Selasa, 10 Ogos 2010

Permulaan bicara tentang Tanah Rezab Melayu

British tidak mengadakan apa-apa ERM di Pulau Pinang, Singapura dan Melaka.

OBJEKTIF RIZAB MELAYU


Terdapat dua objektif utama :-

  • Menyekat tanah kerajaan di dalam kawasan Rizab Melayu daripada dilupuskan dengan apa cara juapun kepada bukan Melayu
  • Menyekat tanah Pegangan Melayu atau tanah Rizab Melayu daripada dibuat apa-apa urusniaga persendirian (private dealings) di antara Melayu dan bukan Melayu.

MATLAMAT

Dengan dua objektif itu adalah diharapkan tanah-tanah kepunyaan Melayu akan berkekalan dikuasai oleh orang Melayu sepanjang zaman.

PENGISYTIHARAN

Kuasa Pengisytiharan

Di Negeri-negeri Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang di mana ERM (NMB Bab 142) dipakai, kuasa untuk membuat pengisytiharan terletak pada Menteri Besar dengan kelulusan Raja Dalam Mesyuarat (RDM). Di Johor, PTG dengan kelulusan RDM manakala di lain-lain negeri, RDM.

Tujuan Pengisytiharan
  • Untuk mewujudkan satu kawasan Rizab Melayu
  • Untuk membatalkan kawasan Rizab Melayu
  • Untuk meminda had atau sempadan mana-mana Rizab Melayu

Tanah yang boleh diisytiharkan sebagai Rizab Melayu.
  • Tanah Kerajaan
  • Tanah Hutan Simpan
  • Tanah Rizab Awam
  • Tanah Milik

Syarat-syarat Pengisytiharan
  • Tanah yang belum dimajukan (not developed) atau dicucuk tanam (cultivated) sahaja yang boleh diisytiharkan sebagai kawasan Rizab Melayu. [Perkara 89(2) Perlembagan Persekutuan]
  • Jika 100 hektar tanah kawasan baru diisytiharkan maka satu kawasan lain yang belum dimajukan atau dicucuktanam seluas 100 hektar juga hendaklah disediakan untuk diberimilik pada orang ramai termasuk Melayu. [Perkara 89(2)Perlembagan Persekutuan]
  • Jika mana-mana kawasan Rizab Melayu itu dibatalkan sama ada keseluruhan atau sebahagian daripadanya sahaja maka satu kawasan lain di dalam negeri itu yang sama jenis (similar in character) dan sama luasnya dengan kawasan yang dibatalkan itu hendaklah serta merta diisytiharkan sebagai ganti. Tanpa gantian, pembatalan itu adalah tidak sah. [ Rujuk Perkara 89 (3) Perlembagaan Persekutuan]
  • Mana-mana tanah yang dimiliki atau diduduki oleh orang bukan Melayu, atau orang bukan Melayu mempunyai hak atau kepentingan, tidak boleh diisytiharkan sebagai Rizab Melayu. [Rujuk Perkara 89(4) Perelembagan Persekutuan]
  • Bagi maksud Enakmen Rizab Melayu Kedah, tanah bandar atau tanah yang termasuk dalam kawasan “Sanitary Board” tidak boleh diisytiharkan sebagai Rizab Melayu [Sek.3(1)ERM Kedah]
  • Dibawah Enakmen Rizab Melayu Terengganu pula hanya tanah bandar atau tanah pekan sahaja yang boleh diisytiharkan sebagai Rizab Melayu. [Lihat tafsiran (d) ‘Malay Holding’]

Rizab Melayu Kekal Sebagai Rizab Melayu

Mana-mana kawasan yang telah diisytiharkan sebagai Rizab Melayu hendaklah kekal sebagai Rizab Melayu melainkan ianya diisytiharkan dan diwartakan sebagai batal oleh pihak yang berkenaan.

 
Tanah Rizab Melayu
TANAH SIMPANAN MELAYU :
LATARBELAKANG, SEJARAH DAN ISU – ISU SEMASA

Pen
dahuluan

Apabila kita membincangkan Tanah Simpanan Melayu, ia akan merujuk kepada satu bangsa yang merupakan penduduk asal bagi Tanah Melayu yang mana ia adalah merujuk kepada bangsa Melayu. Melayu merupakan satu bangsa yang terdiri daripada orang Melayu atau keturunan “Malayan” yang telah mendiami Nusantara sejak berkurun lama.


Pertubuhan Bangsa – Bangsa Bersatu untuk Pendidikan, Sosio-ekonomi dan Kebudayaan (UNESCO) telah mendefinisikan Melayu sebagai satu suku bangsa Melayu yang tinggal dan berasal dari Semenanjung Malaysia, Borneo, Thailand, Indonesia, Filipina, dan Madagaskar. Bagaimanapun menurut Perlembagaan Malaysia, istilah "Melayu" hanya merujuk kepada seseorang yang berketurunan Melayu yang menganut agama Islam.


Di dalam Enakmen Rizab Melayu bagi Negeri – Negeri Melayu Bersekutu (FMS), Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor telah memberi tafsiran Melayu yang berbeza – beza, tetapi pada asasnya ia mengandungi 3 elemen serentak di dalam mentafsirkan seseorang itu Melayu, iaitu :-


a) Berketurunan Melayu atau “Malayan”.

b) Bertutur di dalam Bahasa Melayu atau “Malayan”, dan
c) Beragama Islam.

Nota : “Malayan” adalah merujuk kepada etnik – etnik Melayu yang terdapat atau berasal dari gugusan kepulauan Melayu yang terdiri dari suku Banjar, Jawa, Minangkabau, Bowean, Patani, Bugis, Medahiling, Borneo dan lain – lain.


Kepulauan Nusantara Melayu adalah merangkumi Selatan Thailand, Semenanjung Malaysia, Pulau Singapura, Pulau Sumatera, Kepulauan Jawa, Kepulauan Riau-Lingga, Borneo, Filipina, Makasar (Kepulauan Bugis) dan Pulau Krismas (Keris Mas).



Tanah Rizab Bagi Masyarakat Natif


a) New Zealand


Undang – undang Tanah Natif telah mula diberi perhatian setelah termeterainya Perjanjian Waitangi antara Inggeris dengan Kaum Maori di New Zealand pada tahun 6 Februari 1840...Pada asalnya New Zealand merupakan sebahagian dari Kolonial British Australia dan menjadi wilayah dominion putih pada tahun 1907. Di dalam Perjanjian Waitangi 1840, Kerajaan Kolonial British telah menjamin hak – hak dan keistimewaan bagi masyarakat Maori di New Zealand termasuklah tanah – tanah milik natif.


b) Persekutuan Australia


Di Australia sebelum Pungutan Suara 1967, masyarakat orang asli telah ditindas sejak British menduduki Australia pada tahun 1788. Asalnya British telah menjadikan Australia sebagai tempat buangan pesalah dari Britain. Sepanjang era pemerintahan British dari tahun 1788 hingga 1901 dan diikuti pentadbiran Kerajaan Dominion Putih Australia, masyarakat orang Asli yang terdiri dari etnik Melenesia telah diseksa dan dinafikan hak ke atas bumi Australia. Akhirnya pada tahun 1967, Kerajaan Persekutuan Australia telah diberi kuasa bagi membentuk damn menggubal undang – undang bagi masyarakat orang asli Australia. Manakala pemilikan tanah tradisi bagi masyarakat asli orang pula telah diberi melalui kes mahkamah yang membatalkan istilah Australia yang dikenali sebagai terra nuilius semasa pendudukan Inggeris dahulu. Akhirnya, hak dan jaminan bagi masyarakat asli telah terbela dan Kerajaan Australia telah mewujudkan sebuah jabatan yang dikenali sebagai Jabatan Orang Asli bagi menjaga kepentingan dan hak – hak masyarakat orang asli di Australia.


Latarbelakang Tanah Simpanan Melayu di Semenanjung Malaysia


Sebelum kedatangan penjajah – penjajah Barat ke Tanah Melayu, sistem perundangan tanah yang digunapakai pada ketika itu adalah bercorak kepada Sistem Pemilikan Adat. Dalam konteks ini, tanah – tanah berkenaan adalah milikan bersama untuk satu suku atau kumpulan masyarakat yang telah menduduki tanah – tanah berkenaan sejak sekian lama. Pada ketika itu tidak wujud sempadan bagi mana – mana tanah individu dan ia secara langsung mewujudkan satu suasana masyarakat desa yang saling kenal mengenali antara satu sama lain. Di dalam komuniti masyarakat tradisi ini ia akan diketuai oleh seorang Ketua Kampung atau Penghulu yang dilantik dari kalangan mereka.


Selain daripada itu juga, semasa era pra penjajahan Barat, terdapat 2 jenis pemilikan tanah yang digunapakai oleh masyarakat Melayu Tradisional. Antaranya ialah, pemilikan tanah oleh golongan bangsawan (pembesar – pembesar dan pegawai – pegawai kanan kerajaan). Mereka ini juga memiliki laluan sungai utama dan kawasan perlombongan di dalam kawasan yang berada dibawah pentadbiran dan kekuasaan mereka. Manakala jenis yang kedua ialah tanah – tanah yang dimiliki oleh golongan petani. Tanah – tanah berkenaan akan dibuka dan diusahakan oleh golongan berkenaan tanpa batasan dan halangan dibawah undang – undang feudal pada ketika itu. Selain itu juga, keluasan tanah bagi sesuatu kawasan adalah luas dan boleh diterokai tanpa sebarang keperluan yang harus dipenuhi oleh masyarakat petani feudal zaman kuno. (Dato’ Dr. Nik Mohd Zain Nik Yusof, 9 November 1996).


Terdapat juga sesetengah kawasan yang merupakan kawasan tanah kurniaan Sultan kepada pembesar atau pegawai – pegawai kerajaan. Tanah – tanah berkenaan akan diusahakan oleh golongan petani dan hamba dan hasilnya akan diserahkan kepada pembesar – pembesar berkenaan dan Sultan yang dikenali sebagai Cukai Hasil. Semasa awal era penjajahan Inggeris di Tanah Melayu, orang – orang Melayu telah membuka hutan bagi tujuan pembukaan tanah – tanah pertanian dan kedatangan imigran – imigran Cina, India dan Eropah telah mengakibatkan banyak kawasan – kawasan tanah milik orang Melayu telah dijual kepada mereka. Pada ketika itu, Penjajah British telah memperkenalkan sistem pertanian moden yang boleh menghasilkan pulangan pendapatan yang lebih dari pertanian tradisional seperti getah, kelapa sawit, koko dan sebagainya.


Penemuan bijih timah dan bahan – bahan galian yang lain juga telah mengakibatkan banyak – banyak tanah milikan Melayu terjual kepada syarikat – syarikat perlombongan sama ada milik saudagar China atau Eropah. Pada tahun 1891, Sir William Maxwell telah memperkenalkan 2 bentuk pendaftaran hakmilik tanah iaitu “tanah – tanah milik orang Eropah” dan “tanah – tanah yang dipegang dibawah hakmilik adat”. Bagi mengelakkan tanah – tanah natif ini jatuh ke tangan pendatang, British telah mengenakan syarat bahawa tanah adat tidak dibenarkan dipajak atau digadai dan pada tahun 1897, Daftar Hakmilik Mukim (Mukim Register) telah diperkenalkan.


Pembangunan ekonomi Tanah Melayu pada awal kurun 20 telah menyaksikan sumbangan dari sektor perlombongan dan pertanian komersil yang banyak. Ini telah mengakibatkan golongan – golongan pendatang yang terdiri daripada saudagar – saudagar Eropah dan Cina untuk memiliki tanah – tanah berkenaan melalui pembelian tanah dari masyarakat tempatan yang terdiri daripada orang – orang Melayu. Disebabkan permintaan yang tinggi terhadap tanah – tanah yang mempunyai hasil bumi yang kaya serta kedudukan yang berhampiran dengan bandar – bandar utama telah mengakibatkan nilai tanah semasa semakin meningkat. Akibatnya banyak pemilik – pemilik tanah yang terdiri daripada masyarakat Melayu telah menjual tanah – tanah mereka kepada golongan pendatang.


Disebabkan oleh senario pembukaan tanah oleh masyarakat Melayu dan seterusnya dijual kepada saudagar – saudagar asing, pihak Pentadbir Kolonial British telah merasakan bahawa bangsa Melayu akan kehilangan tanah mereka pada suatu masa nanti jika amalan ini berterusan. Oleh yang demikian, Kerajaan Inggeris telah memperkenalkan satu enakmen yang dikenali sebagai Enakmen Rizab Melayu pada tahun 1913 yang bertujuan untuk menjaga dan menjamin kepentingan bangsa Melayu ke atas tanah dan juga untuk memastikan tanah – tanah berkenaan tidak jatuh ke tangan bukan Melayu. Tujuan utama British memperkenalkan Enakmen Rizab Melayu ini adalah untuk mencegah orang – orang Melayu dari menjual dan memperolehi keuntungan daripada penjualan tanah – tanah ini kepada bukan Melayu.


Undang – undang ini juga adalah untuk memastikan anak – anak tempatan yang merujuk kepada bangsa Melayu tidak akan kehilangan tanah mereka. Kerajaan British juga telah menjelaskan bahawa pengenalan dan penguatkuasaan undang – undang ini adalah sama seperti penguatkuasaan tanah – tanah natif yang telah digunapakai di negara – negara lain seperti di Hindia Timur Belanda, Punjab, New Zealand, Ghana, Nigeria Utara, Tanganyika (sebahagian dari negara Tanzania), Uganda, Sudan, Kenya, Malawi dan Amerika Syarikat. Undang – undang yang sedang diamalkan di negara – negara berkenaan adalah untuk menjaga dan menjamin hak – hak dan kepentingan natif selain menyekat tanah – tanah berkenaan jatuh ke tangan golongan imigran. Tanah – tanah ini juga telah diisytiharkan sebagai tanah – tanah natif.


Ringkasan Undang – Undang Enakmen Rizab Melayu


Secara ringkasnya, terdapat 2 objektif utama pembentukkan Enakmen Rizab Melayu, iaitu :-


a) Menjaga kepentingan tanah – tanah milik Melayu agar ianya tidak jatuh ke tangan orang – orang bukan Melayu.

b) Memastikan kawasan – kawasan penanaman padi dapat dikekalkan dan bagi menjamin orang – orang Melayu akan terus terlibat dengan aktiviti penanaman padi bagi dijadikan sebagai sumber makanan utama mereka yang semakin meningkat.

Tindakan British memperkenalkan undang – undang ini secara jelasnya bertentangan dengan amalan sistem ekonomi Britain yang berteraskan kepada sistem ekonomi pasaran bebas (Laissez – Faire) yang berasal dari idea Sir Adam Smith. Ini adalah bertujuan untuk memastikan pengawalan tanah – tanah oleh petani – petani Melayu dapat dilaksanakan tanpa menjejaskan kepentingan petani – petani, pemilik – pemilik ladang dan kerajaan Inggeris.


Akhirnya, Kerajaan British telah menubuhkan satu jawatankuasa yang terdiri dari kerajaan – kerajaan negeri Selangor dan Perak bagi pembentukkan Enakmen Tanah Rizab Melayu. Dan pada tahun 1913, Enakmen Tanah Rizab Melayu telah diluluskan. Dengan perlaksanaan enakmen ini, secara asasnya ia bertentangan dengan amalan kebebasan ekonomi yang diamalkan oleh Kerajaan Britain terhadap tanah – tanah jajahannya. Dengan ini, perlaksanaan sistem pasaran bebas ke atas penjualan tanah – tanah yang terkandung di dalam kawasan yang diisytiharkan sebagai rizab Melayu disekat.


Draf asal enakmen ini, peruntukkan undang – undang rezab Melayu tidak membenarkan seseorang Melayu daripada melupuskan tanah kampung kepada bukan Melayu kecuali bagi mereka – mereka yang telah dibenarkan oleh enakmen berkenaan. Pengawalan terhadap pemilikan tanah dibawah 
Enakmen Rizab Melayu 1913 adalah merangkumi aspek – aspek berikut :-

a) Kuasa yang diberi kepada Residen British bagi mengisytiharkan mana – mana tanah dalam negeri melalui peruntukkan Seksyen 3, Enakmen Rizab Melayu 1913,

b) Pemilik – pemilik tanah Melayu bagi tanah yang berada di dalam kawasan yang diisytiharkan sebagai Kawasan Simpanan Melayu adalah disekat untuk menjalankan urusniaga tanah secara persendirian,
c) Pelupusan atau pemberimilikan tanah – tanah Rizab Melayu hanya boleh dibuat dikalangan masyarakat Melayu sahaja menurut peruntukkan di dalam Seksyen – Seksyen 8, 9 dan 10 Enakmen berkenaan, dan
d) Bagi mengelakkan orang – orang bukan Melayu dari memiliki tanah – tanah Rizab Melayu, apa – apa urusniaga tanah di dalam kawasan Rizab Melayu oleh bukan Melayu adalah terbatal atau tidak sah.