Jumaat, 27 Ogos 2010

UMNO LEMAH KERANA ADA YANG MENGANGGAP IA 'IBU MADU'

Ramai yang menyertai Pas kerana parti itu menjual 'Keislaman'nya kepada generasi muda. Sama juga dengan Al-Arqam ia berjaya kerana pakaian dan amalannya yang lebih Islam daripada tok-tok guru di sekolah pondok yang dianggap ketinggalan zaman.

Umno pada asas perjuangannya adalah untuk membela nasib bangsa Melayu dan untuk membebaskan bangsa daripada penjajahan British. Melayu sanggup bekorban harta benda dan wang ringgit untuk Umno mencapai kemerdekaan. Itu dulu.

Setelah lebih setengah abad Umno memerintah dan berjaya membangunkan negara, senario Melayu sudah berubah wajah. Jika dahulu Melayu miskin, kini sudah berkereta besar dan berumah besar. Dulu makan di restoran mamak, kini di restoran juga tetapi didalam hotel-hotel 5 bintang.

Ramai Melayu yang menjadi ahli Umno dan memegang jawatan penting peringkat bahagian dan peringkat majlis tertinggi sudah bergelar hartawan dan jutawan. Umno dianggap ibu madu dan berjaya menarik lebih ramai golongan muda yang cerdik pandai menjadi ahlinya dengan harapan sama iaitu mencari kekayaan untuk diri sendiri.

Mereka yang berjaya dalam dunia mereka kemudiannya berusaha untuk berjaya dalam Umno pula, ramai yang berjaya dan ramai yang gagal. Sedihnya yang gagal terus menjadi duri dalam daging.

Impian mereka memang bagus, kerana Umno sememangnya berusaha untuk meningkatkan ekonomi Melayu. Sesiapa yang bercita-cita ke arah itu akan berjaya. Kecuali mereka yang lupa diri dari mana asal usul mereka. Jika mereka mampu dan berkebolehan mereka juga diangkat sebagai pemimpin oleh Umno tetapi ramai juga yang menggunakan kekayaan untuk meraih hati akar umbi.

Dalam tempoh itu , Melayu sudah tersenarai dalam 10 atau 40 terkaya di Malaysia. Setiap tahun kita akan lihat nama-nama baru akan dipaparkan di dada akhbar. Tahniah kepada yang berjaya. Akan tetapi hari ini nama-nama yang gah ketika itu terus lenyap daripada senarai 10 dan 40 terkaya di Malaysia dan kini muncul pula nama-nama baru.

Kejayaan usahawan-usahawan ini dikaitkan dengan Umno, Anwar dengan lantang mengkritik Syed Mokhtar Al-Bukhary kononnya beliau adalah kroni Umno yang korup, membeli semua tanah Melayu di Johor.  Dengkinya kerana Syed Mokhtar tersenarai 10 terkaya di Malaysia.

Anwar juga merupakan anak bekas  Ahli Parlimen Permatang Pauh dan kini beliau mewakili kawasan tersebut sejak mula bertanding dengan menggunakan kerusi Umno sejak tahun 1982. Anwar juga telah berusaha untuk menjadikan kaum keluarga dan sahabat handai menjadi orang-orang kaya di Malaysia.

Usaha Anwar telah menunjukkan kejayaannya. Sehingga ke hari ini harta yang dikumpulkan oleh ahli keluarga dan rakan-rakannya 7 keturunan pun makan tak habis . kata pepatah Melayu.

Begitu juga dengan seorang bekas pelajar Oxford dan Cambridge pun begitu, balik ke Malaysia dan menjadi ahli Umno, bintangnya bertambah terang setelah bergelar menantu kepada orang nombor 1 di Malaysia.

Dengan asas politik yang lemah beliau berjaya menjadi orang penting dalam Umno, kerana pepatah Melayu menyebut biduk berlalu kiambang ketepi. Dalam dunia moden hari ini kita selalu mendengar perkataan beri laluan-beri laluan jika ada kereta peronda polis atau ambulan lalu dengan beacon light dan dengan bunyi siren.

Pepatah Melayu  biduk berlalu kiambang bertaut juga telah menjadi kenyataan apabila ramai yang meninggalkan Umno untuk menyertai Keadilan dan Pas  kini kembali semula menyarung baju perjuangan Umno seperti Tun Mahathir, akan datang mungkin akan terjadi kepada Ibrahim Ali  (Perkasa).

Kelmarin Pemuda Umno Malaysia telah memberi amaran bahawa beliau akan keluar Umno jika ramai yang menyokong Perkasa. Kata-katanya lebih menjuruskan kepada ahli-ahli Pemuda Umno segenap peringkat yang kini semakin ramai menyokong dan menjadi ahli Perkasa.

Beliau dilihat sebagai amat memusuhi NGO  yang merupakan badan bertindak ini. Malah satu ketika beliau telah cuba mensabotaj program Perkasa sewaktu membuat bantahan terhadap campur tangan kerajaan Autralia dalam kes liwat Anwar.  Beliau telah membawa pengikutnya untuk setengah jam lebih awal dalam protes tersebut dan berjaya menenggelamkan agenda Perkasa dan beliau lebih banyak ditonjolkan oleh Media Perdana.

Dalam isu biasiswa yang dibangkitkan oleh YB Wee Ka Siong juga telah menunjukkan belangnya. Hari ini isu Pengetua STRAP Kulai Johor yang hangat diperkatakan. Ia bersabit satu laporan dan dakwaan pelajar dan bapanya terhadap pengetua tersebut.

Tanpa usul periksa dan kaji selidik beliau terus mengecam pengetua tersebut seolah-olah pengetua tersebut bersalah. Sebagai seorang pemimpin sikap sedemikian hendaklah dielakkan. pemimpin perlulah menjadi pendengar yang baik, pengulas yang baik dan bertindak dengan baik.

Apakah beliau kecewa kerana gagal tersenarai 40 terkaya di Malaysia atau kecewa kerana gagal menjana agenda pergerakan itu agar lebih aktif dan progresif. Apakah Umno yang diibaratkan ibu madu telah hilang manisannya atau kehabisan madu.

Seorang jurulatih bola sepak akan menyingkarkan terus seorang pemain jiika enggan menunjukkan prestasi yang baik, apatah lagi jika ada suara dan ugutan untuk meninggalkan pasukannya kerana protesnya kepada pengurusan pasukan. Jika sudah hilang jati diri tanpa alasan yang munasabah eloklah ditunjukkan jalan keluar.Itu dalam bolasepak, pengurusan berkuasa penuh, Dalam politik rakyat dan ahli Umno sendiri yang meletakkan dimana seorang pemimpin harus dilokasikan.

Peringatan sebegini bukan sahaja kepada beliau seorang bahkan kepada yang ramai diluar sana. Sertailah Umno bukan untuk kepentingan diri sendiri tetapi untuk mengangkat martabat bangsa, perjuangan bangsa dan agama bangsa.

Contohilah kata-kata pahlawan melayu, biar putih tulang, jangan putih mata. Itu lah agenda sebenar perjuangan seorang pahlawan Umno,  jangan hanya berani menghunus dan mencium keris tetapi bacul bila berdepan dengan musuh.