Rabu, 24 Julai 2013

BEKAS KETUA PENGARANG SUARA KEADILAN: ANWAR SEORANG YANG TIDAK IKHLAS

Dzulkarnain Taib atau lebih senang dipanggil DT mengakui pernah ditawarkan oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Setiausaha Akhbarnya, namun beliau menolak atas sebab-sebab tertentu.

DT adalah bekas Ketua Pengarang Suara Keadilan (SK), organ rasmi PKR.


“Saya mengambil keputusan untuk tidak aktif lagi dalam SK, walaupun pada satu ketika selepas beberapa bulan saya keluar itu, Ketua Umum PKR mahu berjumpa saya.


“Dan saya berjumpalah sebagai tanda hormat. Semasa saya berjumpa, saya sudah tidak aktif lagi dalam PKR.


“Beliau (Anwar) mahu saya menjadi Setiausaha Akhbarnya. Saya menolak dengan baik,”katanya ketika ditemui AIDC di Putrajaya, 9 Julai 2013.


Ketika berjumpa Anwar, DT tidak menjelaskan sebab-sebab penolakan tawaran itu, namun apabila ditemui AIDC secara empat mata, DT mula membuka mulut.


Ikutilah wawancara bersama AIDC selengkapnya.

AIDC : Saya difahamkan, saudara dulu adalah Ketua Pengarang SK dan sekarang bukan lagi. Apa cerita di sebalik itu?




Selepas SK tidak diperbaharui permitnya pada Jun 2010 dan setelah SK itu disaman RM 200 juta setiap seorang, lima individu termasuk saya juga sebagai Ketua Pengarang mula memikirkan hala tujuan PKR ini.


Sebelum itu pun, saya sebagai Ketua Pengarang saya lebih bersifat seorang profesional sebab saya mempunyai pengalaman lebih 20 tahun di dalam media arus perdana, jadi, saya mengambil cabaran untuk beroperasi dalam akhbar pembangkang secara profesional.


Di mana kita boleh menanamkan asas-asas media arus perdana ini di dalam operasi ini. Sebagaimana kita tahu akhbar-akhbar media milik pembangkang ini semuanya hentam kromo saja, tidak mempunyai asas. Jadi, saya cubalah.


Sedikit sebanyak saya berjaya jugalah. Tetapi, artikel mengenai ‘Felda Bangkrap’ yang membawa kepada tindakan saman oleh pihak Felda itu bukanlah satu tindakan daripada aspirasi saya sendiri. Sebenarnya saya menentang.


AIDC : Menentang ?


Penulisan itu kalau dilihat tidak mempunyai masalah. Tapi masalahnya ialah pada tajuk utama itu iaitu ‘Felda Bangkrap’.


Saya menyatakan kepada penasihat-penasihat media PKR pada masa itu, kita selalunya di dalam media arus perdana, kalau kita nak melindungi diri kita daripada tindakan saman, kecuali kita mempunyai bukti yang amat kukuh, yang tidak boleh dipertikai atau disanggah lagi, bolehlah kita kata Felda bangkrap itu sebagai satu kenyataan yang sahih.


Tetapi, jika kita masih ada keraguan dan jika masih wujudnya ruang was-was, kita perlu meletakkan tanda soal (?).


AIDC : Seolah-olah saudara cakap itu seperti ada campur tangan dari pihak parti?


Memanglah akhbar itu milik PKR. Jadi, saya hanya sebagai pelaksana operasi. Walaupun saya Ketua Pengarang tapi saya bukan menentukan hala tuju akhbar itu.

Kita sebagai profesional yang dibayar gaji untuk mengendalikan penerbitan akhbar itu tetapi pengisiannya ada orang lain.


AIDC : Ada pihak lain?


Ada pihak lain yang lebih rapat dengan kepimpinan tertinggi dan Anwar. Mereka memang rapat dan Anwar sendiri boleh mengimplentasi apa-apa..


AIDC : Polisi ?


Termasuk juga artikel Felda itu. Jadi, saya lihat bahawa, iyalah mungkin saya anggap saya ini mangsa keadaan sebab saya dan juga beberapa kakitangan SK lain tidak bersetuju tapi akhirnya kami terpaksa menanggungnya.


Sebab saya Ketua Pengarang saya terpaksalah menanggung secara kolektif walaupun artikel itu ditulis oleh wartawan saya tapi sebagai Ketua Pengarang kita mesti mengambil tanggungjawab. Begitu juga di mana-mana akhbar yang kena saman.


Saya tidak berapa takut dengan saman itu kerana masalahnya hanya pada tajuk utama. Isi artikel itu saya rasa seimbang dan fair comment. Sebab saya sebagai Ketua Pengarang pastikan mesti seimbang.


Yang disaman ialah kenyataan itu seolah-olah betul-betul Felda bangkrap, tajuk utama itu saja.

Sebagai seorang pengamal media, saya sentiasa berfikiran terbuka. Saya mengambil keputusan untuk menyertai SK itu pun sebab saya mahu saya nak mencabar diri saya.

Saya kata, apa salahnya saya mencuba di pihak pembangkang. Bagaimana pemikiran mereka. Bagaimana mereka melihat sesuatu isu.


Jelas, sepanjang saya berada dalam SK, pemikiran pembangkang ini sebenarnya tidak menjurus kepada kepentingan nasional. Mereka hanya menjurus kepada kepentingan politik mereka semata-mata.

Dan politik yang mereka bawa itu bukanlah satu bentuk politik yang boleh membawa pembaharuan atau pun kepentingan kepada negara, tetapi lebih merosakkan kepentingan negara, perpaduan masyarakat malah kedaulatan wilayah negara juga.


AIDC : Adakah saudara dipecat daripada SK ?


Tidak. Apabila operasi SK itu ditamatkan disebabkan tidak ada permit, kami tidak boleh lagi beroperasi.

Jadi, kebanyakan kakitangan SK mencari pekerjaan lain ataupun diserap ke dalam TV Selangor di bawah Kerajaan Negeri Selangor. Tapi, saya memilih untuk tidak pergi ke TV Selangor. Saya fikir saya ingin independent. Akhirnya saya membuat hal saya sendiri.


Saya berjuang atas dasar Islam dan bangsa kerana itu sajalah nilai yang ada pada orang Melayu. Jika kalau kita tidak berpegang kepada dua nilai ini, agama, bangsa dan juga negara, tidak ada apa nilai lagi mereka yang dianggil sebagai Melayu.


AIDC : Nampaknya saudara sudah nampak satu ancaman besar akan berlaku. Mungkin kerana pengalaman semasa bersama dalam SK dan PKR dulu?


Pengalaman itu sebenarnya adalah satu rahmat bagi saya yang membuka mata saya. Daripada dahulu pun saya memang terlibat dalam pergerakan pelajar, jadi pengalaman beberapa tahun di dalam media pembangkang ini telah menambah nilai lagi kecekalan hati saya untuk memastikan bahawa kuasa politik Melayu tidak akan terlepas.


Sebab kalau Melayu itu berkuasa, Melayu akan memastikan keadilan bagi bukan Melayu. Tetapi kalau bukan Melayu berkuasa, mereka sendiri tidak boleh memastikan keadilan bagi bangsa mereka, apatah lagi untuk menjamin keadilan untuk bangsa kita.


AIDC : Apa berlaku selepas permit SK ditarik balik dan disaman ?


Saya mengambil keputusan untuk tidak aktif lagi dalam SK, walaupun pada satu ketika selepas beberapa bulan saya keluar itu, Ketua Umum PKR mahu berjumpa saya.

Dan saya berjumpalah sebagai tanda hormat. Semasa saya berjumpa, saya sudah tidak aktif lagi dalam PKR.


Beliau (Anwar) mahu saya menjadi Setiausaha Akhbarnya. Saya menolak dengan baik. Saya kata saya ada buat kerja-kerja dengan kementerian (kerajaan), mungkin berlaku konflik. Jadi saya menolak dengan cara baik.


Walaupun saya tak bersetuju tetapi sebagai individu saya mesti menunjukkan rasa hormat kepada sesiapa sahaja sama ada dia Perdana Menteri atau Ketua Pembangkang, kita mesti ada etika dan tatasusila. Saya berpegang pada itu.


AIDC : Seolah-olah saudara tidak begitu yakin dengan Ketua Umum sedangkan ada tawaran menjadi Setiausaha Akhbar, rasanya seperti saudara sudah tidak selesa lagi ?


Saya dikritik kerana menolak tawaran itu. Ramai orang menunggu untuk bekerja dengan dia. Yalah, kalau saya ini mempunyai kepentingan, sudah tentu saya menerima pelawaan itu tetapi saya ada prinsip saya sendiri.


Sebenarnya selama ini pun saya berada dalam SK semata-mata untuk mencari pendekatan dan melihat sudut pandang yang berbeza dari segi media. Saya tidak pernah saya taksub kepada Anwar.


Sebab saya tahu, masa saya belajar di Australia dulu, dia pernah datang berkali-kali (jumpa) semasa berada dalam UMNO dan kerajaan.


Ketika itu pun, saya tidak melihat ketokohan Anwar sebagai seorang pemimpin. Pada masa itu, saya seorang pelajar yang berumur 18..19 tahun melihat Anwar sebagai seorang yang tidak ikhlas.




AIDC : Tidak ikhlas?


Tidak ikhlas. Walaupun saya sebagai Ketua Pengarang SK, saya simpan sebagai peribadilah. Itu pendapat peribadi saya takkan saya nak war-war kepada orang lain.

Sebab itu saya tidak mahu bekerja dengan seorang….iyalah, kalau kita tak setuju dengan seseorang itu, mana mungkin kita boleh bekerja dengan dia.

Jadi, saya fikir dia mendapat mesej saya itu bahawa saya menolak menjadi Setiausaha Akhbarnya.


AIDC : Mungkin kerana faktor sudah berada agak lama dalam SK, sebab itu tawar hati untuk menerima pelawaan itu ?


Ya, sebab saya mendapat tahu sikap bermuka-muka pemimpin PKR ini, cakap berdegar-degar depan rakyat tetapi perlakuan mereka di belakang rakyat lain pula.

Sebagai Ketua Pengarang, kita berpeluang juga untuk mendapat sedikit sebanyak maklumat daripada mesyuarat Biro Politik Keadilan.

Jadi, salah satu yang paling ketara adalah PKR ini tidak mempunyai agenda untuk mempertahankan Islam dan juga Melayu.


AIDC : PKR tiada agenda Melayu-Islam ?


Kerana di dalam Biro Politik itu terdapat ramai tokoh-tokoh bukan Islam seperti Tian Chua dan Sivarasa. Mereka ini semuanya hebat. Semuanya vokal. Jadi, Wan Azizah, Presiden, Anwar Ibrahim pun tidak berani walaupun Ketua AMK masa itu Shamsul Iskandar Mat Akin yang jadi YB sekarang ini, mereka tidak berani untuk mengetengahkan apa-apa isu yang berkaitan Islam.


Mereka hanya mendiamkan diri dan menganggap persetujuan antara PKR-DAP-PAS untuk menerima sahaja apa yang telah termaktub di dalam perlembagaan, itu sudah mencukupi.

Jadi, mereka tidak sebut pasal Islam, pasal Melayu. Ini sebenarnya yang membimbangkan saya sebab saya secara peribadi mempunyai semangat Melayu.


Saya berfikiran bahawa seseorang pemimpin Melayu yang berada di dalam Pas, PKR atau UMNO, seharusnya meletakkan Islam dan kepentingan bangsa itu melebihi daripada kepentingan politik. Tetapi ini tidak berlaku dalam PKR dan juga Pakatan Rakyat.


Jadi, saya fikir saya tidak mahu membuang masa dalam membabitkan diri dengan mereka yang hipokrit yang munafik yang mempermainkan bangsa dan agama itu.