Adat dunia, bila seseorang itu berkuasa ia dihormati, salam tunduk dan cium tangan, balik dari luar negara pun ada yang sanggup bersengkang mata di airport tengah-tengah malam semata-mata ingin menyambut kepulangan pemimpin.
Akan tetapi bila pemimpin itu melepaskan kuasa dan mengundur diri maka masing-masing menyepi , tiada siapa lagi yang sanggup bersengkang mata di tengah malam untuk menyambut kepulangan beliau di lapangan terbang. Tiada siapa lagi yang berebut-rebut untuk membuka dan menutup pintu keretanya.
Ini lah nasib seorang pemimpin. TM satu ketika dahulu pernah melihat sendiri Tunku Abdul Rahman bersendirian tanpa teman-teman yang sama-sama ketawa dahulu, mungkin kerana mereka telah pergi lebih dahulu daripada Tunku. TM terserempak dengan Tunku di hadapan Masjid Zahir , Alor Star pada waktu petang. Mungkin Tunku teringin untuk melihat-lihat istana yang letaknya di hadapan masjid tersebut. Tunku hanya ditemani oleh pembantu-pembantu sahaja yang datang dengan sebuah mercedes lama. Sayu dan sedih melihat Tunku yang pada waktu itu nampak akan keuzurannya. Tidak berapa bulan selepas itu Tunku kembali kerahmatullah. Itu cerita Tunku.
Hari ini bekas pemimpin kita yang kita sayangi tak lain dan tak bukan ialah Tun Mahathir Mohamad. Bekas Perdana Menteri Malaysia selama 22 tahun. Mahathir diberi gelaran Tun dan wajar dihormati oleh seluruh rakyat negara ini tak kiranya budak kecil , bapa budak atau pun menteri-menteri.
Lebih-lebih lagi wakil-wakil rakyat di Parlimen ataupun di DUN. Jika mereka dari pihak pembangkang tidak mahu menghormati Tun Mahathir tidak menjadi soal. Ini yang menyedihkan ialah orang Umno sendiri yang pernah ditatang dan diasuh oleh Tun Mahathir sanggup bersikap kurang ajar. Bukan sekali. Baru-baru ini beliau sekali lagi menunjukkan keangkuhan dan kesombongannya terhadap Tun Mahathir. Perbuatannya tidak boleh dimaafkan. Harap MT Umno dapat mengambil satu langkah yang baik membendung perbuatan menghina dan mencemuh pemimpin kita. Walaupun beliau bukan lagi Perdana Menteri tidak bermakna ia tidak perlu dihormati.
Kemana sahaja Tun pergi rakyat menyambut beliau sebagai pahlawan, orang yang banyak berjasa kepada negara bangsa. TM amat sedih kerana pemimpin Umno yang sepatutnya menunjukkan sifat dan budi pekerti yang baik hari ini telah sekali lagi menunjukkan satu perilaku yang amat buruk. Kanak-kanak , remaja melihat akan tuturkatanya. Tidak hairanya jika anak muda membenci pemimpin kita. jika begitu cara yang ditunjukkan.
Walaupun ramai rakan-rakan meminta TM pula mendedahkan akan keburukan beliau , tetapi setakat hari ini biarlah TM menyimpan segala-galanya. tak sanggup untuk mengaibkan orang.