Ahad, 28 Julai 2013

PRK KUALA BESUT: RUMAH SIAP PAHAT PUN BERBUNYI.


Pas Terengganu menyalahkan tarikh sebagai punca kekalahan di PRK Kuala Besut yang dibuat pada 24 Julai 2013 bersamaan hari Rabu dan ditambah pula dengan bulan puasa.

Pas lupa bahawa Salleh Man menang di PRK Permatang Pasir  juga dibuat pada 25 Ogos 2009, juga dibuat pada 4 Ramadan dan pada hari bekerja iaitu hari Selasa.

Pemimpin Pas menganggap kekalahan calon parti itu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Kuala Besut mempunyai kaitan dengan penetapan tarikh pilihan raya yang dibuat pada hari bekerja.
Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Pas Terengganu, Hanafiah Mat berkata, tarikh yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu menyebabkan pengundi Kuala Besut yang berada di luar Terengganu tidak dapat pulang mengundi.
Mendakwa tarikh yang ditetapkan pada hari Rabu itu seolah-olah telah direncanakan pihak tertentu untuk tidak memberi peluang menang kepada Pas, beliau berkata, pengundi luar seolah-olah disekat untuk pulang mengundi kerana umum mengetahui kebanyakan pengundi tersebut memberi sokongan yang tinggi kepada pembangkang.
“Menteri Besar sendiri mengakui pengundi luar telah memberi kemenangan kepada pembangkang pada PRU13 lalu. Untuk PRK lalu, ada kira-kira 1,400 lagi pengundi yang tidak balik,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.
Menjelaskan permasalahan pengundi luar untuk mengambil cuti, Hanafiah yang juga Pengurus Kempen PRK Dun Kuala Besut berkata, pertembungan cuti yang akan diambil pada hari raya menyebabkan cuti mereka tidak mendapat kelulusan.
“Kita juga dapat maklumat ada juga yang dapat cuti tetapi anak mereka pula bersekolah, isteri yang bekerja sebagai guru juga sukar mendapat cuti,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Pilihan Raya Pas Terengganu, Ariffin Deraman berkata, pihaknya optimis calon Pas menghampiri kemenangan sekiranya tarikh mengundi dibuat pada cuti hujung minggu.
Adun Alor Limbat itu berkata, walaupun Pas mungkin tidak menang sekalipun pengundi luar pulang, sekurang-kurangnya mereka mampu mengurangkan majoriti undi BN di Dun Kuala Besut.
Bagaimanapun katanya, Pas langsung tidak terkejut dengan majoriti undi diperoleh calon BN, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman, walaupun jumlahnya meningkat berbanding PRU13 lalu.
“Dengan apa yang dibawa kepada rakyat Kuala Besut, sepatutnya BN memperoleh majoriti yang lebih besar daripada itu tetapi apa yang berlaku, peningkatan undi hanya berlaku sebanyak 158 undi sahaja.
“Bagi Pas, ia kekalahan yang bermaruah kerana peningkatan itu berlaku sedikit sahaja daripada yang dijangka sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata, keputusan PRK Dun Kuala Besut itu juga turut menafikan jangkaan pemimpin Umno sebelum ini yang juga Ketua Umno Bahagian Besut, Datuk Seri Idris Jusoh untuk mendapat majoriti sebanyak 4,000 undi.

Kalau dah kalah tu, mengaku sahaja lah. PRU 13 yang dibuat pada 5 Mei 2013 Ahad pun kalah juga..