M Faqih Foto: Rizal Tahir
SEKITAR tahun 1990-an pelancong teruja melihat ramai lelaki berkain sarung berserban di kawasan bandar. Anak muda membonceng motosikal berkain sarung menjadi fenomena biasa ketika itu.
Namun hari ini semuanya sudah berubah. Lelaki berserban yang mengelek kitab tidak ramai lagi seperti dahulu. Kadang-kadang sudah tidak dapat dicamkan lagi antara lelaki Melayu atau Siam.
Arus ketamadunan tidak lagi hanya berputar di sekitar Hadyai atau Phuket sahaja, wilayah sempadan selatan Thailand juga kena tempias.
Begitu juga Patani. Wilayah itu pernah dikenali sebagai empayar Islam terkemuka di rantau ini. Patani dicatat menerima kedatangan Islam sekitar tahun 1457 semasa pemerintahan Sultan Ismail Shah.
Kerajaan Melayu Patani diperintah ulama daripada Dinasti Sri Wangsa dan Dinasti Kelantan. Pada abab ke-16 pelabuhan Patani cukup terkenal di kepulauan Nusantara.
Pelabuhannya jauh lebih mashyur berbanding Temasik (Singapura) tahkala itu. Ketika pemerintahan Raja Hijau pada 1589-1616 kerajaan Islam Patani berada di kemuncak kemasyhuran.
Kepesatan pembangunan di Patani mengatasi kerajaan Ayudhya (Bangkok). Kerajaan Siam itu beberapa kali menyerang Patani, namun gagal.
Bagaimanapun pada 1786 ketika di bawah Rama 1, Patani akhirnya berjaya ditawan Siam. Selepas itu kemasyhuran Patani semakin lenyap.
Biar pun begitu pondok-pondok pengajian agama masih lagi bertahan sehingga sekarang. Namun jumlahnya makin mengecil. Sekolah agama juga sudah banyak direformasi apabila berdaftar bagi mendapat bantuan kerajaan.
Banyak subjek tidak lagi diajar dalam bahasa Melayu. Maka tidak hairanlah ramai anak muda di Patani, lebih-lebih lagi di Yala dan Songkhla tidak mampu lagi bertutur bahasa ibunda.
”Saya cakap bahasa Melayu pun macam mualaf. Saya anak jati Patani,” ujar Alongkorn Khlangkhong (kiri), seorang pemuda Melayu.
Beliau bertugas sebagai Penolong Ketua Pegawai Bahagian Keselamatan Pejabat Gabenor Patani.
Alongkorn belajar di Hadyai sehingga peringkat sarjana. Beliau juga memberitahu sudah ramai penduduk Melayu Muslim yang menjawat jawatan tinggi dalam kerajaan. Sedangkan sebelum ini pegawai Melayu boleh dibilang dengan jari.
Sekarang Gabenor Patani juga anak jati Patani. Nipon Narapitakkul (kanan) atau nama Melayunya Nik Ishak Nik Hassan, mulai menduduki jawatan tertinggi di Patani pada Oktober tahun lepas.
Beliau dilahirkan di daerah Krisek, Patani. Lokasi itu pernah menjadi tempat pembunuhan ramai penduduk Muslim pada April 2004.
Ketika itu dilaporkan sekitar 106 remaja dan pemuda Muslim menjadi sasaran bedilan pasukan keselamatan. Mereka dituduh melancar serangan ke atas pos-pos keamanan pasukan keselamatan Thai.
Pada Oktober 2004 juga berlaku tragedi di Tak Bai, Narathiwat apabila seramai 85 penduduk terbunuh. Mereka sesak nafas kerana ditindan beramai-ramai dalam trak tentera.
Sejak peristiwa tersebut selatan Thailand tidak lagi aman. Keadaan berterusan sehingga ke hari ini. Maka tidak hairanlah sekatan jalan raya oleh anggota tentera lengkap bersenjata ada di mana-mana di kawasan selatan.
Penduduk mengharapkan kehadiran pegawai kanan kerajaan beragama Islam seperti Nipon dan pembantunya Alongkorn setidak-tidaknya meredakan keadaan di wilayah selatan.
”Saya merupakan Gabenor Patani pertama berbangsa Melayu dan beragama Islam. Ini satu sejarah baru di wilayah Patani,” kata beliau ketika ditemui di Universiti Islam Yala.
Beliau hadir menyambut rombongan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang berkunjung ke Universiti Islam Yala baru-baru ini.
Gabenor hadir bersama pegawai kanan lain meraikan pemimpin PAS terbabit. Ustaz Abdul Hadi menjadi tetamu Universiti Islam Yala.
Beliau diberi anugerah Tokoh Alim Rabbani oleh institusi pengajian tinggi terbabit pada 14 April lalu.
Program berkenaan diadakan sempena Multaqa Muslimah Thailand 1432. Ia berlangsung di kampus Universiti Islam Yala di Patani.
Alongkorn nama Melayunya Ayub, turut memberitahu Ketua Polis Wilayah Patani juga orang Muslim. ”Sekarang sudah ramai anak Melayu memegang jawatan penting dalam kerajaan di Patani,” ujar beliau.
Kesukarannya menyebut perkataan dalam bahasa Melayu agak ketara.
Beliau mengakui kerana melalui sistem pendidikan Siam agak lama. Inilah punca bahasa ibundanya tidak lagi lancar.
Namuh kesedaran terhadap usaha memartabatkan bahasa Melayu mulai dirasa sekarang, lebih-lebih lagi tugasnya sebagai pegawai kerajaan.
Masih terdapat kira-kira 70 peratus penduduk Melayu di wilayah berkenaan.
Fikri al Ashari, pegawai Bahagian Perhubungan Awam, Universiti Islam Yala pula menceritakan dahulu penduduk Melayu agak payah untuk belajar ke peringkat tinggi.
Katanya, tidak ramai anak-anak muda Melayu yang mampu belajar tinggi.
Keadaan itu menyebabkan jawatan utama di jabatan kerajaan dikuasai masyarakat Siam.
”Sekarang dasar terbuka yang diamalkan kerajaan Siam membolehkan ramai anak-anak Melayu melanjut pelajaran ke institusi pengajian tinggi.
”Kerajaan juga memberi biasiswa untuk anak Melayu belajar. Tengok sekarang sudah ramai orang Melayu memegang jawatan tinggi,” katanya.
Menurutnya tekanan hidup sebagai masyarakat minoriti di Thailand menyebabkan pemuda Melayu sekarang dijelma kesedaran baru.
Kata beliau tanpa ilmu masyarakat Melayu akan terus ketinggalan. Oleh itu suatu kelebihan perlu dicari bagi menyaingi bangsa lain.
Dekan Fakulti Sastera dan Sains Kemasyarakatan Universiti Islam Yala, Dr Sukree Langputeh juga bersyukur kerana ramai anak Melayu mempunyai kesedaran tinggi untuk belajar sekarang.
Beliau melanjut pelajaran di peringkat tinggi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Malah ramai tenaga pengajar di universiti terbabit turut belajar di Malaysia. Selain itu di negara Timur Tengah.
Kesedaran penduduk Melayu menjulang semula kegemilangan bangsa mereka dilihat makin serius sekarang. Maka tidak hairanlah Universiti Islam Yala juga mendapatkan khidmat tenaga pengajar dari Kelantan.
Seorang pejuang bahasa Melayu, Abdullah yang pernah ditemui di Narathiwat meletak kelemahan kepada dasar asimilasi menyebabkan penduduk Melayu gagal mempertahankan bahasa ibunda.
Menurutnya, sebelum ini sekolah-sekolah pondok tidak mengajar subjek dalam bahasa Siam. Namun sekarang banyak sekolah persendirian menerima pakai sistem pelajaran ditetapkan Bangkok.
Pilihan itu dibuat bagi membolehkan mereka mendapat bantuan kerajaan. Dan apabila dasar itu digunapakai secara meluas akhirnya anak Melayu lebih seronok bercakap bahasa Siam.
Bagi Abdullah ibu bapa juga tidak serius kerana membiarkan anak-anak bertutur bahasa Siam ketika di rumah. Maka tidak hairanlah di Songkhla dan Yala, ramai anak muda berwajah Melayu hanya tahu bahasa Siam.
Kepada siapa hendak diletak kesalahan itu, kerajaan atau rakyat. Tidak lain, orang Melayu sendiri yang meminggirkan bahasa ibunda mereka.
Abdullah bimbang tanpa usaha serius, Melayu di selatan Thailand hilang identitinya. Bebanan itu hari ini cuba diselesaikan Universiti Islam Yala.\\
PENGAJARAN DARI ARTIKEL INI HENDAKLAH DIBACA OLEH MAHFUZ OMAR YANG MENYAMAKAN UMNO SEPERTI PARTI LDP JEPUN YANG PERLU DITUMBANGKAN OLEH PKR ,DAP DAN PAS,
INGAT, APA JADI DENGAN ORANG ISLAM DI SINGAPORE DAN PATTANI. ADAKAH MAHFUZ MAHU NEGARA INI MENJADI SEBEGITU