoh, 30, ditemui mati di koridor luar tingkat lima bangunan Plaza Masalam di Shah Alam, yang turut menempatkan pejabat SPRM Selangor di Tingkat 14, pada 1.30 tengah hari Khamis lepas.

Ahmad Said berkata kes penyalahgunaan peruntukan negeri yang disiasat SPRM itu hanyalah kes biasa dan bukannya kes besar sehingga boleh menimbulkan kematian.

"Bukan kerja kami hendak siasat sampai buat (kematian) macam itu sekali...kes biasa sahaja," katanya.

Ahmad Said berkata laporan sesetengah media didapati cuba mengeruhkan keadaan dan mewujudkan perselisihan faham dan tanggapan bahawa SPRM punca kematian Teoh.

"Jangan cuba wujudkan perselisian faham dan sensitiviti kaum...saya pun secara peribadi hendak tahu juga apa yang berlaku sebenarnya," katanya.

Ahmad Said berkata SPRM turut bersimpati dengan keluarga mangsa berikutan insiden itu.

sumber - hambali1


Oleh: HANAFIAH MAN

Tiada siapa waras fikiran walaupun dari apa fahaman politik sekalipun dapat menerima atau merestui jika siasatan dapati benar kematian Setiausaha Politik kepada seorang Exco Selangor, Teo Beng Hock berpunca dari tindak tanduk pegawai dalam pejabat SPRM Selangor.


Ia bukan berkait dengan kaum atau politik tetapi ia soal jenayah dan keadilan.

Ini juga bukan isu disebelah sini Barisan Nasional dan disebelah sana Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang atau Nik Aziz Nik Mat.

Dicelah-celah harapan ramai untuk mendapat jawapan segera…semakin hari semakin ramai yang terlopong melihat kes kematian Teo berputar dengan segala macam reaksi hingga ke tahap keterlaluan oleh puak-puak pakatan pembangkang hingga ada yang berani ambil peluang untuk gubal syarat itu ini ikut suka hati mereka.

Apa lagi belum pun siasatan selesai,hukuman sudah dijatuhkan.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kalau ikut cakap mereka boleh dikenakan hukuman `gantung sampai mati' kerana `bersalah ikut standard mahkamah pembangkang' .

Sudah terbentang didepan mata bagaimana kematian Teo kini menjadi isu yang dipolitikkan walaupun hakikatnya tidak semestinya sesuatu kes itu ada kena mengena dengan politik tanah air.

Pemimpin-pemimpin pembangkang seolah-olah `hilang akal' atas pentas ceramah termasuk menuduh kerajaan bertanggungjawab atas kematian Teo kerana menubuhkan SPRM.

Sedangkan semasa cadangan penubuhan SPRM, Anwar sekalu Ketua Pembangkang di Parlimen sendiri memuji langkah berani bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Badawi membawa akta penubuhan SPRM ke Parlimen.

Namun hakikatnya, manipulasi kematian Teo ini berlaku di tengah-tengah kekalutan parti-parti pembangkang hendak berhadapan dengan soal integriti apabila SPRM memulakan siasatan terhadap pemimpin parti itu yang kini menerajui kepimpinan negeri.

Jika pembangkang dengan mudah menuduh kematian Teo angkara pentadbiran Barisan Nasional (BN), apa salahnya menuduh kematiannya dijadikan perisai untuk menutup penyelewengan dan salah laku pemimpin pakatan pembangkang yang selama ini digambarkan sebagai `malaikat' – bersih, berintegriti dan tak makan suap.

Jika tidak masakan kalangan pemimpin pembangkang seperti Exco Selangor, Dr. Xavier Jayakumar dengan terbuka menegaskan mereka tidak akan membenarkan SPRM menyoal siasat mana-mana orang pakatan pembangkang selagi kes Beng Hock tidak diselesaikan.

Kenapa takut disiasat SPRM. Apa yang hendak diselindungkan jika tiada kesalahan dilakukan. Bukankah ini boleh memberikan tanggapan pihak pimpinan kerajaan negeri cuba menyembunyikan sesuatu dan menutup salah laku di kalangan mereka.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng juga memainkan lagu yang sama apabila berkata "jangan harap kita akan pergi kepada SPRM jika mereka hendak soal siasat kita, mereka perlu datang ke pejabat kita".

Kenyataannya diiring dengan aksi 40 orang pegawai khas kepada para wakil rakyat pakatan pembangkang negeri itu Isnin sepakat tetapkan syarat mereka hanya boleh untuk memberI sebarang keterangan pada SPRM di pejabat masing-masing.

Disamping itu mereka dengan berani kata hanya sedia bercakap jika dapat kebenaran dari bos masing-masing.

Dalam satu lagi tindak nak tunjuk berani engkar,juga Isnin Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar memberitahu Ahli Majlis Perbandaran Kajang, Tan Booh Wah menolak permintaan untuk memberikan kenyataannya kepada polis yang kini sedang menyiasat kes kematian Teo.

"Kita sudah menghubungi Tan tetapi beliau menolak, jika beliau menolak untuk tampil ke hadapan, kita terpaksa menyamannya di bawah Seksyen 111 Kanun Acara Jenayah," katanya.

Katanya polis juga telah mengeluarkan saman terhadap Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Perumahan dan Penyelesaian Kilang Haram Selangor, Ean Yong Hian Wah dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Alam Shah, M. Manoharan untuk hadir memberikan keterangan berhubung kes tersebut.

Begitulah besarnya lesen mereka untuk menentukan apakah bentuk sistem keadilan yang terpakai kepada mereka. Istimewanya mereka boleh menentukan syarat bila, di mana dan cara mana siasatan boleh dijalankan terhadap mereka.

Jika selama ini ada sahaja dakwaan penyelewengan dibuat, merekalah yang dahulu melalak mahukan siasatan segera dibuat. Tapi bila kena batang hidung sendiri, pelbagai alasan dan isu digunakan.

Terbaru, SPRM dituduh menjalankan siasatan kerana ingin menumbangkan kerajaan pakatan pembangkang di Selangor.

Ahli Parlimen Pantai Remis yang juga bekas Exco Perak, Nga Kor Meng menuduh SPRM melakukan siasatan ke atas beberapa pemimpin kerajaan negeri Selangor bagi membolehkan BN mengambil alih kerajaan Selangor.

Apa punya `gila' hujah orang yang `hilang akal' ini – semuanya dipolitikkan. Mati politik, siasatan pun politik.

Soalnya apakah semua pemimpin pakatan pembangkang malaikat dan `maksum'- tidak melakukan dosa.

Berdasarkan beberapa isu yang melanda para pemimpin pembangkang sekarang, jelas usaha melengah-lengahkan proses keadilan semacam sudah menjadi satu trend.

Lihat sahaja kes liwat Anwar. Hampir sebulan lagi, genaplah setahun sejak kes tersebut dilaporkan kepada polis oleh mangsa yang mendakwa diliwat oleh Penasihat PKR itu, Saiful Bukhari Azlan tetapi sehingga kini belum pun mula dibicarakan.

Bermula daripada mahu menentukan mahkamah mana yang patut mendengar kesnya, hakim mana yang layak, Peguam Negara dan Ketua Polis Negara dipertikai dan pelbagai helah perundangan cuba digunakan untuk melengah-lengahkan proses keadilan dijalankan.

Kalimat popular di kalangan pengamal undang iaitu ` keadilan dilengahkan, keadilan dinafikan' yang juga turut dikongsi bersama oleh para pemimpin pembangkang apabila hendak menyerang kerajaan, seakan-akan tidak terpakai kepada mereka.

Mereka bukan sahaja boleh melengahkan proses siasatan tetapi juga proses perbicaraan.

Kematian Teo berlaku tepat pada masanya – tatkala pembangkang tercari-cari perisai untuk menutup malu atas angkara dan salah laku mereka yang baru sahaja 16 bulan memegang tampuk kuasa.

Dengan slogan bersih, telus, berintegriti – siasatan SPRM sudah tentu mencalarkan imej bersih yang cuba ditonjolkan pembangkang selama ini bagi mengabui mata rakyat.

Pokok pangkalnya,selagi misteri punca kematian Teo tidak terungkai secara pasti menerusi siasatan rapi polis - `sandiwara' puak-puak ini untuk raih markah politik melalui berbagai aksi yang ` over' akan buat lebih ramai makin menyampah dari simpati.

sumber - agendadaily