Ahad, 20 Jun 2010
KEGIATAN MEREMPIT SEMAKIN MENJADI-JADI DI KAMUNTING
Malam tadi TM menonton 'Big Screen di Dataran Fifa Kamunting' yang berhadapan dengan Restoran Assam Pedas dan juga restoran Massa . Ini lah kali pertama TM berpeluang untuk bersama-sama dengan rakan-rakan dan penonton lain.
Kos menyediakan peralatan dan sewa khemah, air dan elektrik selama sebulan memang besar dan tak perlulah disebut berapa kosnya di sini, tahniah diucapkan kepada koperasi KITAB dan Kaunselor Abg Jo. Tanpa beliau projek ini tidak akan berjalan.
Sebelum ini dalam blog Ureka Asia ada menyebut yang terdapat remaja merempit selepas menonton bola sepak di situ dan TM ke tapak Big Screen pun bertujuan untuk meninjau adakah kenyataan dalam blog tersebut adalah benar atau tidak.
Perlawanan pertama antara Ghana dan Australia , kami dapat menonton dengan selesa, bunyi bingit terompet dari Afrika Selatan menusok ke telinga kami melalui pembesar suara memeriahkan dan menghangatkan suasana . Selesai sahaja perlawanan yang berakhir dengan seri 1:1 kebanyakan penonton mula meninggalkan Dataran Fifa tersebut.
TM terus berada di lokasi untuk menonton perlawanan ketiga antara Cameroon dan Denmark (2.30am) dan untuk melihat aktiviti merempit. Kira-kira jam 2 pagi beratus-ratus motosikal mat rempit yang rata-ratanya berskala kecil mula berhimpun disebelah jalan masuk ke Kampung Jana Kamunting. Jumlahnya cukup banyak. TM yang kerap mengikuti program bike week atau bike meet dapat mengganggarkan jumlah motosikal malam tadi melebihi 500 buah. Mereka mula merempit dalam kumpulan-kumpulan kecil mengikut giliran, bersistem dan berperaturan tetapi cukup membahayakan.
Bunyi bingit terompet dari Afrika Selatan sudah tidak mampu mengatasi bunyi bingit jentera-jentera kecil yang merempit. Sehingga tamat 93 minit perlawanan bola sepak yang dimenangi oleh Denmark (2:1) remaja diluar sana masih rancak merempit. TM dan rakan-rakan lain cukup risau untuk balik kerana keadaan jalan cukup bahaya kerana remaja ini masih gila berlumba dan jalan sudah 100 % dikuasai mereka. Bagaimana TM nekad untuk balik, apa nak jadi, jadi lah. Jika berlaku perlanggaran tak perlu berhenti, terus saja, kalau dua tiga ekor dilenyek oleh kereta TM pun lenyeklah. Nak berhenti tengok, sorry. Nak selesai sorry. Sebab budak-budak yang merempit tu lebih berani dan garang. Sanggup membunuh jika ditegur.
Apa yang dinyatakan oleh khalayak sebelum ini kononnya remaja merempit selepas selesai menonton bola sepak adalah tidak benar sama sekali. Lebih menghairankan kenapa langsung tidak ada kereta peronda polis yang meronda sepanjang jalan Kamunting Taiping dari jam 2.00 pagi sehinggalah 5.00 pagi. Sekiranya ada sebuah atau dua buah kereta peronda polis sekurang-kurangnya ia akan dapat menyebabkan mat-mat rempit akan bertempiaran lari. Apakah pihak polis sudah jemu untuk ambil tahu kegiatan remaja yang merempit ini, atau adakah polis Taiping kekurangan anggota atau kekurangan kereta peronda?
Kegiatan merempit di kawasan Kamunting ini kerap berlaku dimalam-malam minggu terutamanya jika ada cuti-cuti umum yang bersambung 3 hari samada Jumaat atau Isnin. TM dan rakan-rakan malam tadi menyarankan kepada Abg Jo supaya MPT dapat membuat beberapa unit bonggol sepanjang jalan tersebut. Bonggol ini adalah satu cara paling baik untuk mengurangkan kelajuan kenderaan.