Jumaat, 10 September 2010

Beraya tanpa rumah

LENGGONG – Dua kebakaran dilaporkan berlaku di sini kelmarin, membabitkan dua rumah di daerah kecil Lenggong, pada waktu hampir berbuka puasa.

Dalam satu kejadian di Batu 62, Kampung Raja, dekat sini, sebuah rumah Projek Penempatan Rakyat Termiskin (PPRT) rentung dalam kebakaran 6.30 petang kelmarin.

Rafeah Ghani, 55, berkata, kejadian berlaku sewaktu dia sedang menyediakan juadah berbuka puasa.

Kata Rafeah yang juga ibu tunggal, kejadian mungkin berpunca dari kebocoran getah saluran gas memasak kerana dia terlihat percikan api keluar.

“Pancutan api itu kemudiannya menyambar rak perkakas dapur dan peti sejuk sebelum menyambar mesin penapis air serta singki, kemudian menyambar dinding dapur dan seluruh rumah.

“Saya terus berlari keluar dan menjerit meminta tolong, malangnya tidak ada yang datang menolong kerana takut,” katanya ketika ditemui di kediamannya, semalam.

Rafeah berkata, dia kemudiannya masuk kembali ke rumah walaupun ditegah seorang jiran, dan sempat menyambar selonggok pakaian berhampiran pintu masuk.

Menurutnya, dia berseorangan pada waktu kejadian kerana anak anak bongsunya, Ruzaimi Mat Isa, 18, berada di kedai makan bapa saudaranya.

“Saya tidak pasti siapa yang memanggil Pasukan Bomba dan Penyelamat Lenggong, yang pasti mereka datang sekitar jam 7.20 petang iaitu hampir waktu berbuka puasa.

“Semasa mereka tiba, rumah saya telah pun hangus. Duit simpanan Ruzaimi sebanyak RM250 hasil bekerja sambilan di kedai makan juga musnah,” katanya.

Rafeah berkata, anggaran kerugian sebanyak RM80,000 termasuk peralatan elektrik yang baru dibeli.

Rafeah menduduki rumah PPRT itu sejak sembilan tahun selepas bercerai dan kini bekerja sebagai tukang sapu di Mahkamah Majistret Lenggong dengan pendapatan RM400 sebulan.

“Kami dan dua anak saya yang baru pulang semalam terpaksa menumpang di rumah bapa saudara, Mohamad Chik dan mungkin tinggal di situ sementara waktu.

“Selepas kejadian ini, saya merasa takut untuk menggunakan dapur gas lagi. Melihat keadaan rumah, terasa sayu serta sebak,” katanya.

Sementara itu dalam satu kejadian lain di Kampung Bor, Banggol Belimbing, sebuah rumah hangus bahagian depan pada jam 5 petang.

Kejadian dikatakan berpunca daripada anak bongsu keluarga itu yang berusia lima tahun bermain bermain api.

Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Shamsul Anuar Nasara melawat kedua-dua mangsa dan menyampaikan sumbangan serta menguruskan bantuan terutama Rafeah yang tiada tempat tinggal.


sumber ; Sinar Harian