SEREMBAN: Tindakan bekas Menteri Undang-undang yang kini ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR), Zaid Ibrahim, mengajak Tengku Razaleigh Hamzah menyertai pembangkang, sebenarnya cuba merendah-rendahkan kewibawaan veteran Umno itu, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno itu, berkata ini kerana Tengku Razaleigh bukan sebarang orang sebaliknya adalah seorang pejuang parti Umno.
"Beliau menjadi pengasas parti sejak dari dulu lagi, ini macam Zaid merendah-rendahkan kewibawaan politik Tengku Razaleigh, walaupun beliau tidak berjawatan tetapi beliau masih aktif dan cergas (dalam Umno)," katanya selepas merasmikan Persidangan Perwakilan dan Mesyuarat Agung Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia, hari ini.
Beliau menegaskan Tengku Razaleigh adalah satu daripada sebab Umno mendapat kemenangan moral pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai di Kelantan pada 14 Julai lalu apabila calon Barisan Nasional (BN) kalah tipis dengan majoriti 65 undi kepada Pas.
"Jadi saya fikir, Zaid kena hormatlah, dia sudah masuk PKR tidak mengapa," katanya mengulas pelawaan Zaid supaya tokoh politik tersohor Umno itu yang juga ahli Parlimen Gua Musang menyertai parti pembangkang yang dibuat melalui blognya.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri turut ditanya sama ada kakitangan kerajaan sudah hilang integriti apabila terbabit dalam kegiatan jenayah seperti kes tangkapan sembilan kakitangan Jabatan Imigresen di Johor semalam atas dakwaan terbabit dalam kegiatan penyeludupan manusia.
Muhyiddin berkata, kes itu tidak sepatutnya dijadikan kayu pengukur kepada prestasi kakitangan kerajaan yang lain, malahan penilaian prestasi serta kepercayaan orang ramai terhadap kepada mereka harus dibuat secara berterusan.
Katanya, negara sudah pun mempunyai Institut Integriti Nasional yang memandu kakitangan kerajaan meningkatkan kecekapan serta tanggungjawab mereka. - Bernama
xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx
ULASAN TM,
Zaid lupa sejarah. Ku Li bertanding jawatan prresiden parti 1987 adalah kerana tidak bersetuju dengan kemasukan Anwar.yang melompat naik macam kuda gila, tak semuda itu untuk Ku Li menyokong parti PKR. Lebih baik Ku Li hidupkan semula Semangat 46 dpd menyertai PKR.