Selasa, 18 Mei 2010

KERAJAAN PAS KEDAH TENAT


Azizan nafi bubar DUN Kedah!

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak menafikan Dewan Undangan Negeri Kedah (DUN) akan dibubarkan berikutan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pakatan pembangkang disebut-sebut bakal melompat parti.

Menurutnya, jika DUN mahu dibubarkan, sudah tentu perkara itu tidak disembunyikan malah beliau sendiri akan menghebahkannya kepada pihak media. "Kedah aman damai sebab itu orang suka kacau dan jika saya nak bubarkan DUN, saya sendiri akan panggil semua wartawan untuk menghebahkan berita ini.

"Semua berita mengenai pembubaran DUN hanya khabar angin dan mainan politik pihak tertentu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini. Beliau diminta mengulas khabar angin kononnya DUN Kedah akan dibubarkan dalam tempoh terdekat kerana empat ADUN pakatan pembangkang dikatakan bakal keluar parti.

Menurut Azizan, pihaknya akan mengadakan ceramah khas pada 22 Mei ini di Kompleks Pas Kota Sarang Semut di sini bagi menjelaskan keadaan sebenar kepada rakyat negeri ini. "Empat ADUN yang dikatakan bakal keluar parti, juga akan memberi ceramah bagi menjelaskan hal sebenar kepada rakyat.

"Kita tidak mahu rakyat terus keliru dengan khabar angin mengenai hal ini dan kami akan menerangkan kepada rakyat supaya mereka tidak terpedaya dengan permainan politik sebegini," katanya. Ujarnya, khabar angin sebegini disebarkan untuk memecahbelahkan pakatan pembangkang di negeri ini namun usaha tersebut tidak berjaya.