Jumaat, 10 September 2010

Terharu terima bantuan



KAMPUNG TOK NGAH – Mangsa kebakaran rumah pada 29 Ogos lalu berterima kasih kepada semua pihak dan pemimpin yang terlibat dalam menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban mereka, di sini.

Mangsa, Samail Samad, 61, berkata, walaupun mengalami bencana, namun hatinya tetap gembira di atas keprihatinan yang ditunjukkan oleh penduduk dan pemimpin setempat.

Menurutnya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Pongsu, Sham Mat Sahat hadir bersama Pengurus Besar Yayasan Perak, Abdul Jamil Mat Kasa bagi mewakili Menteri Besar Perak, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir untuk memberikan sumbangan kepada mangsa kebakaran.

“Saya sendiri terkejut dengan kejadian itu, sekaligus melenyapkan kediaman kami sekeluarga yang kini terpaksa menumpang teduh di dewan serba guna sebelum perumahan baru dibina semula,” katanya.

Seorang lagi mangsa kebakaran, Sharip Ibrahim, 38, berkata, berterima kasih kepada semua pihak yang membantu dan menghulurkan bantaun kepada keluarganya.

Manakala, mangsa kebakaran, Rosli Osman, 43, berkata, dia juga berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat memberi bantuan kepadanya.

“Diharap selepas ini bantuan pembinaan rumah akan diberikan seperti yang dijanjikan,” katanya.

Sementara itu, ADUN Alor Pongsu, Sham Mat Sahat berkata, pihaknya akan memastikan bantuan susulan daripada Kerajaan Negeri akan disampaikan kepada mereka yang terlibat.

Penyelaras Dewan Undangan Negeri Titi Serong, Abu Bakar Mat Ali berkata, pihaknya akan membawa perkara itu ke mesyuarat Fokus Group bagi membincangkan bentuk bantuan yang perlu dan sesuai diberikan kepada mangsa kebakaran di sini.

Setiap mangsa kebakaran menerima sumbangan RM1000 bagi meringankan beban mereka menyambut Syawal termasuk barangan keperluan dapur.
Sumber : Sinar Harian