Khamis, 17 November 2011

Adakah guru kerja 9 jam sehari?

Pas Bukit Gantang pun nak buat program untuk pelajar sekolah kerajaan

Rajin sungguh cikgu Pas ini

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) hari ini menggesa Putrajaya membatalkan sahaja projek perintis guru bertugas sembilan jam sehari atas alasan kajian itu satu tindakan membazir selain tidak mendapat maklum balas positif daripada kalangan tenaga pendidik.

Di bawah dasar baru ini, guru sebelah pagi dikehendaki berada di sekolah dari 7.30 pagi hingga 4.30 petang manakala guru sebelah petang pula dikehendaki masuk sekolah 9.30 pagi dan bertugas sehngga 6.30 petang.

Cadangan mahukan guru bertugas mengikut frame ini amat tidak sesuai, guru bukan seperti kakitangan kerajaan yang lain, yang datang ke pejabat lenggang kangkung dan balik kerja menonggek seperti itik pulang petang.

Guru datang ke sekolah bawa bakul yang penuh dengan buku latihan yang diperiksa berjam-jam dirumah, balik rumah juga kena key in maklumat pelajar secara online, berjam-jam masa dihabiskan didepan pc.

Menyediakan rancangan mengajar dan membuat alatan bantuan mengajar serta menyediakan bahan-bahan pembelajaran juga satu tugas yang perlua dibuat oleh guru sehingga lewat malam.

Ketika kakitangan lain bersantai di pusat karaoke atau menonton tv bersama keluarga, guru pula ada yang terpaksa buat kelas malam di sekolah untuk meningkatkan prestasi pelajar.


Jika ada sukan dan aktiviti kokurikulum guru akan berada di sekolah dari jam 3 petang hingga ke lewat petang, ini belum kira yang terpaksa bawa pelajar menyertai pertandingan-pertandingan dalam dan luar kawasan.

Guru-guru juga kerap bersama pelajar semasa menyertai kem-kem latihan, tidur bangun seorang guru yang menyertai program tersebut bukan lah di hotel lima bintang, sebaliknya di bangunan sekolah atau di pinggir hutan.

Seandainya ada pelajar hilang, sakit dan sebagainya guru juga lah yang dihubungi oleh ibubapa, ada guru terpaksa bergegas berjumpa ibu bapa tengah-tengah malam jika berlaku kemalangan atau jika murid tidak kembali ke rumah.

Itulah yang dikatakan guru yang berdedikasi penuh rasa tanggung jawab terhadap tugas. Tugas dan tanggung jawab mereka 24 jam, lihat contoh guru yang mati semasa membawa murid rombongan ke KL, lihat juga insiden guru takraw yang meninggal dunia bersama pelajarnya di Johor.

Bagaimanapun hari ini wujud guru-guru eksekutif yang kebanyakan bergelar guru kpli dan mereka ini terlalu berkira dalam tugas. Mengajar out, masuk kelas hanya bawa air liur sahaja.  Habis sekolah cepat-cepat nak balik sebab kelas tuisyen berbayar sedang menunggu tugas mereka atau pelajar SPM sudah siap sedia di pintu pagar rumah guru tersebut.

TM pernah melihat seorang guru yang menjadikan rumahnya sebagai sekolah, rumah teresnya disambung bumbung halaman dan dikepung sekelingnya. setiap hari dua tiga kumpulan keluar masuk untuk belajar sains dan metematik, aktiviti berlarutan sampai ke malam hari.

Walaupun hebat guru tersebut, bagaimana pula di sekolah, adakah ia sehebat dirumahnya?

Sebagai akhir kata, menetapkan 9 jam waktu guru berada di sekolah amatlah tidak sesuai, guru sememangnya sudah bertugas lebih dari 9 jam setiap hari tanpa sedar dan disedari oleh sesiapa.