Khamis, 22 September 2011

Pemuda PBB puji tindakan Jimmy Donald keluar PKR





KUCHING: Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Padungan berasa tidak terkejut dengan keputusan bekas Ahli Parlimen Sri Aman, Jimmy Donald dan rakan-rakannya untuk keluar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR).



Ketua Pemudanya, Haidel Heli berkata walaupun Jimmy merupakan Ketua Cawangan PKR Sri Aman dan rakan-rakan cuba menunjukkan keputusan mereka secara peribadi, umum mengetahui bahawa PKR sememangnya sebuah parti bermasalah.

Keputusan penasihat parti Datuk Seri Anwar Ibrahim (perlu dinyatakan dengan jelas bahawa keputusan dibuat oleh penasihatnya dan bukan oleh presidennya, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail) mengekalkan Baru Bian sebagai pengerusi PKR Negeri adalah tidak dipersetujui sebilangan besar ahli-ahli parti itu.

Baru bukanlah pemimpin pilihan ahli-ahli parti tetapi pemimpin ‘boneka’ penasihat dan bukannnya presiden,” kata Haidel yang dipetik dalam ‘Blog PBB Pemuda Padungan’.

Katanya, ahli-ahli PKR mahukan pengerusi negeri yang mewakili suara majoriti ahli-ahli dan bukannya menjadi boneka penasihat (Anwar) dan bukannya, presiden.

Pada masa yang sama, kata beliau rata-rata ahli PKR berasa malu dengan pergolakan kepimpinan dalam parti itu.

“Kalau dahulu ahli-ahli PKR sering kali dengan bongkak mengatakan bahawa parti itu adalah pejuang keadilan, sekarang ini mereka cenderung untuk mendiamkan diri.

“Penipuan di kalangan pemimpin yang disokong oleh penasihatnya untuk mendapat kedudukan dalam parti amat memalukan,” katanya.

Tidak dinafikan Parti Tindakan Demokratik (DAP) turut memain peranan ‘melemahkan’ parti itu dengan janji-janji kosong yang nampak ‘memperbodohkan’ mereka (PKR).

Justeru, tidak mengejutkan sekiranya keputusan Jimmy dan rakan-rakannya dibuat atas sebab untuk menyertai DAP.

“Ini adalah memandangkan parti terbabit berjaya memperbodohkan dan melemahkan PKR agar sokongan daripada kaum Dayak semakin berkurangan,” katanya.

Pemuda PBB Padungan amat berasa kasihan melihat PKR diperlakukan sedemikian rupa oleh DAP.

Oleh itu, tidak mengejutkan sekiranya semakin ramai ahli-ahli PKR mengambil tindakan untuk keluar dari parti terbabit dalam masa terdekat ini.

“Justeru, kami menyeru rakyat Sarawak agar jangan terpedaya dengan tipu helah PKR yang sememangnya menipu rakyat negeri ini seolah-olah parti terbabit adalah pejuang keadilan sejati.

“Sekiranya benar, takkanlah ramai ahli-ahli parti terbabit telah (dan akan) keluar meninggalkan parti itu atas sebab tertipu dengan penampilan parti yang palsu,” katanya.

Sehubungan itu, rakyat Sarawak juga jangan percaya dengan DAP yang ternyata sanggup berbuat apa sahaja demi mendapatkan kuasa.

“Kami percaya pihak yang paling gembira dengan keputusan Jimmy dan rakan-rakannya adalah DAP kerana parti itu sekarang ini secara terang-terang berusaha ‘membunuh’ PKR.

“Justeru, kami yakin parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) adalah pilihan yang tepat dan bijak bagi rakyat negeri untuk memperjuangkan nasib mereka yang sebenar,” katanya.