Ahad, 18 Disember 2011

Isu Interlok kembali panas


Kelmarin Kementerian Pelajaran telah memutuskan untuk tidak menggunakan novel Interlok dalam persekolahan mulai tahun hadapan.

Walaupun kementerian telah mengeluarkan perbelanjaan yang besar sebelum ini dengan mencetak dan memperbetulkan perkataan 'pariah' yang mendapat bantahan oleh kaum India dan demi mewujudkan suasana yang harmoni, kementerian sanggup mengalah dan berkorban

Penarikan balik novel tersebut dianggap satu situasi menang-menang dan isu Interlok tidak perlu diperbahaskan lagi.

Novel tersebut telah kembali ke bentuk asal. Orang India juga sudah menang kerana tuntutan mereka telah menyebabkan kementerian pelajaran mengeluarkan novel tersebut dari sukatan pelajaran sastera mulai tahun hadapan.

Oleh yang demikian perbalahan dan tuduh menuduh antara MIC dan Perkasa perlu dihentikan. Ia boleh mengeruhkan kembali isu yang sudah reda.  Mic perlu hormat Perkasa dan Perkasa sudah tentu akan menghormati MIC jika perkara Interlok tidak diperbesarkan lagi.

Karpal Singh seolah-olah menuang minyak ke dalam api yang menyala dengan mengesyorkan supaya novel tersebut diharamkan. Pandangan Dap sudah tentu cuba mengeruhkan kembali hubungan baik yang cuba dipupuk oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.  Suasana politik Barisan Nasional hari ini sudah cukup baik.

Suasana politik orang India sebelum ini telah dipecah, diuraikan sehingga wujud  jurang kebencian orang India terhadap MIC dan segala-galanya berpunca daripada janji manis HINDRAF.

Samy Vellu seorang pemimpin kaum India yang amat berjaya membangunkan sosio ekonomi orang India dengan mudah dihina dan diperlekehkan oleh Hindraf dan juga racun yang disuntik oleh PKR dan DAP.

TM berharap Pemimpin MIC dan Perkasa perlu duduk berbincang dan berdamai. Kita semua tahu bahawa penduduk India hanya 10 peratus dan mereka memang terbela dibawah Barisan Nasional.  Hari ini ternyata bahawa Dap, Hindraf dan Pkr hanyalah menabur janji manis sahaja tetapi gagal untuk membela dan mengotakan janji.

Hari ini kepercayaan orang India terhadap MIC masih rendah.  Dua minggu lepas TM menaiki sebuah teksi yang dipandu oleh seorang lelaki India.  Dia masih melabelkan pemimpin MIC lama dan baru sebagai penipu dan dia kekal menyokong PKR. Katanya dahulu dia sokong MIC tetapi MIC gagal membela dan membantu orang India. Dalam masa yang sama dia menyokong Umno. [ itu yang pelik.]

MIC sepatutnya bekerja kuat untuk meraih kembali sokongan orang India dan tidak perlu bergaduh dengan Perkasa.