Oleh Rashid Sulaiman
Bilamana kita bercerita tentang negeri Sarawak, maka yang pertama akan terpampang di dalam minda kita ialah wajah Ketua Menteri yang bernama Pehin Sri Abdul Taib Mahmud yang sudah pun menerajui Bumi Kenyalang lebih dari tiga puluh tahun.
Sebagai rakyat Malaysia yang tinggal di Semenanjung atau di luar negara, kita selalunya dihidangkan dengan kisah kekayaan anak beranak tersebut. Malah lebih buruk lagi apabila media luar negara juga memainkan isu keluarga Pehin Sri dengan cara yang agak keterlaluan.
Pehin Sri Abdul Taib Mahmud selalu digambarkan sebagai seorang yang mengamalkan system ‘kuku besi’. Bukan setakat beliau sahaja malah keluarganya juga diheret sama ke dalam kancah politik. Diantara tuduhan-tuduhan yang dilemparkan adalah mengenai projek-projek kerajaan negeri, mengenai pembalakan dan banyak lagi.
Isu-isu sebegini sudah lama diperdendangkan oleh Media tempatan yang diterajui pembangkang mahupun Media luar negara yang mempunyai motif tertentu untuk merosakkan nama Ketua Menteri Sarawak ini.
Kalau diperhatikan sejak kebelakangan ini, serangan demi serangan terhadap Pehin Sri Taib Mahmud dan keluarga menjadi semakin kuat disebabkan Bumi Kenyalang ini akan menghadapi Pilihanraya Dewan Undangan Negeri tidak berapa lama lagi.
Timbulnya portal-portal dan blog serta radio yang dibiayai oleh kuasa asing ini menjadi satu persoalan yang sangat misteri. Seolah-olah ada satu kuasa ‘luar’ yang ingin memastikan penguasaaan parti yang telah menjadi wadah bagi negeri tersebut ditukar kepada parti yang lebih mesra ‘kuasa asing’.
Untuk artikel permulaan ini, penulis sekadar ingin melemparkan pertanyaan, apa benarkah semua dakwaan ini? Benarkah negeri Sarawak telah diperlakukan seperti yang telah diwar-warkan oleh media asing? Sejauh mana kebenaran dakwaan media asing ini?
Mengapa pihak media asing tidak menceritakan segala kebaikan yang telah dilakukan oleh Ketua Menteri yang sedang berkuasa ketika ini? Burukkah sangatkah car pimpinan Pehin Sri Abdul Taib Mahmud di Sarawak ini?
Semuanya akan kita kupas satu persatu dalam artikel yang akan datang.
Sumber: The Real Sarawak