Khamis, 17 Mac 2011

Najib didesak campur tangan dalam JCorp

Perkasa, pimpinan Datuk Ibrahim Ali, terus mendesak agar kerajaan pusat dan Johor memastikan Kulim (M) Bhd - pemilik rangkaian restoran makanan segera KFC Holdings yang kukuh aliran tunai, tidak berpindah ke tangan bukan Melayu.

Selain itu, pertubuhan bukan kerajaan tersebut juga mahu kerajaan memastikan Kulim dan KFC tidak dikuasai oleh pemilik orang perseorangan kalangan Melayu-Bumiputera.

Ahad lalu, bekas presiden dan ketua eksekutif Johor Corporation (JCorp) Tan Sri Muhammad Ali Hashim mendakwa ada mendengar ura-ura bahawa pihak pengurusan JCorp merancang untuk menjual anak syarikatnya, Kulim (M) Bhd (Kulim).

“Kami dengar macam-macam cerita kononnya ia akan dijual kepada syarikat bukan Melayu, malah ada yang mengatakan ia akan dibeli individu Melayu-Bumiputera.

“Tetapi kesemua maklumat itu belum dapat dipastikan pengesahan . . . macam mana pun kami mahu ia kekal dimiliki oleh syarikat Melayu-Bumiputera, individu Melayu-Bumiputera pun kami tidak setuju,” kata Ibrahim kepada The Malaysian Insider.

Ahli Parlimen Bebas itu berkata ada desas-desus bahawa ia akan dibeli oleh pemimpin politik parti komponen bukan Melayu dan juga syarikat bukan Melayu yang disenaraikan di Bursa Malaysia.

“Tetapi pengesahan belum ada lagi, saya sudah selidik,” katanya.

Ketika ditanya sama ada pihaknya akan bertemu dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak atau Menteri Besar Johor Datuk Seri Ghani Othman berhubung perkara tersebut, Ibrahim berkata, “tidak.”

“Kalau nak jumpa pun, mungkin tidak mudah kerana semua sibuk . . . Perkasa dan lain-lain NGO Bumiputera akan tunggu dulu untuk dapatkan pengesahan.

“Setelah dapat jawapan hitam putih, baru Perkasa dan lain-lain NGO akan membuat keputusan apakah tindakan yang patut diambil,” kata beliau lagi.

Muhammad berkata maklumat beliau itu diperoleh daripada sumber yang boleh dipercayai.

Menurutnya sama ada dakwaan itu benar atau tidak, beliau berharap keputusan untuk menjual Kulim difikir sedalam-dalamnya memandangkan ia merupakan aset utama JCorp dan orang Melayu.

Beliau yang pernah bersama Jcorp selama 30 tahun, turut melahirkan rasa sedih dan kecewa sekiranya perkara itu benar-benar berlaku.

“Saya juga percaya rancangan itu akan mendapat tentangan hebat daripada pertubuhan bukan kerajaan Melayu yang mahu melihat Kulim kekal di bawah JCorp untuk membantu bangsa Melayu,” katanya.

Muhammad Ali berkata Kulim kini adalah satu daripada penjana pulangan wang utama kepada JCorp kerana ia merupakan badan induk kepada QSR Brands Bhd, KFC Holdings (M) Bhd dan turut memegang hak 38,000 hektar ladang sawit di seluruh negara.