Rabu, 20 Julai 2011

MEDIA SOSIAL BARU BUKAN KEWARTAWANAN SEBENAR, KATA PROF JANET STEELE

Media sosial baru seperti blog, Facebook dan Twitter adalah antara teknologi canggih yang hebat dalam menyebarkan berita serta maklumat namun ia tidak seharusnya dianggap sebagai kewartawanan sebenar,
menurut seorang tokoh akademik dari Amerika Syarikat.


Janet E. Steele, Prof Madya dari School of Media and Public Affairs, George Washington University,  berkata berita dan maklumat daripada media sosial bukanlah fakta kukuh yang disemak dan serta ditapis oleh editor berbanding dengan amalan standard oleh media tradisional.


"Kewartawanan sebenar melibatkan suatu sistem pengesahan dan mesti mematuhi stardard profesional yang tinggi. Oleh itu, laporan berita oleh wartawan mesti disemak dengan teliti oleh editor sebelum disiarkan, berbeza dengan media baru yang tidak memerlukan sebarang pengawasan," kata beliau kepada pemberita di Universiti Malaya (UM) di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menyampaikan syarahan bertajuk 'Keadilan dan Kewartawanan: Islam dan Nilai-nilai Kewartawanan di Malaysia dan Indonesia' di Jabatan Pengajian Media, Fakulti Sastera dan Sains Sosial universiti berkenaan.


Kira-kira 50 pelajar pasca-siswazah dari UM dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM)  menghadiri majlis syarahan itu. Steele, yang fasih berbahasa Indonesia, menulis dalam ruangan mingguan "E-Mail from America" bagi akhbar Surya Daily di Surabaya, Jawa Timur, Indonesia.

Steele, seorang tokoh terkenal dalam kalangan media Malaysia dan Indonesia, berkata media tradisional iaitu media cetak dan elektronik, berdepan pelbagai cabaran dalam persaingan dengan media baru, yang digunakan secara meluas di seluruh dunia.


Beliau juga berkata semua pengamal media seharusnya mengamalkan sembilan elemen universal dalam  kewartawanan yang baik.

"Sembilan prinsip kewartawanan yang baik terdiri daripada tanggungjawab untuk menyatakan kebenaran; kesetiaan kepada warganya; disiplin dalam penentusahan; mengekalkan semangat dan minda yang bebas; bertindak sebagai  pemantau kuasa yang bebas; serta menyediakan forum bagi kritikan dan kompromi
awam.


"Mesti berusaha untuk menjadikan perkara yang penting supaya menarik dan relevan; mesti memastikan berita yang komprehensif dan mencukupi; dan mesti dibenarkan untuk menggunakan kebijaksanaan sendiri turut terkandung dalam prinsip kewartawanan," katanya.


Steele berkata wartawan Muslim di Malaysia dan Indonesia mungkin tidak terdorong oleh matlamat kebebasan, namun mereka memahami peri pentingnya untuk menyatakan apa yang benar kepada kalangan yang berkuasa dan menghentikan perkara yang salah menerusi perkataan yang mereka gunakan.