Selasa, 28 September 2010

SIAPA YANG SAIFUDIN MAKSUDKAN ANASIR LUAR?

Anasir Luar Parti Cuba Sabotaj Proses Pemilihan KEADILAN

Oleh Fazli Othman

PETALING JAYA 27 Sept - Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) merumuskan permasalahan yang berlaku di beberapa cabang tertentu semasa proses pemilihan minggu lepas berpunca daripada tindakan subversif kumpulan individu bukan anggota parti yang mahu memberi tanggapan negatif terhadap keupayaan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) untuk mengendalikan pemilihan.

Setiausaha Agung, Saifuddin Nasution Ismail berkata JPP sedang menyemak dan meneliti laporan terperinci yang dikemukakan pengawas pemilihan yang bertugas semasa pemilihan di cabang-cabang terbabit.

Di samping itu, JPP katanya akan menimbang aduan dan rayuan dari anggota parti bersangkutan proses pemilihan dan perjalanan mesyuarat agung tahunan cabang (MATC).

"Satu perkara yang amat memberangsangkan ialah keghairahan luar biasa anggota parti untuk mengambil bahagian aktif dalam proses pemilihan parti, meskipun KEADILAN baru memperkenalkan sistem pemilihan langsung sebagai langkah memperkasakan demokrasi di dalam parti.

"Kita yakin natijah pelaksanaan kaedah "One Person One Vote" adalah satu keputusan yang tepat lagi mengukuhkan parti dari segi jangka panjang dalam proses pendidikan demokrasi kepada rakyat," kata beliau pada sidang media di ibu pejabat parti di Tropicana pagi tadi.

Saifuddin juga mengesahkan terdapat elemen atau anasir luar parti yang melakukan tindakan provokasi seperti memecahkan peti undi, menabur kertas undi dalam hujan dan seterusnya beredar dari lokasi pemilihan.

"JPP mengesahkan wujudnya elemen provokasi, apa yang berlaku, sama sahaja coraknya, iaitu ambil kotak undi, pecahkan dan kemudiannya tabur kertas undi dan beredar tinggalkan dewan mengundi. Itu yang berlaku di Klang dan di Kapar, coraknya sama.

"Selepas kita tengok 'footage video' kejadian itu berulangkali, kita mensyaki dan kita mempunyai sebab mempercayai bahawa tujuannya hanya untuk provokasi," jelas beliau.

Beliau juga menyanggah dakwaan sesetengah calon yang bertanding kononnya JPP tidak bertindak adil dan cuba menyebelahi calon yang merupakan ahli parlimen dan ahli dewan undangan negeri.

"Kita dengar dakwaan itu, kalau benar dakwaan itu, YB Telok Kemang tidak kalah, YB Elizabeth juga tidak akan kalah, YB Lim Soo Nee di Kulim juga tidak akan kalah atau pun pemimpin yang lebih senior seperti Mustaffa Kamil Ayub pun tidak akan kalah kerana JPP akan tolong mereka.

"Antara dakwaan dan realiti, ternyata berbeza, ada ahli yang berhormat menang dan ada juga yang kalah, jadi dakwaan kononnya JPP mengambil sikap berpihak dengan sendirinya tertolak," tegasnya lagi.

Sehubungan itu Saifuddin berkata JPP memberi jaminan akan cuba meminimumkan permasalahan berkaitan proses pimilihan apabila 39 cabang mengadakan mesyuarat agung hujung minggu ini.

Sementara itu, Saifuddin memaklumkan kepada media, daripada 166 cabang yang mengadakan MATC, 96 peratus atau 159 cabang telah berjaya menyempurnakan mesyuarat agung dan pemilihan pimpinan cabang masing-masing.

Manakala 7 cabang daripada jumlah tersebut tidak berupaya meneruskan proses pemilihan dan mesyuarat agung ditangguhkan kepada satu tarikh yang akan diputuskan oleh JPP.

Ini termasuk cabang-cabang Klang, Kapar, Petaling Jaya Selatan, Kuala Langat, Jerai, Merbok dan Kuala Nerus.

NOTA KAKI
Pemilihan PKR bermula dari 17 September 2010 sehingga 02 Oktober 2010. Bagaimanapun persidangan hujung minggu lalu mencetuskan pelbagai masalah dan melibat pergaduhan sehingga berlaku pukul memukul.

Kemungkinan besar pemilihan kali ini akan dibatalkan oleh Majlis Tertinggi parti apabila banyak berlaku kekecohan dalam beberapa  cabang peringkat negeri.  

Saifudin cuba menyalahkan anasir luar yang cuba mengganggu kelancaran pemilihan PKR. Saifudin seolah-olah meletakkan kesalahan kepada UMNO.

Saifudin sepatutnya menyalahkan Hindraf yang melakukan pelbagai masalah dalam parti. Saifudin seharusnya tidak menjadi bangau yang sentiasa menyalahkan pihak lain apabila timbul masalah. Hindraf menguasai sebahagian besar cabang-cabang PKR di beberapa kawasan di Selangor.