Pada tanggal 2 September 1998 Anwar dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno
16 September 2008 Anwar gagal menjadi Perdana Menteri setelah begitu yakin memperdaya semua ahli dan menipu penyokongnya kononnya sudah hampir sangat untuk merampas Putrajaya. Konon cerita , Agong sudah bersedia untuk Anwar mengangkat sumpah. Tentera juga kononnya siap untuk membantu menjayakan cita-citanya menguasai Putrajaya. Begitulah kelentong terbesar Anwar dalam sejarah negara.
16 September 2010 ketika Perdana Menteri YAB Dato Seri Najib merayakan Sambutan Hari Malaysia buat pertama kalinya di Kota Kinabalu, Anwar menyorok dalam tempayan budu. Malu dan sedih kerana gagal dalam misinya. Sakit hati terhadap Najib bukannya sedikit, marahnya sebesar Gunung Kinabalu.
Kini dalam bulan September juga sekali lagi Anwar dimalukan oleh pengikutnya sendiri dengan kekecohan dan kekecohan setiap cabang dalam pemilihan yang akan berakhir 2 Oktober ini.
Pokok , ranting dan cabang-cabang sudah mula kering, reput dan tunggu masa untuk menyembah bumi.
Punca Anwar dipecat -- Bukti perangai tidak bermoral terlalu kukuh - PM
KUALA LUMPUR 8 Sept. - Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat kerana melakukan perbuatan-perbuatan tidak bermoral yang tidak layak dilakukan oleh pemimpin negara, kata Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad.
Perdana Menteri berkata, selama ini Anwar sengaja menonjolkan imej warak dan berpegang kepada ajaran agama, misalnya dengan menjadi imam dan berkhutbah, tetapi salah laku seks sumbang yang dilakukannya bertentangan dengan imej tersebut.
Dr. Mahathir berkata, bukti-bukti mengenai perangai tidak bermoral Anwar terlalu kukuh dan ia merupakan punca bekas Timbalan Perdana Menteri itu dipecat daripada kerajaan dan UMNO.
Dalam satu afidavit yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur minggu lalu, Anwar dikaitkan dengan perbuatan meliwat seorang lelaki dan mempunyai hubungan seks dengan beberapa pelacur.
Di samping itu, Anwar juga dikatakan rapat dengan seorang pengarah syarikat, Datuk Nallakaruppan a/l Solaimalai yang didakwa telah mempergunakannya untuk membocorkan maklumat-maklumat sulit negara.
Dr. Mahathir menegaskan: ''Saya menganggap Anwar tidak layak untuk menerajui negara ini bukan disebabkan oleh soal politik, pertentangan pendapat dengan saya atau ekonomi tetapi disebabkan moralnya yang rendah.
''Perbuatan yang dilakukan oleh Anwar tidak dapat diterima oleh saya, tidak dapat diterima oleh parti saya dan tidak dapat diterima oleh negara ini.''
Presiden UMNO itu berkata demikian pada sidang akhbar selepas memberi penjelasan kepada para pemimpin UMNO di peringkat akar umbi mengenai pemecatan Anwar daripada kerajaan dan UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, petang ini.
Antara yang turut hadir pada majlis penerangan itu ialah isterinya, Datin Seri Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali, Naib Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi serta Setiausaha Agung UMNO, Datuk Sabbaruddin Chik.
Pada majlis itu, beliau menjelaskan bahawa tiada konspirasi untuk menjatuhkan Anwar seperti yang didakwa. Perdana Menteri juga menerangkan bagaimana beliau membuat keputusan untuk memecat Anwar, orang yang diasuh untuk menggantikannya memimpin Malaysia.
Menurut Dr. Mahathir, selain penyiasatan polis, beliau sendiri membuat siasatan mengenai tuduhan-tuduhan seks terhadap Anwar dan mendapati bukti-buktinya tidak dapat ditolak lagi.
''Apa yang saya tahu ialah Anwar tidak layak dan saya tak fikir ada sebab lain. Dia tidak lagi dilihat boleh diyakini untuk menjadi pemimpin negara.
''Saya amat yakin dengan semua bukti yang ada dan apa yang telah dibuat.''
Bagaimanapun, Dr. Mahathir enggan mendedahkan bukti-bukti yang beliau peroleh. Ditanya apakah alasannya untuk tidak mendedahkan bukti itu, beliau berkata: ''Sebab saya tidak mahu menyakiti orang lain kerana apa yang berlaku amat memalukan.''
Perdana Menteri secara peribadi bertanggungjawab membawa Anwar, bekas pemimpin Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), masuk UMNO pada tahun 1982 dan mendidiknya sehingga menjadi Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri.
''Saya sepatutnya memilih memecat musuh saya, bukan seorang kawan.''
Katanya, dalam kegawatan ekonomi sekarang dan menjelang temasya Sukan Komanwel XVI, beliau cuba mengelak krisis politik tetapi ''apa yang berlaku sudah di luar kawalan''.
Pada sidang akhbar itu, beliau beberapa kali berkata ''Anwar adalah kawan saya, tetapi tindakan memecatnya daripada kerajaan dan parti terpaksa dilakukan.''
Selepas dipecat, bekas Timbalan Perdana Menteri itu menafikan tuduhan-tuduhan ke atasnya yang dibangkitkan dalam afidavit di Mahkamah Tinggi minggu lalu.
Menurut Dr. Mahathir, perlakuan tidak bermoral membabitkan Anwar sebenarnya telah lama dilakukan. ''Sudah lama, tetapi saya baru tahu,'' katanya.
Ketika diberitahu oleh pemberita bahawa Anwar menafikan semua tuduhan itu, Perdana Menteri segera mencelah: ''Semua dia nafikan. Siapa yang mahu cerita kejahatan yang dia buat. Bill Clinton juga menafikannya.''
Perdana Menteri berkata, pada tahun lalu apabila terdapat tuduhan mengenai salah laku Anwar, beliau tidak mempercayainya.
''Saya kata ini fitnah untuk menjatuhkan Timbalan saya. Saya tolak sama sekali. Saya tak baca (surat mengenai tuduhan itu). Tetapi sekarang sudah terlangsung jelas.''
Ditanya adakah Anwar membuat pengakuan mengenai perlakuan sumbang seks yang dilakukan, beliau berkata, Anwar cuma mengaku dia juga seperti manusia biasa.
Ditanya adakah Anwar akan ditangkap, katanya, itu bukanlah urusannya. Beliau berkata, soal itu terserah kepada pihak berkuasa.
Mengenai majlis penjelasan kepada para pemimpin UMNO petang ini, Dr. Mahathir memberitahu, beliau nampak mereka menerima penjelasan tersebut.
''Saya harap dengan penjelasan ini orang ramai tidak akan keliru dan memahami apa yang berlaku,'' katanya.
Ditanya mengenai sesetengah pemimpin UMNO yang menyokong beliau tetapi dilihat berada di rumah Anwar selepas pemecatannya, Dr. Mahathir menjawab ringkas, beliau ''tidak boleh baca apa ada dalam hati orang.''
Menurut Perdana Menteri, Anwar telah diberi peluang untuk membela diri tidak seperti apa yang terjadi pada pemimpin dan ahli UMNO lain yang dikenakan tindakan ketika Anwar menjadi Pengerusi Jawatankuasa Disiplin UMNO.
''Mereka yang dikenakan tindakan disiplin itu tidak mendapat peluang seperti diberi kepada Anwar,'' kata beliau.
Oleh: BAHAROM MAHUSIN dan MAZLIN
'Sengketa' Wan Azizah-Azmin hanya permainan
KUALA LUMPUR 26 Sept. - Situasi dalaman Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang memperlihatkan seolah-olah wujud persengketaan di antara Presiden, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Ismail dengan Naib Presiden, Azmin Ali sebenarnya tidak berlaku sebaliknya merupakan perancangan politik Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Presiden Parti Bersatu India Malaysia (MIUP), Datuk S. Nallakaruppan berkata, gambaran itu sengaja diwujudkan oleh Anwar bagi memastikan Wan Azizah kekal sebagai Presiden, Azmin memenangi kerusi Timbalan Presiden dan anaknya iaitu Nurul Izzah muncul sebagai Naib Presiden.
"Hanya orang bodoh yang akan percaya terdapat kem berbeza dalam PKR iaitu di antara Wan Azizah dan Nurul Izzah yang menentang Azmin.
"Oleh itu, saya ingin mengajak rakyat Malaysia untuk memberikan Anugerah Penulis Skrip Putar Alam Terbaik Malaysia kepada Anwar yang berjaya mewujudkan situasi persengketaan ini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas perkembangan terbaru menjelang pemilihan PKR November ini yang turut menyaksikan Nurul Izzah bakal bertanding jawatan Naib Presiden parti.
Sebelum itu, Nurul Izzah pernah menyatakan sokongan terhadap seorang lagi calon Timbalan Presiden, Datuk Zaid Ibrahim bagi menentang Azmin yang dikatakan memang menjadi pilihan Anwar berikutan hubungan istimewa kedua-dua mereka.
Sokongan terbuka kepada Zaid itu turut menguatkan desas-desus dalaman PKR yang mengatakan tindakan Nurul Izzah itu adalah bagi menyatakan protes terhadap sokongan Anwar terhadap Azmin.
Nallakaruppan yang juga bekas rakan karib Anwar menambah, tindakan pemimpin PKR itu yang mengumumkan untuk tidak bertanding sebarang jawatan parti baru-baru ini merupakan strategi bagi memastikan kesemua individu rapat dengannya akan terus menguasai PKR.
"Dalam hal ini, Azmin, Wan Azizah serta Nurul Izzah akan kekal di tampuk pemerintahan tertinggi PKR dan jika situasi ini bukan menggambarkan amalan kronisme dan nepotisme politik, saya tidak tahu apakah ia.
"Kasihan Zaid yang ingin bertanding Timbalan Presiden, sebagai pendatang baru dalam PKR, Zaid sama ada perlu memecahkan monopoli kronisme dan nepotisme itu atau menyertai mereka untuk mendekati Anwar," jelasnya.
Nallakaruppan mendakwa, beliau juga merupakan mangsa permainan politik Anwar sebelum ini, ketika mahu bertanding jawatan Naib Presiden PKR pada pemilihan 2007.
Namun, kata beliau, hasratnya itu terbantut apabila Anwar menelefonnya dan meminta beliau menarik diri bagi memberi laluan kepada Azmin menduduki jawatan tersebut.
"Pada perbualan telefon itu, Anwar janji untuk menjadikan saya Naib Presiden melalui lantikan tetapi dengan syarat tarik diri bertanding. Tapi atas dasar prinsip, saya bukan setakat tarik diri malahan terus keluar daripada PKR," tegasnya.