Otak Ketua Pembangkang |
Sidang DUN Perak yang baru berakhir petang tadi sudah pecah rekod! Selama Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir memegang tampuk Menteri Besar, inilah masa paling lama dewan yang mulia itu bersidang.
Kalau tidak, tak sampai sekerat hari pun dah ditangguhkan. Kerana apa? Kerana ADUN Pakatan suka buat kecoh!
Kali ini kecoh, kecoh juga, tapi yang mengambil bahagian untuk membuat kecoh tu tak seramai yang sebelumnya.
Pada sidang kali ini ketua pembangkang, Datuk Seri Ir. Mohamad Nizar Jamaluddin cuba untuk memerangkap Dr. Zambry melalui isu ‘ancak’ nya, walau pun isu itu tak ada kena mengena dengan bajet negeri 2011. Tetapi, taktik beliau tidak menjadi kerana butiran-butiran yang dia bentangkan memakan diri sendiri.
Ini menampakkan bahawa Ir. Mohamad Nizar lebih arif tentang ‘ritual’ memasang ‘ancak’ daripada Dr. Zambry sendiri yang telah didakwa mengambil bahagian di dalam amalan yang penuh syirik dan khurafat itu.
Seperti yang dijelaskan oleh Ir. Mohamad Nizar sendiri di dalam Dewan, upacara memasang ‘ancak’ memerlukan talam anyaman, ayam panggang, pulut kuning dan patung yang menjadi perkara ‘wajib’ untuk majlis semacam itu.
Dr. Zambry ‘memulangkan paku buah keras’ kepada Ir. Mohamad Nizar dengan menjawab soalan lisan ADUN Pasir Panjang itu bahawa majlis yang dihadirinya di Kampung Guar, Manong, Oktober tempoh hari hanya menjalankan upacara doa selamat dan gimik menaikkan tiang seri.
Tak cukup dengan itu, Ir. Mohamad Nizar juga bertanyakan kepada Dewan peratusan terkini umat Islam akil baligh menunaikan solat lima waktu. Walaupun beliau mendakwa ada ilmuwan Islam tempatan sudah menjalankan kaji selidik perkara tersebut disalah sebuah daerah di Perak; apakah perlunya untuk dilakukan keseluruh negeri?
Ini soal akidah, dan meyimpang jauh daripada isu Bajet 2011. Mungkin Ir. Mohamad Nizar mahu menempelak kerajaan negeri sebagai tidak Islamik dan tidak melunaskan tanggungjawab terhadap Muslim yang lain kerana tidak bertindak menegur mereka yang tidak mengerjakan solat.
Bolehkah kita benar-benar pasti seseorang Muslim di Perak ini tidak cukup solatnya? Berhakkah kita menanyakan ibadat orang lain? Kita semua tahu adalah biadap untuk mempersoalkan amalan orang lain,
melainkan ibubapa, adik-beradik atau saudara yang terdekat sahaja berhak melakukan sedemikian.
Yang jelas kerajaan negeri tak mahu menjaga tepi kain orang, kerana ia bukan satu perkara yang bijak untuk dilaksanakan.
Apa yang diperlihatkan oleh Ir. Mohamad Nizar semasa persidangan, dia lebih suka membuat retorik, tidak cukup di pentas-pentas ceramah sehinggalah ke dalam Dewan yang mulia itu.
Sebagai YB Pasir Panjang, peluang berbahas di Dewan perlu digunakan untuk mengutamakan masalah rakyat di kawasannya, bukan untuk menempelak dan memfitnah orang lain walaupun caranya baik.
Satu lagi isu yang digembar-gemburkan oleh Pakatan adalah tentang kedudukan kewangan negeri yang dikatakan tenat oleh kerana penyelewangan yang teruk, untuk beberapa lama sebelum DUN bersidang.
Semasa persidangan, pasangan sepupu Datuk Ngeh Koo Ham dan Nga Kor Ming, yang baru sahaja membolot kepimpinan DAP negeri, dan kroni-kroni mereka, bertindak mengajukan soalan-soalan ‘cepu cemas’ kepada Dewan.
Namun begitu, kerajaan negeri kepimpinan Dr. Zambry sudah melakukan melakukan yang terbaik dan mengemukakan fakta-fakta yang tidak boleh disangkalkan lagi.
Berbalik kepada isu membuat kecoh di dalam Dewan, memang ada jawapan mengapa ia tidak sekecoh seperti sidang-sidang yang lalu.
Yang paling ketara, masih nampak ada keretakan di dalam DAP Perak, ini kerana YB Pasir Pinji Thomas Su yang sebelum ini memang lantang dan sembrono tidak lagi sebegitu kerana dia adalah daripada kem ahli
parlimen Ipoh Barat, M Kulasegaran yang kalah pada pemilihan DAP negeri baru-baru ini.
Oleh sebab itu, mungkin dia sudah tidak lagi ‘sebulu’ dengan pasukan yang diketuai oleh pasangan sepupu itu dan malas untuk mengikut rentak mereka berdua.
Apa yang jelas selepas tamat sidang DUN Perak itu, PAS (yang beberapakerat cuma) hanya bergantung kepada Ir. Mohamad Nizar untuk kehadapan, tapi masih penuh dengan retorik dan fitnah, dan DAP pula
terang-terangan diterajui oleh pasangan Ngeh-Nga yang suka membuat putar belit dan kenyataan separuh benar. PKR? Tak tahulah.
Sidang DUN Perak kali ini dibuka luas untuk diliputi media kerana untuk memberi peluang kepada rakyat untuk benar-benar melihat dan menimbang pihak mana yang betu-betul bertungkus lumus bekerja untuk
mereka.
Apa gunanya pemimpin yang mampu berceramah berapi-api tapi di Dewan masalah rakyat dilupakan? Anda pertimbangkanlah sendiri!