Khamis, 8 Julai 2010

Hipokrit dalam isu lesen judi Piala Dunia — Jamhariah Jaafar

June 23, 2010
23 JUN — Tepat seperti dijangka, kegagalan ‘melesenkan’ perjudian sepanjang pesta bola sepak Piala Dunia 2010, mencetus pelbagai isu terutama membabitkan pertaruhan secara haram terutama dalam kalangan rakyat bukan Islam.

Antara yang memulangkan paku buah keras ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz, yang nyata tidak dapat menahan diri daripada bertanya apakah semua tangkapan yang berlaku sejak dua minggu lalu ada membabitkan rakyat beragama Islam. “Saya nak bertanya adakah apabila kita melesenkan perjudian sukan ini ada umat Islam yang akan terbabit. Orang Islam tidak berjudi, saya tidak berjudi.

Jadi benda macam ini (melesenkan perjudian sukan) janganlah hanya bertanya kepada mereka yang beragama Islam, tanyalah kepada mereka yang bukan Islam.

“Apakah orang bukan Islam tidak penting di negara ini. Hakikatnya ialah Malaysia bukan saja milik umat Islam, orang bukan Islam juga adalah sebahagian daripada warga negara ini,” katanya tegas.

Nazri adalah antara menteri yang dikritik serius dan dilabel sebagai berpandangan begitu liberal apabila menyokong cadangan Kementerian Kewangan untuk melesenkan perjudian sukan seperti ketika kempen Piala Dunia yang sedang berlangsung di Afrika Selatan.

Ramai penganut Islam meluahkan perasaan tidak puas hati terhadap cadangan itu dan antara yang lantang mengkritik kerajaan ialah parti pembangkang yang nyata menangguk di air keruh.

Namun, beberapa kes tangkapan besar-besaran dan hakikat bahawa lebih 200,000 rakyat Malaysia terbabit dalam perjudian haram Piala Dunia setiap hari, dengan pertaruhan lebih RM300 juta, ramai yang membangkang sebelum ini mula menginsafi hakikat sebenar.

Kelmarin, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin, berkata siasatan ke atas 129 orang yang ditahan dalam Ops Soga sejak Piala Dunia bermula dua minggu lalu, mendapati setiap orang bertaruh antara RM50 hingga RM2,000. Jumlah yang dikutip boleh mencecah RM30,000 hingga RM40,000 bagi setiap satu perlawanan atau sehingga RM100,000 untuk tiga perlawanan sehari.

Nazri berkata, umat Islam negara ini tidak boleh terlalu emosional apabila berhadapan dengan isu yang sememangnya telah dijangka akan berlaku.

“Saya nak tanya lagi, ada beberapa perkara yang haram bagi umat Islam tapi tidak menjadi masalah kepada mereka yang bukan Islam dan sebagai negara majmuk kita khususkan peraturan untuk perkara seumpama.

“Contohnya, membela dan memakan babi, kita khususkan tempat pembelaan dan kita umumkan kawasan tidak halal apabila membabitkan penjualannya. Begitu juga dengan arak, kita syaratkan tempat dan kenakan hukuman sekiranya berkelakuan mabuk di tempat awam.

“Jadi kenapa dalam isu melesenkan judi sukan ini menjadi masalah pula kepada kita. Bukan kita, umat Islam, yang bertaruh. Mengapa kita perlu takut untuk mengenakan syarat yang dapat mengekang perjudian ini.

“Saya berharap lain kali orang Melayu dan umat Islam janganlah terlalu emosional tak tentu arah. Biarlah orang Cina dan India nak bertaruh... itu duit dia, kita cuma melesenkan bagi memastikan ia tidak mencetuskan pelbagai isu yang tidak diingini,” katanya.

Isu perjudian ini mencetus begitu banyak tekanan kepada pihak berkuasa. Kegagalan melesenkannya akan membuka pintu begitu luas kepada perjudian gelap, yang membawa kepada kepada isu gangsterisme.

Kumpulan gangster yang terbentuk akan mula mencipta ‘jajahan’ masing-masing dan akhirnya boleh membawa kepada pergaduhan kepada kumpulan yang tamak yang tidak teragak-agak menceroboh kawasan.

Jauh lebih buruk, ia boleh turut membabitkan pihak berkuasa apabila ada yang boleh ‘dibeli’ untuk melindungi kumpulan terbabit.

“Ini yang dikatakan ‘black economy’. Kegagalan kita untuk melesenkan perjudian sukan ini telah membawa kepada begitu banyak masalah,” jelas Nazri.

Menteri yang sebelum ini banyak bertentang pendapat dengan Tun Dr Mahathir Mohamad, kali ini bersetuju dengan pandangan bekas Perdana Menteri itu, membidas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang nyata bersikap hipokrit dalam isu ini.

“Kali ini saya bersetuju dengan pendapat Tun, Anwar memang hipokrit dalam isu melesenkan perjudian sukan, kerana ketika menjadi menteri Kabinet Barisan Nasional (BN) dia adalah orang bertanggungjawab meluluskan lesen untuk perjudian,” katanya.

Isu melesenkan judi sukan ini telah mencipta perdebatan hangat di Dewan Rakyat yang sedang berlangsung, antara dengan lantang membidas keangkuhan pembangkang yang mengkritik kerajaan tanpa mengambil kira kesan dan akibat.

Antara yang mendesak kerajaan meluluskan pelesenan untuk pertaruhan sukan ialah Ahli Parlimen (Bebas) Wangsa Maju, Wee Choo Keong, yang mencadangkan lesen ini bukan saja diberi kepada Ascot Sport, bahkan mewujudkan sistem tender terbuka bagi membolehkan syarikat lain turut berniaga.

“Adalah tidak masuk akal untuk kita menghapuskan subsidi, tapi pada waktu sama membenarkan sindiket judi haram sukan mengaut keuntungan yang banyak.

“Mengapa kita boleh menjadi bendul dan buta kepada ini semua? Mengapa rakyat harus menjadi mangsa dengan penghapusan subsidi apabila hasil pertaruhan sukan boleh menampungnya?

Pertaruhan yang dikawal selia adalah jawapan kepada masalah ini.

“Sedarlah. Bukalah mata. Janganlah kita mempertuhankan diri. “Dont play god.” Kita sendiri telah mengambil hasil daripada dana haram ini kononnya dengan cukai ke atas lesen arak, Big Sweep dan Empat Nombor Ekor, di semua negeri, termasuk Kedah, Pulau Pinang dan Selangor,” kata wakil rakyat Bebas ini mengenai pelesenan yang boleh memberi keuntungan lebih RM500 juta kepada kerajaan, kelmarin.