Selasa, 16 Ogos 2011
Mufti Pulau Pinang dakwa Mufti Negeri lain langgar “arahan Rasulullah”..??
Hari ini, Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Hassan Ahmad, mengadakan sidang akhbar bagi memperjelaskan mengenai larangan bacaan ayat Al-Quran Al-Karim melalui corong pembesar suara di masjid-masjid di bawah naungan negeri itu. Keputusan Pejabat Mufti Pulau Pinang ini menggemparkan ramai pihak, terutamanya pekeliling mengenai perkara itu dikeluarkan ketika umat Islam menjalani ibadah puasa di bulan Ramadhan Al-Mubarak.
Menurut Mufti Pulau Pinang itu, larangan tersebut adalah arahan dari Baginda Rasulullah SAW dan berlandaskan hukum syarak serta nas-nas yang sahih. Menurut beliau lagi, larangan penggunaan pembesar suara itu adalah merupakan sebuah nasihat hukum, iaitu satu panduan tanpa mewartakannya dalam Enakmen Agama Islam negeri Pulau Pinang.
Beliau turut menyalahkan media massa dengan menyalahtafsir arahan Pejabat Mufti Pulau Pinang itu kerana tidak faham perbezaan antara nasihat hukum dan fatwa sehingga menyebabkan Majlis Fatwa Kebangsaan turut terkeliru dengan pekeliling tersebut.
Menurut beliau lagi, untuk mengeluarkan sesuatu fatwa, Majlis Fatwa Negeri perlu mendapat perkenan DYMM Yang DiPertuan Agong seperti yang diperuntukkan dalam Seksyen 45 Enakmen Agama Islam Pulau Pinang 2004. Namun, berbanding dalam mengeluarkan arahan nasihat hukum, ianya tidak memerlukan perkenan DYMM Yang DiPertuan Agong.
Begitulah penjelasan panjang lebar Sahubus Samahah, Mufti Pulau Pinang. Namun, persoalan demi persoalan timbul mengenai isu ini dan mengganggu ruang lingkup pemikiran rakyat, khususnya umat Islam di seluruh Malaysia. Mungkin sebab itu ada pihak yang mendakwa tindakan Pejabat Mufti Pulau Pinang itu agak melulu dan tergesa-gesa dalam melaksanakan “nasihat hukum” tersebut.
Antara persoalan awal yang timbul ialah, mengapakah baru kini Datuk Seri Hassan Ahmad mengutarakan “nasihat hukum” tersebut? Sedangkan amalan membaca Al-Quran di corong pembesar suara di masjid-masjid di seluruh negara sudah bermula sejak puluhan tahun dahulu. Berapa lama Datuk Mufti Pulau Pinang memegang jawatan Mufti Negeri itu? Baru sebulan dua, kah? Apakah keputusan ini ada hubungkaitnya dengan penganugerahan “Datuk Seri” kepada beliau pada 9 Julai lalu?
Di mana beliau bertugas sebelum ini hingga menyebabkan “arahan Rasulullah SAW” ini tidak sampai ke telinga umat Islam di Malaysia? Saya tidak menolak hujah, nas-nas aqli mahupun naqli yang diutarakan oleh Mufti Pulau Pinang. Namun saya pasti ada individu lain yang setaraf ilmu atau lebih tinggi ilmunya berbanding beliau. Mengapa beliau membuat keputusan “unilateral” sebegini?
Saya agak hairan mengapa secara tiba-tiba saja Pejabat Mufti Pulau Pinang mengeluarkan “nasihat hukum” sebegini. Apakah Mufti-Mufti negeri lain terlepas pandang dengan arahan Rasulullah SAW ini? Sekiranya benarlah bagai dikata Datu Seri Mufti, selama ini, para Tok Imam, Bilal, Ahli Jawatankuasa Masjid termasuk siak-siaknya sekali menanggung dosa kerana membenarkan bacaan Al-Quran diperdengarkan melalui corong pembesar suara di masjid masing-masing!
Kenapa saya kata begitu? Ini memandangkan mereka telah melanggar arahan yang jelas diberikan oleh Rasulullah SAW. Oleh itu, tidakkan mereka berdosa melanggar araha tersebut? Sehingga kini, masjid-masjid di seluruh negara masih lagi mengalunkan bacaan Al-Quran dan tarhim menggunakan pembesar suara di masjid mereka, terutamanya di waktu subuh, sebelum masuknya waktu solat subuh. Mereka juga berdosa?
Bagaimana pula pandangan Mufti Besar Perak, Sahibus Samahah Tan Sri Harussani Zakaria mengenai isu ini? Selalunya beliau vokal dalam memberikan pandangannya sebagai seorang yang tinggi ilmu agamanya. Namun, saya percaya, Tan Sri Mufti sangat bijak dan berpengalaman untuk tidak menyatakan pandangannya buat masa ini sehingga ijtihad mengenai isu ini diadakan dan disimpulkan. Beliau tidak gemar melakukan tindakan “unilateral” seperti Mufti Pulau Pinang, mungkin.
Kesempatan ini turut diambil oleh bekas Mufti Perlis, Dr. Asri dan Mursyidul Am Pas, Nik Aziz Nik Mat. Sebagaimana kita sedari, Dr. Asri sememangnya seorang yang sukakan publisiti dan mengeluarkan fatwa “separuh masak”. Namun, Nik Aziz lebih hebat, beliau selalu menggunakan isu sebegini untuk meraih keuntungan politiknya. Kononnya, dia sajalah yang betul.
Saya secara jujur tidak membantah langsung mengenai perkara ini memandangkan saya tidak mampu melakukan ijtihad memandangkan ilmu agama saya tidaklah sehebat mana. Namun, saya kesal memandangkan perkara yang layak dikategorikan sebagai “bidaah hasanah” ini dilarang dan tidak pula dihukum sebagai “harus”. Seperkara lagi, saya kesal kerana Mufti Pulau Pinang tidak melaksanakan ijtihad secukupnya sebelum membuat keputusan dan mengeluarkan pekeliling kepada seluruh masjid di Pulau Pinang.
Apa yang saya kesalkan sangat ialah apabila perkara bacaan Al-Quran di corong pembesar suara itu dikatakan Mufti Pulau Pinang sebagai “mengganggu”! Benarkah mengganggu? Menggangu tidur orang Islam atau bukan Islam? Saya fikir, tentunya mengganggu orang bukan Islam, bukan? Saya yakin, isu ini tidak tergamak dibangkitkan oleh umat Islam. Secara jujur, saya mahu Mufti Pulau Pinang menjawab persoalan-persoalan berikut…
Nyatakan kepada umat Islam, siapakah yang mengkomplen mengenai bacaan ayat Al-Quran di corong pembesar suara di masjid-masjid Pulau Pinang?
Golongan manakah yang memprotes bacaan tersebut sebagai “mengganggu”, umat Islam atau bukan Islam?
Mengapakah baru kini Pejabat Mufti Pulau Pinang melarang bacaan sebegitu dan tidak dilaksanakan lama sebelum ini?
Mengapakah tidak diijtihadkan dulu bersama para mufti di negeri lain atau berbincang dengan Jakim mengenai perkara ini, dan melaksanakan tindakan unilateral?
Memandangkan Mufti Pulau Pinang mendakwa perkara ini adalah “arahan Rasulullah SAW”, apakah para Mufti di negeri lain yang tidak melaksanakan “nasihat hukum” itu boleh dianggap “melanggar arahan Rasulullah”?
Cuba nyatakan secara jujur dan ikhlas, adakah Datuk Seri Mufti menerima tekanan dari mana-mana pihak yang mungkin mendesak Pejabat Mufti untuk mengeluarkan arahan sebegini?
Saya minta Tuam Sahibus Samahah menjawab persoalan saya yang jahil dan keliru ini. Saya enggan menyentuh mengenai Nik Aziz yang menyatakan “bacaan Al-Quran itu bising”. Dia bukan ulama, dia ahli politik yang mempergunakan agama. Sedangkan ini soal agama Islam yang suci. Mohon pencerahan untuk membetulkan keadaan ini. Dan tolong jangan katakan bahawa Mufti terpelihara dari melakukan kesilapan dalam melakukan kewajipannya. Wallahu’alam.