Syarikat konsesi Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Prolintas Expressway Sdn Bhd (Prolintas Expressway) menasihati penunggang motosikal supaya tidak menggunakan laluan utama lebuh raya tersebut dan mengelak daripada memasuki lorong tol.
Penunggang motosikal, sebaliknya diminta menggunakan lorong khas motosikal yang disediakan.
"Hasil dari pemantauan, Prolintas Expressway mendapati masih ada penunggang motosikal yang tidak mengendahkan dan enggan mematuhi larangan ini. Tindakan ini bukan saja membahayakan penunggang motosikal itu sendiri tetapi turut membahayakan pengguna lebuh raya yang lain.
"Kejadian di mana palang menghempap cermin depan kereta pengguna lebuh raya selepas membayar tol kerap berlaku. Ia adalah kesan daripada sikap penunggang motosikal yang memasuki lorong tol," kata Prolintas Expressway dalam satu kenyataan.
KOMEN TM;
Saya pernah mencuba sekali dengan menonggang motosikal dari arah Utara untuk ke Shah Alam dengan menggunakan lorong motosikal yang disediakan.
Pengalaman cukup meletihkan untuk motosikal yang beratnya melebihi 200kg dan cukup menggerunkan, sunyi dan tak ramai motosikal yang menggunakannya. Tambahan pula pada waktu malam ketika itu. Bayangkan sedang kita melenggang lenggok mengikut jalan tersebut ada yang menyekat dan cuba merompak kita, lebih bahaya lagi kepada penunggang perempuan.
Adalah lebih baik pihak Prolintas Expressway menutup sahaja lorong motosikal . Terima kasih kepada PLUS yang membenarkan motosikal berada di laluan utama dan menyediakan lorong tepi untuk keluar dari rumah toll , itu lebih selamat.
Pengalaman bermotosikal di lebuhraya tersebut cukup menakutkan siang ataupun malam.