Selasa, 14 Disember 2010

Hakim Syariah khalwat?

GEORGETOWN: Hakim Mahkamah Tinggi Syariah yang ditahan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) kerana disyaki bersekedudukan dengan seorang wanita di kuarters kerajaan di sini, baru-baru ini dilepaskan dengan bon jaminan oleh Mahkamah Rendah Syariah Timur Laut, semalam.
Hakim berusia 40-an dan pasangannya berusia 30-an itu dibawa ke mahkamah oleh JHEIAPP bagi memohon jaminan selepas pihak peguam bela memohon siasatan berhubung kesalahan itu dilakukan semula.
Hakim Syarie, Nik Bukhari Hashimy Nik Yahya, melepas tanpa membebaskan mereka dengan jaminan RM3,000 setiap seorang dan menetapkan sebutan kes pada 31 Januari ini.

Pasangan terbabit diwakili peguam bela, Ahmad Munawir Abd Aziz dan Wan Faridul Hadi Md Yusof, manakala pendakwaan dilakukan Ketua Pendakwa Syarie, Mohd Zulkhairi Aziz.

Sementara itu, Ahmad Munawir berkata, anak guamnya sudah berkahwin di luar negara, malah surat pengesahan pernikahan turut diberi kepada penguat kuasa ketika tangkapan dilakukan.

“Keterangan itu dikemukakan oleh pihak pendakwaan dalam prosiding tadi (semalam) dan kami memohon satu siasatan semula dilakukan sebelum sebarang pendakwaan dilakukan,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan seorang hakim Mahkamah Tinggi Syariah ditahan oleh JHEAIPP kerana disyaki bersekedudukan dengan seorang wanita di kuarters kerajaan, kira-kira jam 2 pagi pada 5 Disember lalu.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 27 (a) (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Pulau Pinang 1996 atas kesalahan berkhalwat.