Ahad, 19 September 2010

KEDUDUKAN SEMASA EKONOMI DAN SOSIAL UMAT ISLAM( MELAYU) DI MALAYSIA

KEPENTINGAN PENGUKUHAN MODAL SOSIAL
TAN SRI DR. SULAIMAN MAHBOB
Bekas Ketua Pengarah
Unit Perancang Ekonomi
Jabatan Perdana Menteri (JPM)




1.0 Pendahuluan


1.1 Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai masyarakat majmuk yang berbilang agama dan budaya. Struktur ini merupakan satu cabaran serta juga satu aset kepada kepimpinan dan pengurusan negara kita. Masyarakat Melayu yang beragama Islam merupakan majoriti penduduk negara ini sejak dari sebelum Merdeka lagi. Disebabkan faktor sejarah, khususnya dasar penjajah, masyarakat Melayu dan Bumiputera yang lain, telah ketinggalan dari segi ekonomi, walaupun semasa pemerintahan Kesultanan Melaka, rakyat tempatan (Melayu) tidak dikatakan miskin dan mereka sangat aktif pula dalam bidang perdagangan.





1.2 Dengan pelaksanaan dasar affirmative action oleh Kerajaan secara langsung, kedudukan semasa telah menunjukkan perubahan positif. Namun, perbezaan ekonomi antara kaum masih ketara dan memerlukan perhatian dasar yang berterusan.





1.3 Sejak dari Merdeka lagi, dasar awam, khususnya dalam tempoh Dasar Ekonomi Baru (DEB) 1971-1990, telah berusaha mengurangkan perbezaan ekonomi dan sosial antara kaum di negara ini. Kesan usaha ini telah menunjukkan pengurangan dalam kedudukan kemiskinan di kalangan mereka serta peningkatan paras pendapatan mutlak. Proses pembaikan ini telah dibantu oleh pembangunan ekonomi yang berterusan dan mampan, pada kadar 5 hingga 7 peratus setahun, sejak tahun 1970an melainkan semasa ekonomi negara mengalami krisis seperti tahun-tahun 1986 dan 1998.





1.4 Dasar dan usaha itu telah dilaksanakan dalam konteks ekonomi pasaran terbuka serta perkembangan ekonomi yang pesat. Dinamisme proses pertumbuhan ekonomi juga membolehkan tahap ekonomi dan sosial kaum lain bertambah baik, dari kedua-dua sudut mutlak dan relatif. Oleh yang demikian, perbezaan ekonomi dapat dikurangkan walaupun ianya tetap menjadi satu isu utama yang perlu dihadapi di masa ini dan hadapan. Strategi yang diperlukan hendaklah lebih komprehensif dan melibatkan pergerakan aset, pendapatan dan tabungan, modal insan, dasar awam dan institusi, serta budaya dan agama masyarakat Melayu dan Bumiputera yang beragama Islam. (Selanjutnya kertas ini akan merujuk istilah Melayu dan Bumiputera sebagai ummah atau masyarakat Islam walaupun ramai Bumiputera di Sabah dan Sarawak bukan beragama Islam).





2.0 Kedudukan Semasa


2.1 Semasa permulaan tahun-tahun selepas Merdeka, ekonomi orang Melayu atau orang Islam berpusat di ekonomi tradisional, khususnya ekonomi pertanian dan kegiatan luar bandar. Kerajaan ketika itu telah mengutamakan dasar pembangunan luar bandar berbentuk pelaksanaan projek kecil dan pembangunan sektor pertanian. Selepas berlakunya peristiwa 13 Mei 1969, satu dasar yang lebih mantap dan berani telah diwujudkan untuk membasmi kemiskinan dan mengurangkan perbezaan ekonomi antara kaum. DEB bertujuan mencapai perpaduan kaum ini, menjangkau tempoh 1970 hingga tahun 1990, di mana matlamat pembasmian kemiskinan dan keperluan masyarakat Melayu dan Bumiputera menguasai sekurang-kurangnya 30% dari hak milik dalam sektor korporat negara ditetapkan.





2.2 Walaupun tahun 1990 telah berlalu, matlamat DEB terus digunapakai dalam dasar pembangunan negara sehingga ke hari ini seperti dalam Dasar Pembangunan Negara, Dasar Wawasan Negara, Wawasan 2020 dan Misi Nasional, serta rancangan Pembangunan Lima Tahun. Pencapaian sekurang-kurangnya 30% hak milik bagi masyarakat Melayu dan Bumiputera kini dijadikan satu matlamat Wawasan 2020.





2.3 Usaha yang telah diambil di peringkat awal meliputi program meningkatkan produktiviti dan pendapatan di kawasan pertanian setempat seperti skim tali air dan tanam semula, dan skim pembangunan tanah seperti FELDA dan FELCRA, serta program memperbaiki peluang pekerjaan, modal insan dan mutu hidup rakyat jelata. Hasilnya, khususnya dari angka dan peratusan, jelas kelihatan: paras kemiskinan mutlak telah berkurangan, manakala tahap pendapatan, kualiti hidup, jumlah pekerja profesional Bumiputera, serta penguasaan hak milik mereka meningkat dan sebagainya




2.4 Namun demikian, jurang perbezaan relatif ekonomi dan sosial antara kaum Melayu dan Bumiputera dengan kaum Cina dan India, masih wujud dan ketara. Dari segi mutu pula, penyertaan kaum ini berbanding dengan kaum lain masih lemah, misalnya kaum Bumiputera masih berkecimpung dalam sektor pertanian dan luar bandar, dalam pekerjaan sektor awam, dan dalam perniagaan berskala kecil. Dari segi keusahawanan pula, mereka tersangat bergantung kepada kontrak dan perolehan Kerajaan sahaja. Mereka sukar mendapat kontrak daripada sektor swasta.





2.5 Begitu juga dalam penguasaan aset, hak milik masyarakat Melayu dan Bumiputera lain, adalah dalam lingkungan 19 peratus, masih di bawah sasaran sekurang-kurangnya 30% walaupun selepas 18 tahun tamatnya DEB, iaitu pada tahun 1990. Di kawasan bandar besar pula seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Ipoh, penguasaan aset seperti bangunan perniagaan adalah terlampau sedikit dan mudah dihitung. Penguasaan bangunan tertumpu kepada aset perumahan seperti di kawasan Kampung Baru, Kampung Keramat di Kuala Lumpur, manakala di kawasan lain adalah kedai runcit tradisional seperti di Kota Bharu, Kuala Terengganu, dan sebagainya. Aset yang lain merupakan hartanah dan rumah persendirian sahaja, seperti yang kelihatan di bandar Seremban, Ipoh, Kuantan dan Melaka.





2.6 Dari segi kedudukan profesional Bumiputera pula, jumlah mereka memang sudah meningkat hasil dari peluang pendidikan tinggi yang telah diperluaskan (seperti penubuhan UiTM, dan sebagainya). Namun demikian, tumpuan mereka adalah dalam perkhidmatan kerajaan dan sektor awam keseluruhannya, seperti dalam perkhidmatan perundangan dan kehakiman, kesihatan dan perguruan. Justeru, peranan mereka dalam sektor swasta masih perlu diperluaskan untuk memastikan kemampanan penyertaan mereka dalam ekonomi negara.





2.7 Yang sangat penting disebutkan ialah dari aspek keusahawanan atau entrepreneurship yang merupakan satu tunggak atau asas peningkatan kedudukan ekonomi yang mampan dan bermutu, bagi masyarakat Melayu dan Bumiputera di masa akan datang. Kekuatan/keupayaan dalam bidang ini masih kurang dan ketara, dan tertumpu kepada beberapa individu sahaja, manakala yang ramainya adalah usahawan dalam lingkungan skala kecil-kecilan sahaja, seperti perniagaan runcit dan perkhidmatan perkongsian (guaman, klinik, arkitek dan perundingan sahaja).






3.0 Modal Sosial Melayu dan Bumiputera


3.1 Keupayaan ekonomi dan sosial Melayu dan Bumiputera di masa hadapan dalam era yang lebih global, kompetitif dan liberal, akan bergantung kepada keseluruhan modal sosial (social capital) masyarakat Melayu atau Islam itu sendiri. Ini meliputi kuasa politiknya, tahap modal insan dan kepakaran setiap peringkat khususnya pengurusan, tahap pendapatan dan tabungan, penguasaan dan mobilisasi aset, seperti hartanah dan saham, penguasaan dalam rantaian pembekalan (supply chain), keupayaan dan jalinan korporat dan institusi Bumiputera, seperti PNB, Tabung Haji, FELDA, serta kedudukan masyarakat usahawan Melayu dan Bumiputera yang utuh dan mantap.





3.2 Sesungguhnya modal ini telah diwujudkan tetapi masih kecil dan rapuh. Ianya perlu diadunkan bersama dasar dan program awam serta sokongan padu masyarakat Melayu dan Bumiputera keseluruhannya untuk menjadikan satu gagasan dan gerakan yang kuat, padu, dan kukuh bagi menangani cabaran masa hadapan yang dipengaruhi oleh arus globalisasi, persaingan dan tekanan liberalisasi perdagangan antarabangsa dan sebagainya, (seperti dengan gerakan berpadu semasa pelancaran DEB pada tahun 1970/1971 dahulu.) Namun demikian, pendekatan baru dan strateginya mungkin berlainan selaras dengan keadaan semasa dan akan datang.





3.3 Modal sosial bagi kaum Melayu dan Bumiputera, serta elemennya yang ada pada masa ini perlu disesuaikan, diperkukuh dan dimantapkan supaya ianya lebih relevan dan bersedia menghadapi cabaran semasa dan yang akan timbul kelak akibat arus yang disebutkan tadi. Ada di antara institusi yang wujud pada masa ini masih mempunyai business model yang berasaskan suasana tahun 1970an (seperti PKEN dan sebagainya) dan agak kurang sesuai bagi menangani cabaran semasa dan yang akan datang. Peranan mereka perlu dikaji semula.





3.4 Modal sosial yang meliputi modal insan dalam erti kata yang luas dan menyeluruh bukan sahaja perlu mengambil kira kekuatan yang ada dan aspek arus persaingan dan liberalisasi, tetapi perlu menimbangkan juga dua aspek lain: pertama, unsur keislaman untuk mengambilkira peningkatan peranan kewangan dan perbankan Islam dan pasaran Timur Tengah, dan kedua, jalinan antarabangsa khususnya jalinan serantau, untuk tujuan meningkatkan kerjasama dan menembusi pasaran baru di rantau ini atau kawasan lain.





3.5 Dari segi fokus, modal sosial ini perlu dijuruskan kepada beberapa bidang strategik untuk mendapat faedah maksimum yang akan wujud di masa hadapan berasaskan kepada potensi, seperti perlunya peningkatan dalam penguasan dalam supply chain, industri baru yang mempunyai nilai tambah yang tinggi, serta industri yang semakin penting dengan pertumbuhan dan perubahan struktur ekonomi negara, seperti sektor industri perkhidmatan, dan sebagainya. Dengan ini modal sosial orang Melayu dan Bumiputera lain, akan bertambah kukuh dan mantap.


3.6 Modal sosial ini juga perlu memberi perhatian kepada usaha menghapuskan gejala negatif dalam masyarakat Melayu dan Islam di negara ini agar modal sosial Melayu itu tidak terhakis dari satu masa ke masa yang lain. Cabaran utama ialah dalam bidang sosial dan minda, khususnya di kalangan golongan muda untuk membantu azam bangsa memperkasakan martabat politik, ekonomi dan sosial kaum Melayu dan Bumiputera, sebagai ummah Islam di negara ini.





3.7 Tatkala ini gejala sosial seperti penagihan dadah dan `Mat Rempit' yang jelas ketara di kalangan anak muda Melayu dan Bumiputera handaklah dibanteras ke akar umbi kerana ianya akan melemahkan modal sosial kaum Melayu yang dibina selepas Merdeka pada tahun 1957. Gejala ini akan menghakis keupayaan ummah dan ketangkasan kaum untuk menghadapi cabaran di masa hadapan. Malahan gejala ini sudahpun melemahkan social capital kaum Melayu dan Bumiputera, yang masih belum kukuh lagi, akibat dari pembaziran sumber dan masa untuk mengatasi masalah sosial itu.





4.0 Cadangan Bidang-Bidang Perhatian


4.1 Kini sudah sampai masanya untuk kita meneliti pendekatan dan strategi untuk meningkatkan kedudukan ekonomi dan sosial masyarakat Melayu dan Bumiputera lain dalam persediaan mencapai Wawasan 2020 dan menghadapi cabaran dari globalisasi dan persaingan serta proses liberalisasi ekonomi antarabangsa. Strategi yang digunakan setakat ini hanya berupaya meningkatkan penguasaan milik saham korporat dalam lingkungan 18-19 peratus sahaja.





4.2 Kalau dahulu usaha pembasmian kemiskinan mutlak lebih diutamakan, kini usaha perlu ditumpukan kepada peningkatan tahap pendapatan dan tabungan rakyat Malaysia khususnya masyarakat Melayu dan Bumiputera keseluruhannya. Fokus dasar ke arah ini akan mempunyai implikasi kepada dasar awam dan pendekatan yang digunakan untuk meningkatkan pendapatan dan sumber di kalangan rakyat Malaysia serta Melayu dan Bumiputera khususnya. Cara ini akan mempercepatkan penghapusan kemiskinan serta meningkatkan pendedahan kepada inovasi dan teknologi ICT dan sebagainya dalam sistem pengeluaran negara.





4.3 Modal dan tabungan serta aset masyarakat Melayu dan Bumiputera hendaklah digerakkan menerusi institusi amanah atau sebagainya secara langsung kepada bidang perniagaan dan industri yang mempunyai nilai tambah dan peranan yang penting dalam pertumbuhan ekonomi negara dan juga kepada pertumbuhan serantau atau antarabangsa. Pegangan saham sahaja mungkin tidak memberikan faedah sepenuhnya kepada masyarakat Melayu dan Bumiputera secara maksimum selain dari pemberian dividen tahunan. Oleh itu, penyertaan haruslah merangkumi seluruh aspek value chain dan supply chain industri dan perniagaan yang terdapat penyertaan masyarakat Melayu dan Bumiputera.





4.4 Satu bidang khusus yang boleh dijadikan peneraju utama ialah bidang kewangan dan perbankan Islam yang semakin menjadi penting dalam ekonomi dunia termasuk di Eropah. Ianya sudahpun diterima di Singapura, Jepun, dan Hong Kong. Kepentingan masyarakat Melayu dan Bumiputera dalam bidang ini hendaklah dikekalkan.





4.5 Pengurusan sumber khususnya sumber asli, seperti tanah Melayu di kawasan bandar, tanah terbiar di perkampungan tradisi dan tanah waqaf di bandar utama perlu diteliti dan dihalusi untuk dimajukan. Soal rintangan (encumbrances) yang berkaitan dengan pemilikan dan harta pusaka perlu menjadi bahan penyelidikan dasar dan institusi untuk memudahkan penggunaan aset berkenaan dan memberi peluang ekonomi kepada masyarakat Melayu dan Bumiputera setempat untuk tempoh Rancangan Pembangunan Malaysia Kesepuluh, (2011-2015) kelak.





4.6 Bidang entrepreneurship atau keusahawanan yang cekap untuk mengambil risiko dari perniagaan dan perindustrian adalah satu bidang yang sangat penting sebagai asas pembentukan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB). Pada masa yang lalu, Kerajaan telah menggunakan kaedah perolehan dan penswastaan untuk meningkatkan peranan Bumiputera dalam ekonomi moden. Usaha yang lebih meluas dan yang berasaskan prinsip persaingan competitive bidding hendaklah diperluaskan supaya MPPB terdedah kepada persaingan dan pasaran demi kebaikan mereka bersama di masa hadapan, selain membantu kedudukan kewangan Kerajaan. Kajian selanjutnya perlu diadakan untuk memantapkan tahap keusahawanan Melayu dan Bumiputera di masa hadapan.





4.7 Dalam konteks modal insan, aspek ini memang kritikal dalam usaha mengurangkan perbezaan ekonomi antara kaum. Program seperti pendidikan dan latihan (human capital) berasaskan keperluan seperti mulltiple skilling dan latihan yang menitikberatkan amali dan penggunaan automasi, dan integriti pekerja, boleh meningkatkan kemampanan perusahaan dan perniagaan Bumiputera dalam masa hadapan. Pendekatan yang berasaskan automasi dan penggunaan komputer akan mengurangkan isu perbezaan produktiviti dan kualiti antara firma di negara dan di pasaran luar negara. Self-employment perlu digalakkan memandangkan dasar Kerajaan baru ini untuk memperkukuhkan iklim pekerjaan negara. Kedudukan prospek pekerjaan yang tergugat oleh ekonomi dunia semasa, memberi peluang kepada Malaysia untuk menggalakkan self-employment khususnya di kalangan graduan yang menganggur.





4.8 Akhir sekali, ialah perubahan business model beberapa agensi dan perbadanan sedia ada untuk menerajui proses meningkatkan peratusan penyertaan Bumiputera dalam perniagaan dan perindustrian. Beberapa agensi dan perbadanan yang berkaitan telahpun menyatakan hasrat dan inisiatif mereka untuk meningkatkan kecekapan selaras dengan hasrat memperbaiki service delivery sektor awam. Agensi-agensi ini memerlukan satu inisiatif baru berupa rebranding berasaskan kepada keperluan semasa untuk memperkemaskan peranan baru mereka selaras dengan kehendak semasa. Bagi agensi ini, matlamat membantu masyarakat Melayu dan Bumiputera tidak boleh diabaikan. Sebaliknya tugas mereka untuk membantu masyarakat Melayu dan Bumiputera ini perlu diperkemaskan lagi, walaupun terdapat ramai yang mempersoalkan DEB semasa DEB dilaksanakan.





4.9 Prospek pencapaian tahap ekonomi ummah Islam yang lebih mantap adalah positif berasaskan pengalaman yang telah dilalui sejak tahun tahun 1970an. Kita tidak bermula dari zero base. Program pemilikan saham menerusi agensi amanah seperti PNB, program latihan dan pendidikan yang telahpun wujud seperti UiTM, dan program entrepreneurship boleh dibina dan disesuaikan dengan kehendak semasa dan akan datang. Pengalaman dan pencapaian setakat ini atau apa yang disebutkan sebagai 'modal sosial' ummah Islam perlu diperkukuhkan lagi dengan memberi perhatian kepada bidang-bidang tertentu yang disebutkan di atas dan dilaksanakan secara bersepadu dan komprehensif. Kecapaian semasa tidak membenarkan masyarakat Melayu dan Bumiputera lalai dan tergelincir dari usaha penting memperkukuhkan 'modal sosial' ummah Islam di negara ini.





5.0 Cabaran-Cabaran



5.1 Secara kasarnya terdapat tiga cabaran utama untuk mengukuhkan penyertaan ummah Islam di negara ini. Pertama, usaha untuk meningkatkan bilangan peniaga dan pengusaha Bumiputera perlu dilipat ganda dan diperhebatkan dalam banyak bidang dan dalam semua peringkat. Usaha ini adalah penting kerana pendapatan atau keuntungan dalam kegiatan perniagaan adalah lebih lumayan dan lebih tinggi berbanding pendapatan dari sumber lain seperti upah pekerjaan. Kita mengetahui ada hadith yang menyatakan bahawa perniagaan itu memberi 90% dari jumlah pendapatan. Hakikat ini telah menyebabkan masyarakat Cina lebih gemar berniaga dari kegiatan dan pekerjaan lain, walaupun sejumlah besar di kalangan mereka tidak pernah mendengar hadith ini. Untuk tujuan ini, membudayakan kerja dan suasana berniaga di kalangan ummah Islam di negara ini harus dipergiatkan di semua peringkat. Cabaran ini memerlukan perubahan minda ummah Melayu demi memartabatkan ekonomi dan sosial mereka.





5.2 Cabaran kedua, ialah untuk meningkatkan tahap pendapatan keseluruhan masyarakat supaya ummah Islam dapat menguasai aset lain, seperti hartanah dan saham, dan sebagainya. Dengan pendapatan yang tinggi, tabungan juga akan meningkat dan boleh digemblengkan untuk pelaburan dan kegiatan ekonomi keseluruhannya. Malaysia perlu meningkatkan teknologi serta menarik minat pelabur bermodal tinggi supaya produktiviti negara terus mantap dan tahap pendapatan dan tabungan pekerja juga dapat dipertingkatkan.





5.3 Singapura telah menggunakan strategi ini dalam tahun 90an yang telah menyebabkan negara itu mencapai pendapatan per kapita yang tinggi di rantau ini. Tatkala itu industri yang berteknologi rendah dan labour intensive terpaksa meninggalkan negara tersebut dan berhijrah ke Johor dan kawasan selatan yang berdekatan dengan Singapura untuk menggunakan buruh dan tanah yang lebih rendah kosnya.





5.4 Ketiga, dalam konteks persaingan dan liberalisasi, inisiatif membantu ummah ini perlu dilaksana menerusi kaedah berasaskan pasaran di mana hasrat persaingan diambil kira. Ini bermakna kebanyakan usaha meningkatkan ekonomi ummah adalah berasaskan tender terbuka dan persaingan dan bukan kaedah `runding-terus'. Mungkin bantuan secara langsung juga agak sukar dilaksanakan. Walaupun begitu, kaedah baru ini adalah baik kerana ianya akan memupuk budaya persaingan dan ketelusan, dan kemungkinan kos yang terbaik kepada pihak Kerajaan. Keusahawanan yang tidak berteraskan kepada prinsip persaingan mungkin tidak sustainable and durable kerana ianya tidak berdaya mengatasi risiko dalam alam perniagaan.





6.0 Penutup


6.1 Dalam usaha untuk mencapai tahap ekonomi dan sosial yang lebih tinggi di kalangan masyarakat Melayu dan Bumiputera, pendekatannya hendaklah bersepadu dan mengambilkira segala kekuatan dan potensi yang sedia ada serta cabaran masa hadapan. Gerakan memantapkan social capital ummah Islam, khususnya masyarakat Melayu dan Bumiputera, memerlukan tindakan yang bersepadu dan komprehensif untuk membina seterusnya pencapaian yang telah dibuat dalam tempoh DEB dan dasar berikutnya. Tindakan yang demikian juga diperlukan untuk mengatasi cabaran yang terdapat ketika ini disebabkan tuntutan dan keperluan semasa akibat dari arus globalisasi dan liberalisasi ekonomi antarabangsa serta tuntutan supaya segala bantuan perlu dibuat secara kaedah yang berasaskan asas pasaran.