Lihat sendiri kekuatan angkatan tentera kita, tetapi awas jangan lah dok rasuah anggota tentera kita untuk mendapatkan maklumat yang terperinci atau cuba dapatkan dukomen-dukomen sulit mengenai kekuatan sebenar tentera kita. Jika beliau berbuat demikian harap pihak keselamatan cekup dia dahulu.
Berani kah Tony Pua hadir ke LIMA?
LANGKAWI, 5 Dis – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yakin dengan kemampuan dan ketelusan jawatankuasa penilai ketiga-tiga cabang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tanpa perlu melibatkan pembangkang dalam soal pembelian aset pertahanan negara.
Beliau berkata sistem perolehan pembelian aset pertahanan dibentuk oleh Kementerian Kewangan, dan sebelum sesuatu produk dibeli, ia dinilai sebuah jawatankuasa yang wujud dalam perkhidmatan tentera darat, udara atau laut.
“Kita yakin dengan sistem yang sedia ada yang telah ditentukan Kementerian Kewangan dan kita yakin dengan jawatankausa penilaian yang ada.
“Kalau aset-aset itu dikehendaki oleh tentera darat (contohnya), jadi jawatankuasa tentera daratlah yang akan buat penilaian untuk tentukan spesifikasi,” katanya di atas kapal KD Jebat yang berlabuh di jeti Awana Porto Malai untuk Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi (LIMA 2011), di sini hari ini.
Penilaian bukan sahaja dibuat daripada sudut teknikal sahaja malah mengambil kira soal pemindahan teknologi dan keuntungan yang bakal diperoleh negara pada masa panjang, terutama kepada industri pertahanan tempatan.
Ahmad Zahid berkata melalui pembelian beberapa aset pertahanan oleh ATM pada masa lalu seperti pesawat pejuang dan kapal perang,Malaysiamendapat keuntungan daripada segi mematangkan industri pertahanannya.
“Kita sudah dapat beberapa pemindahan teknologi terutama dalam bidang pembuatan bahan komposit dengan dua syarikat sudah diberikan teknologi pembuatan komponen komposit ini iaitu Composite Technology Research Malaysia (CTRM) dan SME Aerospace,” katanya.
Bukan setakat teknologi pembuatan bahan komposit sahaja, ada syarikat yang diberi kepercayaan pihak luar untuk menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan, pembaikan dan pembaikpulih (MRO) seperti Airod dan Zetro.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid berkata keputusan akhir mengenai cadangan membeli pesawat tempur pelbagai guna (MRCA) akan dibuat oleh kerajaan dan bukan menteri pertahanan.
“Kini kita mengekalkan MIG-29 kita, tetapi pada masa yang sama kita mencari skuadron baru MRCA,” kata beliau.
Dilaporkan lima jenis pesawat MRCA sedang dinilai ATM iaitu Eurofighter Typhoon dari Britain, Gripen dari Sweden, Su-30 dari Rusia, F-18 Super Hornet dari Amerika Syarikat dan Rafale dari Perancis.
Yang paling utama penilaian sesebuah pesawat MRCA itu dibuat berdasarkan soal teknikal, harga, pemindahan teknologi dan faedah yang bakal menguntungkan negara, kata Ahmad Zahid.
Wartawan media asing pula cuba mengaitkan cadangan pembelian jet pejuang MRCA serta perolehan dua kapal selam Scorpene sebagai persediaan menghadapi China yang terlibat dalam tuntutan bertindih kepulauan Spratly dengan beberapa negara serantau.
Menafikan hal itu, Ahmad Zahid berkata cadangan pembelian jet pejuang MRCA adalah untuk penggantian MIG-29 manakala perolehan kapal selam dirancang lama sebelum isu Spratly menjadi hangat.
Sementara itu, beliau berkata surat jemputan telah dihantar kepada pemimpin pembangkang untuk mereka menaiki kapal selam KD Tun Abdul Razak tetapi tiada sebarang maklum balas diterima daripada mereka.
LIMA ’11 bermula esok hingga Sabtu ini.
LIMA Langkawi telah bermula pada tahun 1991 adalah tarikan pelancong dalam dan luar negara yang berjaya dicetuskan oleh Tun Mahathir Muhammad.