Dungun |
ARKIB : 08/11/2001
KEMAMAN 7 Nov. - Cubaan `mengusir' kelas Tabika Kemas (Tabika) dari balai raya milik kerajaan masih berterusan dan kali ini melibatkan Tabika Kampung Lubuk Lesong dekat sini apabila pintu premis dipalang sejak Sabtu lalu.
Berikutan kejadian itu, 20 kanak-kanak tabika berkenaan terpaksa menumpang sejak Isnin lalu di rumah seorang penduduk kampung tersebut yang secara sukarela membenarkan rumahnya dijadikan kelas sementara.
Guru kelas tersebut, Majdiah Muda berkata, pintu bangunan bawah balai raya berkenaan yang dijadikan kelas tabika dipalang sejak Sabtu lalu manakala pintu pagarnya dikunci.
Beliau berkata, tindakan itu dilakukan tanpa sebarang notis tetapi mengakui ada terima arahan keluar secara lisan dari pihak tertentu.
``Sehari sebelum kejadian itu seorang daripada pemimpin Jawatankuasa Syura Rakyat (JSR) mengarahkan kami supaya berpindah dari bangunan itu dan membawa keluar semua barang dari bangunan ini.
``Saya memaklumkan kepada beliau bahawa tindakan ini tidak dapat dilakukan dengan tergesa-gesa kerana pihak kami perlu membincangkannya terlebih dahulu, apatah lagi ia bukan arahan secara rasmi.
``Pada masa yang sama pihak kami juga perlu mencari bangunan alternatif untuk dijadikan kelas tabika supaya pembelajaran kanak-kanak tidak terganggu,'' katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Bagaimanapun, katanya, dia terkejut apabila mendapati pintu kelas tabika tersebut terus dipalang pada keesokan harinya manakala pintu pagar dikunci.
Katanya, sebelum ini pelbagai peralatan bantuan mengajar dan kerusi serta meja yang digunakan kanak- kanak tersebut dibawa keluar dari bangunan itu.
Majdiah berkata, pada hari Isnin kanak-kanak yang datang terpaksa menunggu di luar balai raya dibawa ke rumah Mek Bidah Noor, yang membenarkan rumahnya dijadikan kelas sementara tabika tersebut.
Sebelum ini, beberapa insiden mengusir kanak-kanak tabika dari kelas mereka dilaporkan di Terengganu selepas Pas memerintah negeri ini.
Antara kelas terlibat ialah di Pengkalan Arang, Kampung Gong Sentul dan Kampung Pekan Nenas, Kampung Pantai dan Kampung Darat Batu Kuala Terengganu. Juga di Kampung Bukit Gasing di Mercang dan di Kampung Che Lijah di Dungun.
Pada 16 Julai, tabika Kampung Bukit Tok Ris diarah supaya mengosongkan bangunan balai raya yang digunakan sebagai kelas mereka.
Majdiah berkata, kejadian itu tidak mematahkan semangatnya untuk mengajar dan mendidik anak-anak di kampung tersebut.
``Walaupun rumah orang dijadikan kelas sementara untuk mengajar anak-anak ini, saya akan terus mengajar mereka sehingga kami mendapat bangunan alternatif yang lebih sesuai,'' ujarnya.
Tinjauan Utusan mendapati pelbagai alat di kelas Tabika Kemas berkenaan hanya dapat dikeluarkan hari ini setelah pihak tabika mendapatkan kunci daripada anggota JSR.
Beberapa penduduk kampung membantu memindahkan peralatan pembelajaran ke rumah penduduk kampung yang dijadikan kelas sementara Tabika Kemas, tidak jauh dari situ.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Lubuk Lesong, Muda Sulaiman berkata tindakan itu tidak wajar dilakukan kerana ia menjejaskan usaha memberi pendidikan prasekolah kepada kanak-kanak di kampung tersebut.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=1108&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_02.htm#ixzz2JTFbhegB
© Utusan Melayu (M) Bhd