Rabu, 16 Mac 2011

Kerajaan Keluarkan Kitab Injil Yang Ditahan Di Pelabuhan Klang Dan Kuching

Kerajaan pada Selasa, bersetuju membenarkan pengeluaran dan pengedaran secara terhad dan terkawal Kitab Injil dalam Bahasa Malaysia, yang ditahan di Pelabuhan Kuching Sarawak, dan Pelabuhan Klang, Selangor.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala dalam satu kenyataan berkata, langkah kerajaan ini adalah selaras dengan warta 1982 di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan kitab itu mesti dicop dengan tag "Untuk Penganut Agama Kristian sahaja".

"Sejak peruntukan undang-undang itu digunakan pada tahun 1982, tiada sebarang masalah atau isu yang timbul dengan pelaksanaannya," katanya.

Selain itu, Idris berkata kajian teliti oleh Jabatan Peguam Negara juga mendapati pengeluaran kitab-kitab itu tidak akan mengangggu dalam prosiding mahkamah berkaitan penggunaan kalimah "Allah".

"Oleh itu, dalam konteks berikut Kerajaan telah dapat secara amnya mengeluarkan buku Kitab Injil tersebut," katanya.

Idris berkata kerajaan sangat komited dan akan memberikan komitmen yang berterusan untuk menyelesaikan masalah atau isu-isu berkaitan agama dengan penuh adil dan saksama demi kebaikan Malaysia yang berbilang-bilang kaum dan agama.

Oleh itu, katanya kerajaan akan terus mengadakan dialog khas untuk membincangkan jalan penyelesaian isu-isu tertentu dengan melibatkan semua penganut pelbagai agama.

Menurutnya, Kerajaan Sarawak juga bersetuju dan berpendapat bahawa penahanan buku Kitab Injil yang telah sekian lama ditahan seharusnya dikeluarkan.

Idris, yang merupakan penganut Kristian berasal dari Sarawak, juga telah berhubung dengan Persekutuan Kristian Malaysia (CFM) bagi pihak Kerajaan.

"Ini adalah satu kompromisi yang memanfaatkan kedua-dua belah pihak dalam menangani perbezaan pendapat antara penganut agama Kristian dan Islam di negara ini.

"Kerajaan jelas sangat komited dalam menyelesaikan masalah berkaitan agama sejajar dengan konsep 1Malaysia," katanya.

Pada 9 Mac lepas, sebuah persatuan penganut kristian mendakwa Kementerian Dalam Negeri merampas kira-kira 5,000 naskhah Kitab Injil dalam Bahasa Malaysia yang diimport dari Indonesia di Pelabuhan Klang.

Bagaimanapun, kementerian menafikannya sebaliknya berkata kitab berkenaan tidak menepati syarat yang ditetapkan kerajaan.

Kira-kira 30,000 naskhah kitab itu pula ditahan di Pelabuhan Kuching sejak awal tahun ini. - BERNAMA


Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.