Jumaat, 11 Oktober 2013

Lagi tentang kemalangan Twin Otter di Kudat

Dua maut manakala dua parah selepas sebuah kapal terbang jenis Twin Otter milik MASwings yang dinaiki 16 orang tergelincir dan terbabas ketika mendarat di Lapangan Terbang Kudat kelmarin.

Seorang penumpang, Tan Ah Chai, 96, dan pembantu juruterbang, Marc Joseph Bansh, 23, meninggal dunia manakala dua lagi mangsa yang cedera parah ialah Sue Isabella Abal, 26; dan Wan Ahmad Abdul Amir Wan Yahaya, 58, (juruterbang).

Ah Chai meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Kudat pada pukul 5.25 petang manakala Joseph Bansh yang diterbangkan ke Hospital Queen Elizabeth meninggal dunia pukul 9.05 malam ini.

Antara mangsa yang cedera ringan dalam kejadian pukul 2.50 petang itu ialah Fauziah Pelimin, 32; Mohd. Raiyan Fatmi, 4; Nur Filzah Raudhah, 1; Merang Maharani, 54; Noorhazwin Sharom, 29; Chang Gee Keong, 29; Elranita John, 25; Junaini Bladi, 52; Erwan Shah Einin, 23; Lee Chee Kian, 39; Tan Kang Cheing.

Kejadian berlaku ketika pesawat yang dalam perjalanan dari Kota Kinabalu ke Kudat itu dilaporkan terbabas ketika mendarat akibat angin kencang sebelum merempuh sebuah rumah penduduk di Kampung Sinsan yang terletak berhampiran lapangan terbang.

Pesawat Twin Otter merupakan pesawat kecil yang mampu membawa 18 penumpang dan 2 juruterbang. Pesawat jenis ini telah digunakan sejak awal 80an bagi menggantikan pesawat BN 2 yang hanya mampu membawa 10 orang termasuk juruterbang. Ia banyak digunakan di Sarawak dan Sabah terutama untuk menghubungi kawasan pedalaman yang mempunyai landasan yang terhad.