IPOH 5 Feb. - Ekoran penahanan empat kakitangan agensi kerajaan di negeri ini dalam skandal permit mengeluarkan pasir, Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir memberi amaran keras kepada semua penjawat awam supaya menjauhi penyalahgunaan kuasa.
Beliau menegaskan, tindakan segelintir penjawat awam yang tidak bertanggungjawab itu akan memberikan imej buruk kepada majoriti kakitangan kerajaan lain yang menjalankan tugas dengan baik.
''Saya tidak akan bertolak ansur dalam hal ini kerana menjadi dasar kerajaan negeri untuk pastikan penjawat awam menjalankan tugas dan amanah yang diberikan dengan sebaik-baiknya.
''Kita tidak akan melindungi mereka yang terlibat dalam penyalahgunaan kuasa dan kita tidak akan biarkan ia menjadi barah dalam setiap organisasi kita," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan Tahun Baru Cina kepada lebih 1,000 warga emas dan orang kurang upaya di Wisma Persatuan Bulan Sabit Merah di sini, hari ini.
Zambry mengulas mengenai penglibatan empat kakitangan agensi kerajaan negeri ini dalam skandal mendapatkan kelulusan permit mengeluarkan pasir di Kuala Kangsar baru-baru ini.
Hadir sama Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Kong Cho Ha dan Timbalan Menteri Luar, Datuk Lee Chee Leong.
Dalam perkara lain, Zambry memberitahu, kerajaan negeri akan menganjurkan sambutan Tahun Baru Cina pada 21 Februari ini di lokasi yang belum ditetapkan.
''Pada masa ini, kita sedang pilih lokasi sesuai dan kerajaan negeri bercadang untuk mengadakan sambutan Tahun Baru Cina di tempat yang mempunyai ramai komuniti kaum Cina.
''Tuanku (Sultan Perak, Sultan Azlan Shah) juga berkenan untuk mencemar duli bagi menghadiri sambutan Tahun Baru Cina ini," katanya.
Sementara itu, Cho Ha yang juga Pengerusi MCA Perak memberitahu, sambutan rumah terbuka Tahun Baru Cina parti itu akan diadakan pada 14 Februari ini di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yuk Choy di sini.
''Menteri Besar Perak akan hadir sebagai tetamu kehormat kita pada hari itu," katanya