Politik baru yang menjadi tumpuan di negara kita sejak penghujung abad ke-20 boleh ditakrifkan sebagai proses politik yang merupakan gerakan reformasi menentang korupsi, kronisme dan nepotisme.
Ia bertujuan memperjuangkan dasar-dasar kerajaan yang lebih bebas, demokratik, adil dan progresif bersesuaian dengan kepentingan masyarakat sivil, hak-hak asasi manusia serta nilai-nilai universal.
Sedangkan politik perkauman pula jati diri politik Umno, Perikatan atau Barisan Nasional yang bermula dengan penggantian slogan “merdeka” yang dikemukakan oleh Melayu progresif dengan slogan “Hidup Melayu” pada 1947 apabila Umno ditubuhkan.
Parti-parti politik berasaskan kaum sentiasa mendakwa diri mereka sebagai wakil kepentingan kaum terbabit dan kononnya memperjuangkan kedudukan, hak-hak dan kepentingan kaum masing-masing. Pada hakikatnya mereka sering memperalatkan nama dan sentimen kaum untuk mencapai kepentingan peribadi golongan berkuasa dan kroni-kroninya.
Sejak penubuhan, politik perkauman Umno, Perikatan atau Barisan Nasional secara berterusan memenangi setiap pilihanraya umum, seolah-olah institusi politik perkaumannya sudah terlalu berakar-umbi dan tidak dapat dikalahkan lagi.
Kerana, jika tampuk pemerintahan mereka terancam, maka mereka dengan tidak teragak-agak dan sewenang-wenang akan menggunakan akta ISA untuk menahan musuh politiknya, malah digertak dengan ulangan tragedi 13 Mei.
Namun tsunami politik 8 Mac 2008 sudah membuktikan bahawa ideologi politik baru yang rentas sempadan kaum, politik perkauman Umno, Perikatan atau Barisan Nasional juga boleh dikalahkan.
Dengan kata lain, dakwaan bahawa Umno atau Barisan Nasional tidak terkalahkan sudah menjadi dongeng politik pra-8 Mac!
Pakatan Rakyat, terutama di lima negeri yang diperintahnya, seolah-olah sudah diamanahkan dengan tugas untuk melaksanakan politik baru di negara kita.
Pada umumnya mereka disambut baik oleh rakyat pelbagai kaum sehingga rampasan kuasa Barisan Nasional di Perak - yang mengingkari kemahuan pengundi - telah dihukum dalam pilihanraya kecil di Bukit Gantang dan Bukit Selambau dengan majoriti yang lebih besar berbanding dengan majoriti yang diperolehi oleh calon-calon Pakatan Rakyat pada pilihanraya umum lalu.
Umno dan parti-parti komponen BN terpaksa mengaku kini mereka sudah tiada pilihan lagi melainkan berubah atau diubahkan. Kekalahan pada pilihanraya kecil di dua Bukit itu sudah mematikan akal Umno dan Barisan Nasional seperti runggutan timbalan perdana menteri.
Tan Sri Muhyiddin Yassin melahirkan kekecewaan bahawa peruntukan-peruntukan yang diberikan kepada pengundi seolah-olah tidak dihargai! Barisan Nasional mungkin tidak mahu mengambil risiko untuk meletakkan calonnya dalam pilihanraya kecil yang bakal diadakan di DUN Penanti, Pulau Pinang untuk mengelak nasib yang sama seperti pada pilihanraya kecil awal April lalu.
Meskipun saf pimpinan baru Umno dalam era Najib Razak berjanji akan berubah dengan slogan baru "Satu Malaysia, Rakyat didahulukan, dan pencapaian diutamakan", namun tidak ramai yang percaya politik perkauman Umno sanggup diubah.
Sebab-sebabnya:
Pertama, peluang keemasan bagi Umno berubah sepatutnya selepas pilihanraya umum 2004 sewaktu perdana menteri Abdullah Ahmad Badawi telah diberi mandat yang kuat. Namun mandat itu telah disia-siakan kerana Pak Lah tidak berupaya melaksanakan perubahan seperti yang dijanjikan.
Beliau malah terpaksa berundur selepas tsunami 8 Mac akibat tentangan dan desakan kumpulan Dr Mahathir Mohamad-Najib-Muhyiddin dari dalaman dan strategi rampasan kuasa Anwar yang adventuris dan agresif dari luar.
Kedua, perdana menteri baru dibebani banyak unsur negatif, termasuk:
(a) Beliau elak mengulas laporan Utusan Malaysia yang menyeru 'Bangkitlah Melayu' agar bersatu dalam berhadapan dengan tuntutan kaum lain yang kini dilihat "semakin keterlaluan” yang nyata sekali amat bersifat rasis dan bertentangan dengan gagasan "Satu Malaysia" anjuran Najib.
(b) Baru-baru ini tiga orang dilaporkan menjadi mangsa terbaru akta ISA dan menteri penerangan Datuk Seri Dr Rais Yatim mempertahankan ISA dalam satu program televisyen BBC.
Malah beliau memberi arahan kepada pengendali-pengendali stesen TV dan radio swasta agar aspirasi kerajaan hendaklah disebarkan dengan secukupnya demi menjamin kemenangan BN dalam pilihanraya yang akan datang.
(c) Kebebasan media tersekat, misalnya wujud arahan agar nama-nama Abdul Razak Abdullah Baginda, Najib dan isterinya tidak disebut dalam segala laporan media berkaitan dengan kes Altantuya.
(d) Politik perkauman Umno dan Barisan Nasional yang sudah diinstitusikan melalui dasar-dasar kerajaan dan kumpulan berkepentingan tentu cuba mengekalkannya demi mempertahankan kuasa politik dan kepentingan individu.
Jika perubahan Umno dalam era Najib hanya “indah khabar daripada rupa”, maka adakah politik baru Pakatan Rakyat boleh diharapkan?
Kemenangan calon Pakatan Rakyat di Bukit Gantang dan Bukit Selambau dan keraguan BN untuk meletakkan calon di DUN Penanti secara simbolik membayangkan sokongan pengundi kepada pakatan tersebut untuk memperjuangkan politik baru sungguhpun ia juga pernah mengecewakan mereka, terutamanya:
Bagaimanapun, merealisasikan cita-cita politik baru di negara kita menjadi tugas sejarah yang patut dipikul oleh seluruh rakyat Malaysia, antara lain:
Artikel ini diubahsuai daripada ucapan penulis di seminar anjuran bersama Therocknews.com dan jawatankuasa hak sivil Dewan Perhimpunan Cina Selangor dan KL pada 22 April 2009