Apakah benar generasi muda tidak meminati politik? TM tidak membuat kajian atau soal selidik tetapi cukup dengan melihat, membaca dan menilai.
Adalah tidak benar jika dikatakan generasi sekarang tidak minat politik kepartisan. Mereka sememangnya berminat cuma banyak halangan yang berada di hadapan mereka jika mereka ingin berparti.
Untuk menyertai parti Umno amat sukar, terutama kepada generasi muda yang berada di bandar, mereka hanya mengharapkan segala-galanya boleh dibuat melalui online, sedangkan untuk masuk dan mendaftar cukup sukar, kerap kali gagal.
Salah siapa jika ini terjadi, bagi TM salahnya ialah Umno kerana gagal memantau syarikat yang dipertanggungjawabkan untuk menyediakan portal tersebut. Manakala untuk masuk ke parti pembangkang memang mudah.
Jika pelajar tersebut keluaran dari Universiti Malaya, mereka akan dijaga dan dikepung oleh persatuan yang pro pembangkang. Ke mana sahaja mereka berada maklumat dan info politik akan sampai. sehinggakan untuk mengundi pun mereka di maklumkan no saluran dan nama pusat mengundi. Begitu lah hebatnya mereka.
Generasi muda hari ini lebih percaya kepada isu dan persepsi yang dimainkan oleh pembangkang. Tanpa memikir dan menilai mereka akan terima bulat-bulat apa yang mereka dengar, baca dan lihat.
Bagaimapun golongan ini tidak lah banyak tetapi jika dibiarkan parah juga jadi nya. Umno dan BN hari ini kekurangan pemidato yang berani menjawab segala isu. Dalam Umno kebanyakan pemidato adalah mereka yang keluar dari Pas dan Pkr.
Bagaimanapun itu pandangan Tm, mengikut kajian Dr Abu Hassan Hasbolah, lain pulak pendapat mereka
Lebih ramai pengundi muda dilihat cenderung menjadi pengundi non-partisan (tidak memihak) pada pilihan raya umum ke-13 akan datang, demikian menurut analisis beberapa pemerhati politik.
Trend politik semasa dilihat antara penyumbang kepada senario itu berlaku.
Selain itu, perkembangan teknologi maklumat dan media baru menyebabkan golongan itu tidak lagi mengakses maklumat daripada media konvensional tetapi "mencipta" maklumat dan membentuk pandangan tersendiri.
"Mereka tiada lagi kepercayaan klasik kepada politik," kata Dr Abu Hassan Hasbullah kepada Bernama di sini ketika mengulas mengenai pengundi muda pada PRU13.
Pensyarah kanan pengajian media dari Universiti Malaya (UM) itu berkata pengundi muda kini bersikap konstruktif dan liberal serta menilai sesuatu isu bukan berdasarkan ideologi politik.
"Mereka boleh ubah sokongan dan bertindak-balas bila-bila masa," katanya.
Abu Hassan berpandangan bahawa generasi muda tidak lagi memegang pada kata-kata atau janji ahli politik, sebaliknya menilai bagaimana sesuatu isu dibangkitkan dan ditangani pihak terbabit.
Beliau merujuk kepada isu-isu semasa yang semakin rumit dengan pandangan politik yang sering kali mengelirukan masyarakat seperti pendirian parti politik antara lain, mengenai isu kalimah Allah dan isu royalti minyak.
Kenyataan Abu Hassan itu selari dengan kajian dilakukan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) iaitu 70 peratus daripada mahasiswa/generasi muda tidak meminati politik dengan 10 peratus pro-kerajaan dan 20 peratus bersifat terbuka.
Kajian itu dijelaskan Presiden GPMS Jais Abdul Karim pada program "kerusi panas" di Stesen Radio 24 pada 9 Mac lepas membincangkan mengenai hala tuju pertubuhan pelajar Melayu itu.
Bagi pemerhati politik Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian, perkembangan politik di negara ini mengalami "defisit perwakilan politik" sejak dua tahun lepas.
"Parti politik dilihat masih bergelut untuk mencari legitimasi politik bagi memenuhi janji-janji mereka sejak tsunami politik pada Mac 2008," katanya.
Senario itu menimbulkan dilema kepada generasi muda mengenai persoalan adakah ahli politik hanya mewakili diri mereka atau menyuarakan hasrat rakyat di kawasan diwakilinya?
Sivamurugan merujuk kepada isu keluar parti/lompat parti yang dialami oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Tindakan keluar parti Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR an DAP di Perak pada Februari 2009 menyaksikan pakatan DAP-PKR-PAS kehilangan negeri itu kepada Barisan Nasional (BN) dan terbaru tiga wakil rakyat PKR bertindak keluar parti kerana kecewa dengan pucuk kepimpinan atau atas sebab-sebab lain.
Sivamurugan berkata ketiadaan struktur yang jelas untuk memberikan laluan kepada pemimpin muda dalam parti-parti politik juga menyebabkan kenapa golongan itu cenderung menjadi non-partisan.
"Ini kerana pemimpin muda ialah jambatan kepada pengundi muda. Hanya pemimpin muda yang memahami aspirasi golongan muda. Pihak mana yang memberikan lebih ruang kepada pemimpin muda akan mendapat sokongan pengundi muda," katanya.
Dianggarkan tujuh juta pengundi muda akan mengundi pada PRU13 dan sokongan golongan ini akan menentukan output pilihan raya sama ada memihak kepada BN atau DAP-PKR-PAS yang kini memerintah Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor.
Menyifatkan pengundi muda sebagai golongan idealis dan "anti-establishment", penganalisis politik Dr Wan Abdul Rahman Wan Abdul Latiff, berkata sokongan pengundi muda bergantung kepada faktor demografi dan taraf pendidikan individu terbabit.
Beliau berkata lebih tinggi taraf pendidikan individu itu bermakna mereka lebih terbuka dan matang untuk membuat pilihan serta tidak terperangkap dalam pengaruh lingkungan sekitar.
"Ini bermakna politik "warisan", seperti ayah BN maka anak undi BN atau ayah PAS maka anak juga sokong PAS, semakin berkurangan," kata Wan Abdul Rahman, bekas pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).