Selasa, 16 Mac 2010

UMAT ISLAM PERLU LENGKAP DIRI UNTUK MEMBANGUN

Islam di Kemboja mempunyai peluang membangun dan memajukan diri terutama dalam bidang pendidikan, ekonomi dan sosial namun mereka tidak mempunyai pengetahuan serta keperluan yang mencukupi, kata Naib Pengerusi Majlis Tertinggi Hal-Ehwal Agama Islam Kemboja Zakaria Adam.

Oleh itu, katanya, majlis berkenaan kini rancak mengadakan lawatan ke Malaysia bagi mendapatkan pengetahuan serta bantuan membabitkan beberapa keperluan bagi umat Islam Kemboja.

"Hari ini delegasi kita kira-kira 20 orang yang terdiri daripada anggota Majlis Tertinggi, pemimpin masyarakat serta imam-imam di peringkat pusat dan wilayah. Lawatan ini diizinkan oleh Perdana Menteri kita untuk menziarah dan merapatkan silaturrahim antara muslim Malaysia-Kemboja," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis makan tengah hari yang turut dihadiri Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir di kediaman rasmi Menteri Besar di sini Isnin.

Zakaria berkata umat Islam di Kemboja kini dilihat semakin membangun di bawah Perdana Menteri Hun Sen apabila mempunyai wakil umat Islam iaitu dua Senator, lima anggota Parlimen, lima sebagai timbalan menteri dan sembilan sebagai timbalan menteri dua.

Beliau berharap pertemuan dengan Zambry dan Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria dapat membuahkan hasil, sekali gus membantu kira-kira 500,000 umat Islam daripada 14 juta penduduk Kemboja.

Umat Islam Kemboja kini memerlukan pembelaan dan bantuan sewajarnya setelah mereka begitu lama tertindas dan ketinggalan di negara itu, katanya.

Sementara itu, Zambry ketika berucap berkata Kemboja sebenarnya bukan sebuah negara yang asing kepada rakyat Malaysia serta khususnya Perak.

"Persamaan budaya, agama dan bahasa menjadikan hubungan itu tidak asing dan jauh... saya berharap lawatan ini dapat mengembangkan lagi persefahaman antara sesama umat Islam serta membantu mereka," katanya.

Delegasi itu turut mengadakan lawatan silaturrahim ke Jabatan Agama Islam Perak dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak sebelum bertolak ke ibu negara bagi mengadakan perbincangan dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.