Sabtu, 23 Julai 2011

PENDUDUK KAMPUNG BARU HARAP PENYELESAIAN KEKAL BAGI ISU TANAH

Apabila Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak mengumumkan penduduk kampung baru Cina akan diberi bantuan di bawah Rancangan Malaysia Ke-10, ramai menjangkakan ia dalam bentuk pembangunan infrastruktur.

Sebaliknya, Perdana Menteri mendedahkan kerajaan akan menawarkan pinjaman mudah dengan dana permulaan RM100 juta untuk membantu penduduk membayar premium tanah dan memperbaharui tempoh pajakan tanah.


Bagi mereka yang telah menetap di kampung-kampung ini sekurang-kurangnya tiga dekad, ia adalah isyarat baik oleh kerajaan.


"Ini adalah pertama kali bantuan seumpama itu diberi kepada penduduk kampung baru Cina," kata veteran MCA Datuk Yap Pian Hon kepada Bernama.

Yap, bekas anggota exco kerajaan Selangor yang bertanggungjawab mengenai kampung baru, berkata terdapat kira-kira 452 kampung baru di seluruh semenanjung dengan 280,000 isi rumah.


"Terdapat kira-kira 1.2 juta orang yang tinggal di perkampungan ini. Jumlah terbesar ialah di Seri Kembangan dengan 2,200 isi rumah," katanya.

Seri Kembangan, yang dahulu dikenali sebagai Kampung Baru Serdang, sejak pertengahan 1990-an bertukar menjadi hab perniagaan yang berdaya maju dan kepesatannya turut merebak ke kawasan persekitaran termasuk antara lain, Taman Equine dan Pasar Borong Selangor.


Bagaimanapun, Yap, yang dilahirkan dan masih menetap di kampung baru, meminta lebih perhatian diberi kepada penempatan itu, dengan menyatakan tiada rancangan pembangunan khusus untuk mereka.

"Adalah penting bagi kerajaan untuk mengambil tindakan susulan pada Pelan Induk Kampung Baru yang disediakan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada 2002 yang masih kekal di atas kertas sehingga hari ini," katanya dan menambah isu utama penduduk kampung adalah hak milik tanah kerana kebanyakan daripada mereka diberi antara 3,000 dan 6,000 kaki persegi untuk tempoh pajakan
selama 30, 60 atau 99 tahun.

"Kerajaan harus mempertimbangkan untuk menukar status tanah itu kepada pegangan bebas atau meminda Kanun Tanah Negara untuk mewujudkan pemilikan tanah persendirian untuk tanah kampung baru, yang mana premiumnya tidak harus berdasarkan harga pasaran kerana tidak adil bagi golongan miskin," katanya.


Walaupun menyambut baik pemberian dana RM100 juta itu, penduduk kampung juga berharap kerajaan akan memberi perhatian serius dan mencari penyelesaian kekal tentang isu tanah berkenaan.

Seperti yang disuarakan oleh ahli perniagaan, Yap Wee Leong, 46, penduduk bekerja keras untuk membayar premium terutama apabila kadarnya dinaikkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.


Jelas beliau ramai penduduk tidak berniat untuk berpindah dan mahu terus menetap di situ selama-lamanya.


"Kenapa tidak boleh ada premium standard berdasarkan kadar tetap untuk memperbaharui pajakan tanah itu di semua kampung-kampung baru dan bukannya berdasarkan nilai pasaran?" tanya beliau.


Ching Toong Kang, 44, yang bekerja sendiri, berkata beliau dimaklumkan kerajaan memperuntukkan antara RM30 dan RM60 juta setahun bagi 452 kampung baru di seluruh negara untuk pembangunan infrastruktur seperti jalan dan perparitan.


Bagaimanapun, Chin, bekas pengerusi jawatankuasa pembangunan dan keselamatan kampung bagi  Kampung Baru Seri Kembangan berkata jumlah itu tidak mencukupi untuk memperbaiki infrastruktur 452 kampung baru.
   
 Terdapat 135 kampung baru di Perak, Johor (83), Pahang (56), Negeri Sembilan (44) dan Selangor (42). Manakala di Kedah (33), Kelantan (24), Melaka (19), Pulau Pinang (9), Wilayah Persekutuan (3),  Terengganu (3) dan Perlis (1).

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Khamis melancarkan program dana pinjaman bernilai RM100 juta untuk membantu 1.2 juta penduduk kampung baru memiliki hartanah dan meningkatkan taraf sosial mereka serta menaik taraf kawasan kediaman penduduk.

Sebanyak RM15 juta diperuntukkan bagi tahun 2011, RM35 juta bagi tahun 2012, dan RM50 juta bagi tahun 2013 hingga 2015.
  

NOTA KAKI:

Bersyukurlah bila dapat bantuan, boleh buat rumah baru, tak payahlah tuntut geran hak milik kekal.